KUDUS (Indonesia): Menteri Pendidikan Rendah dan Menengah Abdul Mu’ti menyatakan sekitar 85 peratus sekolah di tiga wilayah yang terjejas banjir dan tanah runtuh di Sumatera bersedia menyambung semula kelas pada awal Januari 2026.
Bercakap selepas merasmikan projek pemulihan bangunan sebuah sekolah di Kudus, Jawa Tengah, pada 2 Januari, beliau menjelaskan tahap kesediaan sekolah di Sumatera Utara dan Sumatera Barat telah mencapai 100 peratus.
Sementara itu, di Aceh, usaha pemulihan masih giat diteruskan, terutama membuang lumpur tebal dari bangunan sekolah yang rosak akibat banjir.
“Di Aceh, pembersihan selanjutnya masih diperlukan. Sesetengah sekolah tidak lagi boleh digunakan dan perlu dibina semula. Sebahagiannya akan dibina semula di tapak yang sama, manakala yang lain mesti dipindahkan ke kawasan lain atas sebab keselamatan,” kata Encik Abdul Mu’ti.
Semasa proses pemulihan dijalankan, Kementerian Pendidikan Rendah dan Menengah sedang menyediakan beberapa pilihan bagi memastikan kegiatan pembelajaran sekolah dapat diteruskan.
Pelajar yang masih tidak dapat mengakses bangunan sekolah mereka akan diarah belajar di kemudahan awam, seperti pusat kesihatan masyarakat dan tempat ibadat.
Di samping itu, pemerintah turut menyediakan 54 khemah kecemasan untuk dijadikan bilik darjah sementara.
Berdasarkan data awal, sekitar 4,000 sekolah di ketiga-tiga wilayah terjejas oleh bencana alam yang amat dahsyat itu, tambah beliau.
Angka itu masih dikemas kini, kerana beberapa kawasan masih sukar dikunjungi.
“Insya-Allah, kebanyakan sekolah akan dapat menyambung semula kelas pada 5 Januari, manakala yang lain akan bermula pada 12 Januari 2026, bergantung kepada kebijaksanaan pemerintah tempatan,” ujar beliau.
Bagi memastikan kesinambungan proses pembelajaran di kawasan yang terjejas, Kementerian Pendidikan Rendah dan Menengah juga telah menyediakan kurikulum kecemasan yang fleksibel dan telah diubah suai.
Kurikulum itu direka bentuk dengan beberapa pilihan tempoh, antara tiga bulan dengan setahun, atau tiga tahun, yang disesuaikan dengan keadaan khusus setiap wilayah.
“Apa yang paling penting adalah semangat kita untuk bangkit semula, keazaman untuk terus belajar dan dorongan untuk terus mengejar masa depan yang lebih baik,” tegas Encik Abdul Mu’ti.
Media melaporkan banjir dan tanah runtuh yang melanda Sumatera pada akhir November 2025 meragut lebih 1,000 nyawa dengan 165 orang masih dilaporkan hilang manakala lebih 250,000 penduduk terpaksa dipindahkan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg