WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada 31 Julai mengumumkan satu perjanjian bagi “pelucutan senjata secara menyeluruh” oleh Hamas, sambil menyifatkannya sebagai langkah penting ke arah pembentukan pemerintahan baharu Palestin di Gaza.

Pegawai Kanan Hamas memberitahu agensi berita, AFP, bahawa perjanjian yang dicapai bersama Israel itu merangkumi ketetapan berkaitan isu senjata kumpulan berkenaan serta penarikan balik tentera Israel secara berperingkat dari Jaluran Gaza.

“Satu persetujuan telah dicapai berhubung isu senjata... Selain itu, persetujuan juga dicapai mengenai penarikan balik secara berperingkat (tentera Israel)” dari wilayah berkenaan, kata seorang pegawai kanan Hamas.

Anggota pasukan perunding Hamas, Encik Ghazi Hamad, berkata kumpulan tersebut sedang “bertolak-ansur demi penduduk di Jaluran Gaza, bagi menyelamatkan mereka daripada pembunuhan dan pemindahan secara terpaksa”.

Setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak Israel.

Pengumuman Encik Trump itu dibuat selepas sumber yang mempunyai maklumat berhubung rundingan bersama pihak perantara di Kahirah memberitahu AFP bahawa pergerakan Islam Palestin itu sedang membuat kemajuan ke arah mencapai satu kesepakatan yang melibatkan penyerahan dan pelucutan senjatanya.

“Hari ini, Lembaga Keamanan telah mencapai satu perjanjian bersejarah bagi pelucutan senjata secara menyeluruh ke atas Hamas dan semua kumpulan bersenjata lain di Gaza.

“Ini merupakan langkah amat penting ke arah keamanan dan keselamatan yang berkekalan,” tulis Encik Trump di wadah media sosial, Truth Social miliknya.

Encik Trump turut berkata proses pelucutan senjata itu akan dilaksanakan dalam “beberapa peringkat yang diatur rapi”.

“Sebaik sahaja pelucutan senjata selesai, tentera Israel akan berundur, dan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) akan bekerjasama dengan pasukan polis baharu Palestin bagi menggalas tanggungjawab memastikan Gaza selamat untuk penduduk serta (negara) jiran,” tambah beliau.

Encik Trump turut melahirkan penghargaan kepada pihak perantara dari Mesir, Qatar dan Turkey.

Isu rumit berhubung pelucutan senjata Hamas menjadi antara titik pertikaian utama dalam kemajuan perjanjian gencatan senjata yang dimeterai antara Israel dengan kumpulan itu di Gaza sejak Oktober 2025.

Meskipun gencatan senjata telah berkuat kuasa, keganasan masih berterusan di Gaza, dengan serangan Israel mengorbankan sekurang-kurangnya empat nyawa termasuk dua kanak-kanak pada 30 Julai, kata pegawai kesihatan tempatan.

Kahirah dijadual menjadi tuan rumah kepada satu mesyuarat “dalam masa terdekat” melibatkan pihak perantara bagi gencatan senjata Gaza, yang turut merangkumi Amerika, Qatar dan Turkey, lapor saluran media rasmi tempatan pada 31 Julai.

Laporan itu bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus bila mesyuarat berkenaan akan berlangsung, tetapi memaklumkan ia bakal membincangkan pelaksanaan fasa kedua pelan gencatan senjata Gaza – satu rangka kerja yang telah dipersetujui oleh Hamas dan kumpulan Palestin lain.

Di bawah pelan damai 20 perkara yang dikemukakan Encik Trump untuk Gaza, fasa kedua gencatan senjata itu akan melibatkan pelucutan senjata Hamas dan penarikan balik tentera Israel secara berperingkat dari wilayah berkenaan.

Pelan itu juga menetapkan penubuhan sebuah jawatankuasa teknokrat Palestin, iaitu Jawatankuasa Nasional Pentadbiran Gaza (NCAG), untuk menggalas tanggungjawab pentadbiran harian sepanjang fasa peralihan pascapeperangan di Gaza.

Sementara itu, sumber diplomatik yang ingin namanya dirahsiakan berkata “isu Gaza langsung tidak dibangkitkan” dalam pertemuan antara Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu dengan Encik Trump di Washington minggu ini. – AFP.