Topik diikuti
Pergi ke BHkuSelepas 286 hari di laut, kapal induk AS tinggalkan Timur Tengah singgah di Thailand
BANGKOK: Kapal induk berkuasa nuklear Amerika Syarikat, USS Abraham Lincoln, tiba di Thailand pada 2 September selepas menghabiskan 286 hari di laut tanpa persinggahan utama di pelabuhan, termasuk berbulan-bulan menjalankan operasi tempur dalam perang dengan Iran.
Keadaan kapal sepanjang hampir 335 meter itu turut menarik perhatian apabila bahagian badannya kelihatan dipenuhi kesan karat, selain lumut pada beberapa bahagian selepas beroperasi hampir tanpa henti selama lebih sembilan bulan.
Namun, pakar tentera laut berkata keadaan itu tidak luar biasa bagi kapal yang terlalu lama berada di laut, terutama selepas melalui operasi tempur yang berterusan.
USS Abraham Lincoln berlabuh di Pelabuhan Laem Chabang, berhampiran Pattaya, dengan kira-kira 5,000 kelasi dan anggota Marin Amerika dijangka menikmati cuti darat dari 2 hingga 6 September.
Ia merupakan peluang pertama bagi sebahagian besar kru untuk berehat di darat selepas hampir sembilan bulan berada di laut.
“Ia merupakan rehat yang sememangnya diperlukan semua kru dan kami benar-benar menantikan masa kami di sini,” kata pegawai pemerintah USS Abraham Lincoln, Kapten Daniel J. Keeler.
Kapal itu meninggalkan pangkalannya di San Diego pada November lalu sebelum dikerahkan ke Timur Tengah, dengan hampir tujuh bulan dihabiskan dalam kawasan operasi Komand Pusat Amerika (Centcom).
Sepanjang perang dengan Iran, kumpulan tempur USS Abraham Lincoln menjalankan operasi di bawah Operasi Epic Fury dan membantu menguatkuasakan apa yang disifatkan Tentera Laut Amerika sebagai sekatan laut terbesarnya dalam beberapa dekad.
Kapal itu turut berdepan beberapa serangan peluru berpandu dan dron Iran.
Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Pete Hegseth, sebelum ini berkata USS Abraham Lincoln berjaya menangkis semua serangan yang menyasarkannya.
Namun, tempoh operasi yang panjang meninggalkan kesan jelas pada kapal dan krunya.
Kerja membekalkan keperluan serta melakukan pembaikan menjadi semakin sukar selepas serangan peluru berpandu dan dron Iran menyebabkan kerosakan besar pada sebuah pangkalan tentera laut di Bahrain pada awal perang.
Kapal itu terpaksa bergantung kepada penghantaran bekalan di laut untuk terus beroperasi dalam tempoh panjang.
Pada Ogos, beberapa senator Demokrat turut membangkitkan kebimbangan mengenai keadaan di atas USS Abraham Lincoln, termasuk kekurangan bekalan, masalah saluran air, pencemaran air dan keadaan kesihatan mental kru selepas terlalu lama berada di laut.
Keadaan fizikal kapal itu kini turut menjadi perhatian.
Mantan kapten Tentera Laut Amerika, Encik Carl Schuster, berkata kesan karat di sekitar garis air bukan sesuatu yang luar biasa bagi kapal yang beroperasi secara berterusan di laut selama 60 hari atau lebih.
Menurutnya, kerja membersihkan karat secara menyeluruh sukar dilakukan ketika kapal berada di laut, lebih-lebih lagi ketika menjalankan operasi tempur.
Kru perlu diturunkan ke bahagian luar kapal untuk mengikis karat sebelum beberapa lapisan bahan pencegah karat dan cat khas kapal digunakan.
“Berdasarkan apa yang saya lihat, ia memerlukan kira-kira 30 hari kerja penyelenggaraan untuk membuang semua karat,” katanya.
Menurut Encik Schuster, hanya kerja pembaikan berkeutamaan tinggi mungkin dapat dilakukan sepanjang persinggahan singkat di Thailand.
Bahagian haluan dan badan kapal berhampiran garis air dijangka diberi perhatian terlebih dahulu kerana kawasan itu paling terdedah kepada hakisan air masin dan ombak.
Bagi kru pula, tumpuan mereka lebih kepada menikmati beberapa hari di darat.
Selepas turun di Laem Chabang, anggota kru dibawa dengan bas ke Pattaya, kira-kira 100 kilometer ke selatan Bangkok.
Datuk Bandar Pattaya, Encik Poramet Ngampichet, bersama pegawai tempatan menyambut kumpulan pertama kru yang tiba di bandar peranginan itu.
Seorang kelasi yang hanya mahu dikenali sebagai Breese menggambarkan perasaan akhirnya kembali ke darat sebagai sesuatu yang sukar dipercayai.
“Rasanya seperti mimpi sekarang,” katanya sambil menambah beliau mahu mencuba makanan Thai dan bertemu orang baharu.
Kunjungan ribuan anggota tentera Amerika itu turut dijangka memberi rangsangan kepada ekonomi Pattaya, dengan perniagaan tempatan menganggarkan perbelanjaan kru boleh mencecah 100 juta baht ($4 juta).
Bagaimanapun, beberapa sekatan dikenakan terhadap kru sepanjang cuti darat, termasuk larangan menaiki jet ski serta mengunjungi kawasan tertentu.
Kunjungan itu juga mempunyai nilai diplomatik.
Komander Carrier Strike Group 3, Laksamana Muda Robert E. Loughran, berkata Thailand merupakan rakan tertua Amerika di Asia dan satu-satunya sekutu perjanjian Washington di tanah besar Asia Tenggara.
Menurutnya, persinggahan USS Abraham Lincoln “menegaskan hubungan kerjasama dan perikatan yang kukuh serta berkekalan antara Amerika dengan Thailand”.
USS Abraham Lincoln dijadual meninggalkan Thailand pada 6 September untuk meneruskan perjalanan pulang ke San Diego.
Tugasnya di Timur Tengah kini diambil alih USS George Washington yang sebelum ini berpangkalan di Jepun. – Agensi berita.
