Topik diikuti
Pergi ke BHkuSerangan baru AS-Israel gugat gencatan senjata di Iran, Lebanon
Serangan baru AS-Israel gugat gencatan senjata di Iran, Lebanon
Serangan baru AS-Israel gugat gencatan senjata di Iran, Lebanon
TEHERAN: Iran menuduh Washington melanggar gencatan senjata dan memberi amaran ia bersedia untuk bertindak balas susulan serangan Amerika Syarikat (AS) semalaman.
Sementara itu, pengeboman Israel di Lebanon mengorbankan puluhan nyawa, sekali gus mengancam gencatan senjata yang semakin rapuh di negara itu.
Media pemerintah Iran melaporkan letupan berlaku pada waktu malam di bandar pelabuhan selatan Bandar Abbas, berhampiran Selat Hormuz.
Pasukan Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) memaklumkan tenteranya berjaya menembak jatuh dron Amerika yang memasuki ruang udara negara itu serta melepaskan tembakan ke arah pesawat pejuang F-35.
“Tentera Amerika yang meneruskan tindakan haram dan tidak berasas sejak gencatan senjata dilaksanakan... dalam tempoh 48 jam lalu. Ini sekali gus melakukan pelanggaran serius terhadap gencatan senjata di wilayah Hormozgan,” menurut Kementerian Luar Iran.
Menurut kementerian itu, Teheran tidak akan membiarkan sebarang tindakan jahat tanpa tindak balas dan tidak akan teragak-agak mempertahankan rakyat Iran, tanpa memberikan penjelasan lanjut.
Jurucakap Pentadbiran Pusat Amerika (Centcom), Kapten Tim Hawkins, mengumumkan serangan baharu Amerika ke atas Iran pada waktu malam.
“Pasukan Amerika melancarkan serangan mempertahankan diri di selatan Iran bagi melindungi anggota kami daripada ancaman pasukan Iran,” kata Kapten Hawkins.
Beliau tidak memperincikan serangan itu dan hanya memaklumkan sasaran termasuk ke atas tapak pelancaran peluru berpandu dan bot yang cuba meletakkan periuk api.
Dalam satu kenyataan sempena permulaan sambutan Aidiladha, pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Mojtaba Khamenei, menyatakan Washington semakin kehilangan pengaruhnya di Asia Barat.
Beliau turut memberi amaran kepada negara serantau supaya menghentikan penempatan pangkalan yang membolehkan Amerika melancarkan serangan.
Menurut kenyataan bertulis beliau, Amerika bukan sahaja tidak lagi mempunyai tempat perlindungan selamat di rantau ini untuk melakukan pencerobohan dan menubuhkan pangkalan tentera, malah semakin jauh daripada kedudukan terdahulunya saban hari. – AFP.
