Senat AS gagalkan usul had kuasa perang Trump di Iran
WASHINGTON: Senator Parti Republikan di Senat Amerika Syarikat pada 4 Mac menyokong kempen ketenteraan Presiden Amerika, Encik Donald Trump, terhadap Iran.
Mereka mengundi untuk menyekat resolusi dwipartisan yang bertujuan menghentikan perang serta mewajibkan sebarang permusuhan terhadap Iran mendapat kebenaran Kongres.
Senator Republikan di Senat Amerika menyekat satu usul yang bertujuan mengehadkan kuasa Encik Trump untuk meneruskan perang terhadap Iran tanpa kebenaran Kongres, sekali gus menggagalkan usaha Demokrat untuk memaksa badan perundangan itu memainkan peranan dalam konflik yang semakin meluas.
Usul berkenaan ditolak dengan undian 53 berbanding 47, hampir sepenuhnya mengikut garis parti, sekali gus memperlihatkan perpecahan politik yang ketara di Washington mengenai perang dengan Iran.
Undian itu menjadi ujian pertama terhadap pendirian Kongres sejak operasi ketenteraan bersama Amerika dan Israel yang dikenali sebagai Operasi ‘Epic Fury’ dilancarkan di Iran pada 28 Februari.
Usul tersebut dikemukakan oleh Senator Demokrat dari Virginia, Encik Tim Kaine, bersama Senator Republikan dari Kentucky, Encik Rand Paul.
Mereka menggunakan peruntukan dalam Akta Kuasa Perang 1973 yang membolehkan Kongres mempercepatkan pertimbangan resolusi untuk menamatkan operasi ketenteraan yang dianggap bersifat ofensif.
Namun Encik Paul menjadi satu-satunya senator Republikan yang menyokong usaha tersebut, manakala tiada lagi ahli parti itu menyertainya.
Dalam kalangan Demokrat pula, hanya Senator dari Pennsylvania, Encik John Fetterman, menentang resolusi tersebut kerana pendiriannya yang menyokong Israel dan tidak mahu mengehadkan kuasa Presiden untuk mempertahankan sekutu Amerika.
Kegagalan usul tersebut berlaku ketika pemerintah Amerika memberikan penjelasan yang berbeza-beza mengenai tujuan perang itu, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kesahihan undang-undang operasi ketenteraan tersebut.
Ia juga berlaku ketika konflik berkenaan semakin tidak popular dalam kalangan rakyat Amerika menjelang pilihan raya pertengahan penggal yang akan datang.
Sebelum pengundian berlangsung, Encik Kaine menegaskan Encik Trump tidak seharusnya memulakan perang tanpa kelulusan Kongres.
“Rakyat Amerika mahu Presiden Trump menurunkan kos sara hidup, bukannya menyeret negara ini ke dalam perang yang tidak perlu dan berpanjangan,” katanya.
“Namun beliau telah melancarkan serangan terhadap Iran secara unilateral tanpa kebenaran Kongres.”
Encik Kaine memperkenalkan resolusi tersebut sejak Januari lalu, ketika Encik Trump mengarahkan penambahan besar-besaran kehadiran tentera Amerika di Asia Barat.
Ketika itu Encik Trump juga memberi amaran bahawa Amerika “bersedia sepenuhnya” untuk melancarkan tindakan ketenteraan terhadap Iran susulan tindakan keras Tehran terhadap penunjuk perasaan.
Kebanyakan senator Republikan mempertahankan keputusan Encik Trump untuk melancarkan kempen ketenteraan terhadap Iran.
Mereka berhujah tindakan itu wajar memandangkan Iran telah lama menyasarkan kepentingan Amerika melalui pasukan sendiri serta kumpulan proksi di rantau Asia Barat.
Pengerusi Jawatankuasa Perkhidmatan Tentera Senat, Senator Roger Wicker dari Mississippi berkata beliau turut berduka atas kematian anggota tentera Amerika dalam konflik tersebut.
“Saya meratapi enam anggota tentera Amerika yang terkorban dalam pertempuran ini,” katanya.
Beliau menambah sepanjang hampir lima dekad lalu, ribuan rakyat Amerika turut terkorban akibat serangan kumpulan ekstremis yang disokong Iran.
Menurut beliau, Encik Trump memahami tanggungjawab besar dalam membuat keputusan berkaitan perang. “Keputusan Presiden untuk memulakan serangan ini adalah keputusan yang mendalam, dibuat dengan teliti dan tepat,” katanya.
Senator Mitch McConnell turut menyokong operasi ketenteraan itu.
Dalam ucapannya di Senat, beliau berkata Republik Islam Iran sejak awal penubuhannya telah memusuhi Amerika dan Israel.
“Iran telah berulang kali meningkatkan konflik, mengeksport keganasan, menumpahkan darah dan menjejaskan kestabilan seluruh rantau,” katanya.
Namun beliau mengingatkan bahawa kuasa Presiden untuk menggunakan kekuatan tentera tidak seharusnya digunakan tanpa batas.
“Kuasa itu perlu digunakan secara berhati-hati, berasaskan kepentingan nasional utama dan mendapat sokongan rakyat Amerika,” katanya.
Beberapa senator Republikan yang menentang usul tersebut bagaimanapun memberi bayangan bahawa pendirian mereka mungkin berubah sekiranya perang itu semakin meluas.
Senator Josh Hawley dari Missouri berkata beliau menyokong operasi ketenteraan selagi ia terhad kepada serangan udara.
“Saya sentiasa meletakkan garis jelas bahawa kita tidak menghantar tentera darat,” katanya.
Menurut beliau, sekiranya Encik Trump mahu menghantar pasukan darat ke Iran, langkah itu perlu mendapat kebenaran Kongres.
Beberapa jam sebelum pengundian berlangsung, Setiausaha Pertahanan, Encik Pete Hegseth dan Pengerusi Ketua Turus Bersama, Jeneral Dan Caine, berkata tentera Amerika kini melancarkan serangan udara besar-besaran terhadap Iran.
Mereka menyatakan bahawa fasa operasi yang lebih sengit telah bermula selepas lebih banyak pesawat pengebom tiba di rantau tersebut.
Menurut Encik Hegseth, kepimpinan Iran kini menyaksikan kehadiran kuasa udara Amerika dan Israel setiap masa.
“Pemimpin Iran melihat ke langit dan hanya melihat kuasa udara Amerika dan Israel setiap minit setiap hari sehingga kami memutuskan operasi ini tamat,” katanya.
Beliau menambah bahawa Iran hampir tidak mampu bertindak balas terhadap serangan tersebut.
“Pemimpin Iran melihat ke langit dan hanya melihat kuasa udara Amerika dan Israel setiap minit setiap hari sehingga kami memutuskan operasi ini tamat,” katanya.
Beliau menambah bahawa Iran hampir tidak mampu bertindak balas terhadap serangan tersebut.
“Pemimpin Iran melihat ke langit dan hanya melihat kuasa udara Amerika dan Israel setiap minit setiap hari sehingga kami memutuskan operasi ini tamat,” katanya.
Jeneral Caine pula berkata serangan tersebut telah melemahkan program peluru berpandu balistik Iran serta armada tentera laut negara itu.
“Operasi ini terus mencapai kemajuan dan akan diperluaskan lebih jauh ke dalam wilayah Iran,” katanya.
Sehingga kini, konflik tersebut telah meragut nyawa sekurang-kurangnya enam anggota tentera Amerika, sesuatu yang menandakan perang ini lebih serius berbanding operasi ketenteraan lain yang dilancarkan Encik Trump sejak kembali memegang jawatan.
Walaupun Perlembagaan Amerika memberi kuasa kepada Kongres untuk mengisytiharkan perang, langkah tersebut tidak pernah dilakukan sejak Perang Dunia Kedua.
Sejak beberapa dekad lalu, Kongres biasanya memberikan kebenaran penggunaan kekuatan tentera yang memberi kuasa luas kepada Presiden untuk melancarkan operasi ketenteraan.
Namun kali ini, surat Presiden kepada Kongres tidak merujuk kepada sebarang kebenaran terdahulu sebagai asas undang-undang.
Sebaliknya, beliau hanya menyatakan bahawa tindakan tersebut adalah sebahagian daripada tanggungjawab Presiden untuk melindungi rakyat Amerika dan kepentingan negara di dalam serta luar negara.
Demokrat menegaskan Kongres perlu memainkan peranan dalam keputusan berkaitan perang.
“Saya percaya kebimbangan paling besar pengasas negara ini kini menjadi kenyataan,” kata Senator Adam Schiff dari California.
“Donald Trump semakin cenderung melancarkan perang, dan sekali lagi melakukannya tanpa kebenaran Kongres.” – Agensi berita.

