Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sembilan didakwa di mahkamah terkait isu teroka unsur nadir bumi tanpa permit di Kedah

Sep 25, 2023 | 3:44 PM
SAHKAN PENDAKWAAN: Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, mengesahkan sembilan individu telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Baling, Kedah, pada Ahad terkait kes pencerobohan dan penerokaan unsur nadir bumi (REE) Hutan Simpan Rimba Teloi di Sik, Kedah.
SAHKAN PENDAKWAAN: Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, mengesahkan sembilan individu telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Baling, Kedah, pada Ahad terkait kes pencerobohan dan penerokaan unsur nadir bumi (REE) Hutan Simpan Rimba Teloi di Sik, Kedah. - Foto FACEBOOK POLIS KEDAH

ALOR SETAR: Sembilan individu yang didakwa terlibat dengan kes pencerobohan dan penerokaan unsur nadir bumi (REE) Hutan Simpan Rimba Teloi di Sik pada 14 September lalu, telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Baling, pada Ahad.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, yang mengesahkan pendakwaan itu berkata kumpulan berkenaan dipercayai melakukan kegiatan penerokaan di Kompartmen 35 hutan simpan itu sejak empat bulan lalu dan aktiviti mereka masih di peringkat awal.

“Setakat ini kesemua mereka juga dipercayai tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana entiti korporat.

“Sebaliknya aktiviti penerokaan REE itu dijalankan berdasarkan kapasiti individu yang menjadi dalang kumpulan itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada Ahad.

Mengikut pertuduhan, Tho Wei Loon, 45 tahun; Chen Wei Ming, 45 tahun; Zarhabi Shaari, 61 tahun; dan Abdul Halim Nawang, 61 tahun, didakwa memasuki Petak 35 hutan simpan tanpa permit kira-kira 4.12 petang, pada 14 September lalu.

Lima lagi adalah seorang warga China, Li Juemin, 49 tahun, dan empat warga Indonesia, iaitu Aswadi, 43 tahun; Dedy Junaidi, 40 tahun; Muhamad Zaenuri, 31 tahun; dan Nasron, 51 tahun.

Datuk Fisol berkata semua suspek gagal mengemukakan permit yang diperlukan untuk melakukan kegiatan penerokaan REE selain tidak mempunyai permit kebenaran memasuki hutan simpan.

Katanya, individu asing di dalam kumpulan itu didapati memiliki permit sah untuk bekerja dalam perkhidmatan lain di negara ini, tetapi menyalah gunakannya untuk penerokaan REE.

“Polis turut merampas sampel tanah yang disyaki diperoleh dari kegiatan penerokaan di hutan simpan berkenaan untuk pengesanan bahan REE,” katanya.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, merakamkan tahniah buat Polis Kedah atas perkembangan mendakwa individu yang dipercayai terbabit dalam pencerobohan dan penerokaan REE secara haram di Hutan Simpan Rimba Teloi.

Beliau berkata tangkapan dan dakwaan itu mengesahkan kecurian REE di hutan berkenaan masih berlaku dan polis akan terus menjalankan siasatan terperinci.

“Polis terus menyiasat sekiranya wujud elemen jenayah pemerdagangan orang dan jenayah terancang. Masih ada senarai suspek yang dicari polis tapi menghilangkan diri,” kongsinya di Facebook rasmi beliau pada Ahad.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg