Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia tamatkan operasi cari mangsa banjir Aceh selepas sebulan

31 penduduk Aceh masih dilaporkan hilang, namun peluang hidup amat tipis
Dec 26, 2025 | 10:25 AM
Lhokseumawe, bantuan kemanusiaan banjir Aceh
Bantuan kemanusiaan tahap ketiga menerusi program Peduli di bawah  Kementerian Pertanian tiba di Aceh selepas dihantar menggunakan kapal perang Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI AL), KRI Makassar, di Lhokseumawe pada 24 Disember. - Foto KEMENTERIAN PERTANIAN (KEMENTAN) INDONESIA

BANDA ACEH: Operasi pencarian mangsa banjir dan tanah runtuh di beberapa wilayah di Aceh telah ditamatkan selepas usaha berterusan selama lebih sebulan tidak menemukan sebarang mangsa baru, menurut Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Indonesia.

Keputusan itu dibuat selepas penilaian mendalam mendapati kebarangkalian untuk menemukan mangsa yang masih hidup kini amat tipis.

Ketua Basarnas Banda Aceh, Encik Ibnu Harris Al Hussain, berkata operasi pencarian aktif yang dijalankan sejak bencana melanda kini beralih kepada fasa pemantauan.

“Operasi pencarian yang kami jalankan sepanjang 31 hari lalu telah ditamatkan dan kini memasuki fasa pemantauan. Dalam beberapa hari kebelakangan ini, usaha pencarian tidak menemukan sebarang mangsa,” katanya kepada pemberita pada 25 Disember.

Menurut Encik Ibnu Harris, seramai 31 penduduk Aceh masih dilaporkan hilang sejak bencana berlaku.

“Memandangkan sudah sebulan berlalu sejak kejadian, peluang untuk mangsa masih hidup dianggap sangat rendah,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa penamatan operasi tidak bermakna usaha menyelamat dihentikan sepenuhnya, lapor agensi berita Antara.

“Basarnas akan terus menjalankan pemantauan di kawasan terjejas. Sekiranya terdapat sebarang penemuan mangsa, pasukan SAR (operasi mencari dan menyelamat) akan segera dikerahkan,” katanya sambil menggesa orang ramai supaya segera melaporkan sebarang penemuan bagi membantu proses pemindahan dan pengebumian mangsa.

Bencana banjir besar dan tanah runtuh melanda tiga wilayah di Pulau Sumatera, iaitu Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat, pada akhir November 2025 susulan hujan lebat berterusan.

Menurut data Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), sehingga 25 Disember, jumlah korban maut di ketiga-tiga wilayah itu mencecah 1,135 orang, dengan Aceh mencatatkan angka tertinggi iaitu 503 kematian.

Jumlah rumah yang rosak akibat bencana tersebut dianggarkan sekitar 157,838 unit, dengan sebahagian besar kerosakan berlaku di Aceh melibatkan kira-kira 115,600 rumah.

Daripada jumlah itu, lebih 47,000 rumah dilaporkan musnah teruk, manakala selebihnya mengalami kerosakan sederhana dan ringan, sekali gus menggambarkan skala cabaran pemulihan yang besar.

Dalam masa yang sama, BNPB memaklumkan bahawa lebih 1,361 tan bantuan logistik telah diagihkan ke wilayah terjejas di Sumatera.

Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana BNPB, Encik Abdul Muhari, berkata jumlah logistik yang diterima di pos komando nasional mencecah 1,370 tan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 1,361 tan telah berjaya dihantar ke kawasan terjejas,” katanya dalam sidang media yang dipantau secara dalam talian.

Menurut Encik Muhari, pada 25 Disember sahaja, sebanyak 37.4 tan bantuan diagihkan di Aceh dan kesemuanya dihantar melalui laluan udara kerana beberapa kawasan masih tidak dapat diakses melalui jalan darat.

Di Sumatera Utara, sebanyak 8.7 tan bantuan diagihkan menggunakan laluan darat selepas jalan utama kembali dibuka, manakala di Sumatera Barat, 6.1 tan logistik berjaya disalurkan melalui jalan darat.

“Stok penampan melebihi enam tan masih tersedia dan bersedia untuk diagihkan segera sekiranya diperlukan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa bantuan logistik, termasuk keperluan asas dan peralatan pemindahan, akan terus ditambah mengikut keperluan di lapangan.

“Kerjasama antara kementerian, agensi, pemerintah wilayah dan masyarakat setempat amat penting untuk memastikan kesinambungan pengagihan bantuan,” katanya.

Selain bantuan logistik, pemerintah Indonesia turut mengumumkan pemberian elaun perumahan sementara kepada ribuan penduduk yang kehilangan tempat tinggal.

Ketua BNPB, Encik Suharyanto, berkata pemerintah akan mula menyalurkan bantuan bulanan sebanyak 600,000 rupiah ($46) bagi setiap isi rumah kepada mangsa yang kini tinggal bersama saudara-mara atau rakan, dan bukan di penempatan sementara pemerintah.

“Bermula esok (26 Disember), pemerintah akan menyalurkan elaun perumahan peralihan sebanyak 600,000 rupiah sebulan bagi setiap isi rumah yang terjejas dan tidak tinggal di rumah sementara,” katanya.

Menurut beliau, bantuan itu bertujuan meringankan kos sara hidup asas sepanjang tempoh peralihan.

Dana tersebut akan disalurkan terus ke akaun bank penerima melalui bank milik pemerintah bagi memastikan ketelusan dan kelancaran agihan.

Fasa awal bantuan meliputi pembayaran bagi Disember 2025 serta Januari dan Februari 2026, dan akan diteruskan sehingga perumahan kekal siap dibina.

Encik Suharyanto berkata proses pengumpulan data penerima masih berjalan, namun pemerintah tidak akan menangguhkan penyaluran bantuan.

“Agihan akan dibuat secara berperingkat sebaik data disahkan,” katanya sambil memaklumkan pembinaan rumah sementara telah dimulakan di beberapa kawasan, dengan ramai mangsa menyuarakan keinginan untuk kekal di tanah dan kampung asal mereka. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg