Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sepanyol catat rekod cuaca panas tertinggi pada Okt

Oct 3, 2023 | 1:05 PM
PANAS TERASA: Para pelancong terpaksa memakai payung ketika melawat Toledo di tengah-tengah cuaca panas yang melanda Sepanyol.
PANAS TERASA: Para pelancong terpaksa memakai payung ketika melawat Toledo di tengah-tengah cuaca panas yang melanda Sepanyol. - Foto AFP

MADRID: Suhu di seluruh Sepanyol mencecah paras tertinggi bagi Oktober tetapi cuaca panas tidak bermusim itu berkemungkinan berlarutan hanya lebih seminggu, kata agensi cuaca Aemet pada Isnin.

Suhu tinggi di seluruh Sepanyol mengakibatkan tiga “hari rekod panas” yang bermula pada 29 September dengan cuaca panas memuncak pada Ahad yang mencecah 38.2 darjah Celsius di bandar selatan Montoro dekat Cordoba, kata agensi itu.

Rekod pada Oktober sebelumnya dicatatkan pada 2014 apabila suhu mencecah 37.5 darjah Celsius di bandar selatan Marbella.

“Pada 1 Oktober, ia mencapai paras tertinggi 2023 di hampir seluruh Semenanjung Iberia,” kata agensi itu menerusi media sosial X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter.

Menurutnya, hampir 40 peratus daripada stesen cuaca telah mencatatkan suhu 32 darjah Celsius atau lebih tinggi.

Keadaan didapati sama pada Isnin, dengan bandar selatan Seville mencecah 38.1 darjah Celsius.

“Tetapi perkara yang paling luar biasa ialah masih terdapat beberapa hari lagi cuaca panas di luar musim dan kita boleh mengalami rekod panas sehingga 10 hari lagi,” kata agensi tersebut.

Walaupun Sepanyol telah terbiasa dengan suhu musim panas yang melambung tinggi, terutamanya di selatan, ia telah mengalami peningkatan dalam gelombang haba yang lebih lama dan lebih panas, kata pakar kaji cuaca.

Sepanyol, yang mencatatkan tahun terpanasnya pada 2022, telah berada dalam cengkaman gelombang panas berturut-turut tahun ini yang bermula pada April, memburukkan lagi kemarau yang berterusan.

Pakar berkata gelombang haba berulang, yang semakin lama dan lebih sengit, berpunca daripada perubahan iklim.

Semenanjung Iberia sedang menanggung beban perubahan iklim di Eropah, dengan kemarau dan kebakaran hutan yang semakin kerap.

Negara-negara di selatan Eropah telah bergelut dengan suhu yang memecahkan rekod musim panas, mendorong pihak berkuasa memberi amaran tentang risiko kesihatan terutamanya bagi warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg