BAITULMAKDIS: Penunjuk perasaan berarak melalui Tel Aviv dan Baitulmakdis melaungkan, “kami tidak akan berputus asa”, pada 7 Julai – hari kedua tekanan terus dipertingkatkan agar Israel mencapai perjanjian membebaskan tebusan di Gaza.
Ketika perang memasuki bulan ke-10, mereka mendesak Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, supaya mencapai perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan atau berundur.
“Hari gangguan” di seluruh negara bermula pada 6.29 pagi (11.29 pagi waktu Singapura) sempena permulaan serangan Hamas pada 7 Oktober yang mencetuskan perang.
Di dua bandar terbesar Israel, penunjuk perasaan menyekat jalan, dengan puluhan ribu menghambat lalu lintas di sepanjang persimpangan utama dan lebuh raya di tengah Tel Aviv.
Polis menggunakan penyembur air untuk menyuraikan mereka.
Israel berkata 116 orang masih ditahan, termasuk 42 yang dikatakan tentera telah terkorban.
“Pemerintah tidak peduli apa yang rakyat fikirkan, dan mereka tidak melakukan apa-apa untuk membawa pulang saudara perempuan dan saudara kita dari Gaza,” kata salah seorang peserta penunjuk perasaan, Encik Orly Nativ, 57 tahun.
Ramai menuduh Encik Netanyahu, perdana menteri paling lama berkhidmat di Israel, tidak melakukan usaha untuk mencapai gencatan senjata.
Dua anggota Kabinetnya yang berhaluan kanan mengancam untuk meletakkan jawatan jika perjanjian dicapai.
“Beliau tahu jika beliau menamatkan perang, pemerintahnya akan tumbang,” kata Cik Nurit Meiri, 50 tahun, seorang pekerja sosial di Baitulmakdis.
“Untuk apa? Seorang perdana menteri yang sanggup melakukan apa sahaja untuk kekal berkuasa?“ tanya beliau.
Menjelang 9 malam pada 6 Julai, penganjur bantahan menganggarkan sekitar 176,000 orang telah memenuhi persimpangan Tel Aviv yang mereka panggil “Dataran Demokrasi”.
Ia sekali gus menjadikannya salah satu demonstrasi terbesar sejak perang bermula. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg