Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sekutu Kyiv ikrar tuntut Russia bayar atas pencerobohan Ukraine

Jun 22, 2023 | 2:42 PM
MUSNAH AKIBAT PENCEROBOHAN: Kerosakan akibat pencerobohan Russia di Ukraine menyebabkan banyak rumah musnah di samping kemusnahan bernilai berbilion dolar.
MUSNAH AKIBAT PENCEROBOHAN: Kerosakan akibat pencerobohan Russia di Ukraine menyebabkan banyak rumah musnah di samping kemusnahan bernilai berbilion dolar. - Foto AFP

LONDON: Sekutu Barat pada Rabu berjanji menuntut Russia supaya membayar atas pencerobohan Ukraine, ketika pelbagai pemerintah dan pelabur swasta bertemu untuk membiayai pembinaan semula negara itu daripada kemusnahan perang.

Bank Dunia telah meletakkan anggaran sebanyak AS$14 bilion ($18.8 bilion) sebagai keperluan segera Ukraine bagi membaiki kerosakan yang disebabkan oleh pertempuran sengit itu.

Tetapi kajian baru-baru ini oleh Bank Dunia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah dan pemerintah Ukraine berkata pemulihan ekonomi yang lebih meluas akan menelan belanja sebanyak AS$411 bilion.

“Mari kita jelaskan: Russia menyebabkan kemusnahan Ukraine,” kata Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken, kepada perwakilan di persidangan London.

“Dan Russia akhirnya akan(harus) menanggung kos pembinaan semula Ukraine,” tambahnya.

Perdana Menteri United Kingdom, Encik Rishi Sunak, menyuarakan mesej serupa dan berjanji mengekalkan sekatan ketat “sehingga Russia membayar”, dan menggunakan aset yang dirampas untuk memulihkan Ukraine.

Dalam konflik semalaman, Russia berkata ia telah menjatuhkan tiga dron Ukraine di wilayah Moscow, manakala Ukraine berkata sistem pertahanan udaranya telah menembak jatuh enam dron serangan rekaan Iran di barat.

Sementara itu, Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, sedang mengawasi serangan balas tentera dengan menggunakan senjata berat yang dibekalkan Barat untuk mendapatkan semula wilayah yang tewas kepada tentera Russia sejak tahun lalu.

“Setiap hari pencerobohan Russia membawa kemusnahan baru, beribu-ribu rumah binasa, industri hancur, nyawa musnah,” katanya dalam persidangan itu melalui pautan video.

Tetapi Encik Zelensky sudah siap siaga untuk pelaburan masa depan di Ukraine.

Beliau mengatakan bahawa walaupun mengalami kemusnahan, negara itu sudah bersedia ke arah pembangunan dalam pelbagai sektor daripada teknologi dan pertanian hijau kepada tenaga bersih.

“Dunia sedang memerhati, melihat sama ada kita akan memulihkan kehidupan seperti biasa dengan transformasi kita dan menyebabkan kekalahan ideologi kepada penceroboh,” katanya.

“Kami melindungi Ukraine, dengan itu kami melindungi kebebasan. Dan apabila kita membina Ukraine, kita akan membina kebebasan.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg