WASHINGTON: Parti Republikan yang dipimpin oleh Encik Donald Trump dijangka menguasai kedua-dua Dewan Kongres apabila beliau memulakan tugas sebagai Presiden pada Januari 2025.
Ini memberi peluang kepada Encik Trump untuk melaksanakan agenda besar, termasuk pemotongan cukai yang lebih besar dan pengurangan saiz pentadbiran persekutuan.
Menurut ramalan daripada Decision Desk HQ pada 11 November, Parti Republikan sudah memperoleh majoriti di Dewan Senat Amerika dengan sekurang-kurangnya 52-46, sementara mereka juga dijangka memegang sekurang-kurangnya 218 kerusi di Dewan Perwakilan.
Bagaimanapun, lapan pilihan raya masih belum diputuskan pada pilihan raya 5 November.
Sepanjang penggal pertama Encik Trump sebagai Presiden pada 2017-2021, pencapaian terbesar beliau adalah pelaksanaan pemotongan cukai besar-besaran yang dijangka berakhir pada 2025.
Perundangan itu, bersama dengan undang-undang prasarana Amerika bernilai AS$1 trilion ($1.34 trilion) yang diluluskan oleh Presiden Demokrat, Encik Joe Biden, berlaku ketika parti masing-masing menguasai kedua-dua dewan Kongres.
Sebaliknya, dalam dua tahun terakhir semasa pentadbiran campuran, Encik Biden sukar meluluskan undang-undang dan Kongres berjuang menjalankan fungsi asasnya iaitu menyediakan dana yang diperlukan bagi memastikan pemerintah terus beroperasi.
Selain itu, Encik Trump turut memilih Senator Marco Rubio, dari Florida untuk dilantik sebagai Setiausaha Negara.
Encik Rubio, yang dikenali dengan pendirian tegas dalam dasar luar, berkemungkinan menjadi anggota masyarakat Latino pertama yang memegang jawatan diplomatik tertinggi Amerika.
Encik Rubio, yang sebelum ini lebih tegas dalam pendekatannya terhadap negara seperti China, Iran dan Cuba, kini dilihat lebih menyelaraskan pandangan dengan Encik Trump dalam dasar luar.
Dalam isu Ukraine, Encik Rubio menyarankan supaya Ukraine mencari penyelesaian perundingan dengan Russia, berbanding berusaha merampas kembali semua wilayah yang telah dikuasai oleh Russia dalam dekad lalu.
Encik Trump turut dijangka melantik pegawai imigresen, Encik Tom Homan, sebagai “ketua sempadan,” manakala Encik Lee Zeldin, sekutu politik lama, dicalonkan sebagai Ketua Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA).
Ahli Kongres New York, Cik Elise Stefanik, dipilih sebagai duta Amerika ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), manakala media melaporkan bahawa Encik Stephen Miller, arkitek dasar imigrasi “larangan Muslim” Trump pada penggal pertama, akan menjadi timbalan ketua staf bagi portfolio yang luas.
Cik Stefanik, yang menyokong kuat Israel, akan mewakili pentadbiran Amerika di PBB ketika isu konflik di Gaza dan Lebanon menjadi tumpuan diplomasi di peringkat sejagat.
Cik Stefanik, sekutu utama Trump, menyatakan beliau akan berdepan cabaran besar di PBB kerana isu anti-Yahudi yang meningkat dan kelemahan kepimpinan Amerika sebelumnya yang dikatakan telah melemahkan keselamatan negara. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg