Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Sengketa Russia-Ukraine: Amerika rancang tambah tentera ke Eropah Timur

Jan 30, 2022 | 05:30 AM



WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Encik Joe Biden, mahu menghantar tentera untuk meningkatkan kehadiran Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di Eropah Timur, berikutan ketegangan di sempadan Russia-Ukraine.



"Kita akan mengerahkan tentera ke Eropah Timur dan negara Nato dalam tempoh terdekat tetapi jumlahnya tidak terlalu ramai," katanya kepada pemberita selepas berucap di Philadelphia.



AS sudahpun mempunyai puluhan ribu tentera yang kebanyakannya ditempatkan di Eropah Timur, tetapi Pentagon membincangkan hanya untuk menghantar sejumlah kecil tentera ke lokasi itu.



Awal minggu ini, jurucakap AS, Encik John Kirby, berkata sejumlah 8,500 tentera berada dalam "kewaspadaan yang tinggi" yang mungkin akan ditempatkan ke lokasi itu bagi membantu Nato.



Ukraine bukan anggota Nato tetapi kebimbangan Washington meningkat terhadap negara-negara jiran dalam kalangan anggota Nato, sekiranya Russia menyerang Ukraine.



Moscow menegaskan pihaknya tidak merancang untuk menyerang negara itu, sebaliknya hanya menempatkan lebih 100,000 tentera ke sempadan selain menuntut kuasa Barat kecuali Ukraine daripada menyertai pakatan Nato termasuk konsesi lain.



Dalam sidang media minggu lalu, Encik Biden memberi amaran bahawa serangan Russia ke atas Ukraine bertentangan dengan matlamat seperti dinyatakan Kremlin.



"Sebenarnya kita akan meningkatkan kehadiran tentera di Poland, Romania dan sebagainya jika (Russia) melakukannya. Mereka adalah sebahagian dari Nato," katanya.



Sementara itu di Perancis, Presiden Emmanuel Macron, dan rakan sejawatnya dari Russia, Encik Vladimir Putin, bersetuju keperluan untuk mengendurkan konflik di Ukraine, meskipun Russia menegaskan pihaknya tiada rancangan untuk menyerang negara itu.



Menurut pembantu kepada Presiden Macron, kedua-dua pemimpin bercakap lebih sejam semasa panggilan yang disifatkan oleh Perancis sebagai "serius dan dengan penuh hormat" yang menumpukan perbezaan asas tetapi "keinginan bersama" untuk berbincang.



"Perbincangan ini membolehkan kededua pihak bersetuju keperluan untuk mengendurkan keadaan," kata pembantu itu dalam taklimat dengan wartawan.



Perancis mempengerusikan lebih 8 jam perbincangan antara delegasi Russia dan Ukraine di Paris pada Rabu lalu, yang dilihat sebagai satu ujian sama ada Presiden Putin mahu mengurangkan ketegangan selepas menempatkan sekitar 100,000 tentera di sempadan Ukraine.



"Presiden Putin meluahkan tiada rancangan serangan dan berkata beliau mahu meneruskan perbincangan dengan sekutunya," kata pegawai pemerintah Perancis sambil menjelaskan pemimpin Russia itu tidak mahu konfrontasi.



Presiden Macron awal minggu ini berkata Russia berkelakuan sebagai sebuah "kuasa tidak seimbang" di rantau berkenaan tetapi beliau secara jelas mahu bercakap dengan Presiden Putin yang pernah dijemput ke Perancis untuk berbincang semasa cuti musim panas pada 2019.



"Nadanya yang agak damai berbeza dengan retorik dengan lebih lantang mengenai kemungkinan berlaku pencerobohan oleh Russia dari sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) iaitu Perancis, United Kingdom (UK) dan Amerika.



"Sekarang bola berada dalam gelanggang Putin," kata Menteri Luar Perancis, Encik Jean-Yves Le Drian, kepada stesen radio RTL semalam sebelum panggilan telefon antara pemimpin berkenaan.



"Terpulang kepada Vladimir Putin untuk berkata sama ada beliau mahu konfrontasi atau konsultasi. Kami bersedia untuk konsultasi," katanya.



Menurut Encik Le Drian, sudah semestinya masih terdapat risiko berlaku serangan Russia ke atas Ukraine sambil memberi amaran langkah itu akan memberi "kesan besar-besaran" kepada Moscow.



Presiden Macron turut bercakap dengan rakan sejawatannya dari Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky.



Presiden Perancis itu menegaskan sekali lagi "solidariti penuh Perancis dengan Ukraine" dan menekankan "keazaman negara untuk memelihara integriti wilayah serta kedaulatan negara ini dalam konteks volatiliti tinggi". - AFP.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >