MADRID: Warga dewasa Sepanyol yang gemar bersenam dengan berlari-lari anak dan berbasikal telah keluar rumah awal pagi ini dengan penuh keceriaan, selepas kerajaan negara itu membenarkan mereka berbuat demikian pagi ini, tujuh minggu selepas terperap kerana arahan perintah berkurung yang dikuatkuasakan.
Di Barcelona, mereka dilihat ramai berbondong ke pantai berdekatan, sementara pendayung dan pengguna luncur angin menikmati pukulan ombak di tengah laut.
Cik Mar Visser, 45 tahun, yang kehilangan pekerjaan sebagai pengurus acara, dilihat berlari-lari anak di laluan di Castelldefels, di sebuah bandar dekat Barcelona.
"Saya begitu rindu untuk keluar bersenam. Ia tidak boleh mengganti berlari-lari anak di rumah atau melakukan yoga atau pilates di dalam rumah," katanya yang ditukil agensi berita Reuters.
Di Madrid, penunggang basikal dan pengguna papan longsor menikmati pemandangan bandar.
Sepanyol antara negara paling teruk terjejas dengan penularan Covid-19, dan melaksanakan perintah berkurung sangat ketat sejak Mac lalu, dengan sebahagian besar penduduknya terkurung di rumah kecuali untuk melakukan keperluan penting.
Selasa lalu, Perdana Menteri, Encik Pedro Sanchez, mengumumkan pelan empat fasa bagi membolehkan negara kembali kepada 'kebiasaan yang baru' menjelang akhir Jun ini. Bagi mengelak kesesakan orang, kerajaannya memperkenalkan sistem giliran, memperuntuk masa berbeza untuk kumpulan umur berbeza. Perniagaan yang beroperasi secara temu janji, akan dibenarkan buka mulai Isnin ini.
Bar dan restoran akan kekal tutup untuk seminggu lagi. Sepanyol telah merekodkan jumlah kematian sebanyak 24,824 akibat Covid-19 dan lebih 215,000 diuji positif. Perintah berkurung ini telah menjejas teruk ekonomi dan kerajaan Sepanyol menjangkakan hasil dalam negara kasar (GDP) akan menguncup 9.2 peratus tahun ini. - Reuters


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg