Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Modi lawat AS bagi pertingkat hubungan, dibayangi pendirian perang Russia-Ukraine

Jun 21, 2023 | 3:24 PM
PERTINGKAT HUBUNGAN: Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, berjabat tangan dengan ketua pegawai eksekutif Tesla, Encik Elon Musk, dalam pertemuan di New York.
PERTINGKAT HUBUNGAN: Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, berjabat tangan dengan ketua pegawai eksekutif Tesla, Encik Elon Musk, dalam pertemuan di New York. - Foto REUTERS

NEW YORK/NEW DELHI: Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, tiba di Amerika Syarikat pada Selasa untuk lawatan yang disifatkan peristiwa penting dalam hubungan antara kedua-dua negara yang akan mengeratkan dan mempelbagaikan perkongsian mereka.

Encik Modi telah lima kali ke Amerika sejak menjadi perdana menteri pada 2014, tetapi lawatannya kali ini sehingga Sabtu ini adalah yang pertama berstatus diplomatik penuh lawatan negara.

Ia juga merupakan lawatan negara ketiga bagi Presiden Joe Biden dan yang ketiga oleh seorang pemimpin India ke Amerika – tanda pengukuhan hubungan antara Washington dan New Delhi sejak berada di pihak yang bertentangan dalam Perang Dingin.

Encik Modi telah mengadakan mesyuarat perniagaan dan akan merasmikan Hari Yoga Antarabangsa pada Rabu sebelum menuju ke Washington. Di sana beliau dijadualkan menghadiri jamuan malam peribadi dengan Encik Biden, diikuti dengan ceramah di Rumah Putih dan makan malam negara pada Khamis.

Lawatan itu dijangka menyaksikan kedua-dua negara meluaskan kerjasama dalam industri pertahanan dan sektor teknologi tinggi, dengan India mendapat akses kepada teknologi kritikal Amerika yang jarang dikongsi Washington dengan bukan sekutu.

“Jemputan khas ini mencerminkan semangat perkongsian antara negara demokrasi kita,” kata Encik Modi dalam satu kenyataan sebelum berlepas.

Amerika melihat India sebagai rakan kongsi penting dalam usahanya untuk mengekang pengaruh China yang semakin meluas di seluruh dunia, walaupun beberapa penganalisis mempersoalkan kesediaan India untuk bersama-sama menentang Beijing berhubung isu seperti Taiwan.

Washington juga bimbang tentang keengganan India mengutuk pencerobohan Russia ke atas Ukraine.

Bagaimanapun, pegawai Amerika melihat India yang lebih kuat dan boleh mempertahankan kepentingannya sendiri serta menyumbang kepada keselamatan serantau di Indo-Pasifik sebagai sesuatu yang baik untuk Amerika.

Anggota parlimen Amerika mengundang Encik Modi untuk berucap pada mesyuarat bersama Kongres. Ia akan menjadi ucapan kedua Encik Modi – suatu penghormatan yang jarang berlaku bagi seorang pemimpin yang pernah dinafikan visa untuk memasuki Amerika atas kebimbangan hak asasi manusia.

Berpuluh-puluh rakan Demokrat Encik Biden pada Selasa menggesa beliau membangkitkan hak asasi manusia dengan Encik Modi. Penggubal undang-undang berkata mereka bimbang tentang sikap tidak toleransi agama, kebebasan akhbar, akses Internet dan sasaran kumpulan masyarakat sivil.

Perbezaan masih berterusan antara Washington dan New Delhi berhubung pencerobohan Russia ke atas Ukraine. India tidak mengutuk Russia dan menggesa kedua-dua pihak menyelesaikan perselisihan mereka melalui diplomasi.

India masih bergantung kepada rakan lama Moscow untuk keperluan pertahanannya dan telah meningkatkan import minyak murah Russia secara mendadak – sesuatu yang mengecewakan Barat.

Ditanya oleh The Wall Street Journal mengenai kritikan Amerika terhadap India kerana tidak mengambil sikap yang lebih tegas terhadap Russia ke atas Ukraine, Encik Modi berkata: “Saya tidak fikir persepsi seumpama ini meluas di Amerika”.

“Saya rasa kedudukan India terkenal dan difahami dengan baik di seluruh dunia. Dunia mempunyai keyakinan penuh bahawa keutamaan utama India adalah keamanan,” katanya dalam wawancara yang diterbitkan pada Selasa. 

“Saya juga akan bertemu dengan beberapa ketua pegawai eksekutif CEO terkemuka untuk membincangkan peluang untuk meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan serta membina rantaian bekalan global yang berdaya tahan, “ ujarnya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg