Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Serangan Iran terhadap Iraq cetus pertikaian antara sekutu jiran

Jan 17, 2024 | 05:22 PM



DUBAI/BAGHDAD: Pakistan mendakwa Iran melancarkan serangan udara dengan menceroboh ruang udara wilayahnya, menyebabkan dua kanak-kanak terkorban. Serangan itu berlaku selepas Tehran melancarkan serangan di Iraq dan Syria terhadap apa yang dipanggil ‘kumpulan pengganas anti-Iran’.


Serangan peluru berpandu Iran terhadap sasaran di utara Iraq, mencetuskan pertikaian luar biasa antara sekutu jiran itu pada Selasa, dengan Baghdad memanggil balik dutanya sebagai protes dan Tehran menegaskan serangan itu bertujuan untuk menghalang ancaman daripada pengintip Israel.

Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) melancarkan serangan ke atas apa yang mereka sifatkan sebagai pusat pengintipan Israel di wilayah separa autonomi Kurdistan Iraq, media Iran melaporkan pada 15 Januari.

Sementara pasukan elitnya turut berkata mereka juga melancarkan serangan di Syria menentang Negara Islam (IS).

Pakistan mengecam serangan yang berlaku berhampiran sempadan dikongsi kedua-dua negara pada lewat 16 Januari, sebagai ‘tidak boleh diterima sama sekali’ dengan menegaskan pihaknya tidak membuat sebarang provokasi.

Setakat ini, Iran tidak memberikan sebarang komen rasmi, bagaimanapun agensi berita milik kerajaan, Nour News, melaporkan serangan itu memusnahkan ibu pejabat kumpulan jihad Jaish al-Adl (Tentera Keadilan) Pakistan.


Serangan itu dijangka akan meningkatkan kebimbangan mengenai ketidakstabilan yang semakin memburuk di seluruh Timur Tengah, sejak perang antara Israel dengan kumpulan Hamas bermula pada 7 Oktober, dengan sekutu Iran turut memasuki pertempuran dari Lebanon, Syria, Iraq dan Yaman.

Terdapat juga kebimbangan bahawa Iraq boleh sekali lagi menjadi pencetus konflik serantau, selepas beberapa siri serangan Amerika Syarikat ke atas kumpulan militan berkaitan Iran, yang juga sebahagian daripada pasukan keselamatan rasmi Iraq.

Serangan itu dibuat sebagai tindak balas kepada berpuluh-puluh serangan ke atas tentera Amerika di rantau itu, yang dilakukan sejak 7 Oktober.


IRGC turut berkata serangan lewat 15 Januari adalah serangan ketenteraan langsung pertama Iran di rantau itu, yang dikaitkan dengan perang Gaza, sebagai tindak balas kepada “kekejaman” Israel terhadap beberapa komander nya dan tentera bersekutu Iran, di sekitar Timur Tengah sejak konflik bermula.

Perdana Menteri Iraq, Encik Mohammed Shia al-Sudani, berkata serangan itu adalah “pencerobohan yang jelas” terhadap Iraq dan perkembangan berbahaya yang menjejaskan hubungan kukuh antara Tehran dengan Baghdad, lapor media pemerintah yang dipetik akhbar The Japan Times.


Beliau berkata Iraq berhak untuk mengambil semua langkah undang-undang dan diplomatik yang dibolehkan menurut kedaulatannya.


Sebagai bantahan, Iraq memanggil semula perwakilannya dari Tehran dan memanggil kuasa urusan Iran di Baghdad.

Serangan itu, di kawasan perumahan berhampiran konsulat Amerika di ibu kota Kurdistan, Erbil, disifatkan oleh Perdana Menteri Kurdish Iraq, Encik Masrour Barzani, sebagai “jenayah terhadap rakyat Kurdish” dengan sekurang-kurangnya empat orang awam terbunuh dan enam cedera.

Ahli perniagaan jutawan Kurdish, Encik Peshraw Dizayee dan beberapa ahli keluarganya, adalah antara yang terbunuh apabila sekurang-kurangnya sebuah roket merempuh rumah mereka, kata sumber keselamatan dan perubatan Iraq.


Penasihat Keselamatan Negara Iraq, Encik Qasim al-Araji, menafikan rumah itu menjadi pusat pengintip Israel.

“Untuk menjawab dakwaan bahawa terdapat ibu pejabat Mossad, kami melawat tempat itu dan meninjau setiap sudut rumah ini, dan semuanya menunjukkan bahawa ia adalah rumah keluarga milik ahli perniagaan Iraq dari Erbil,” katanya kepada pemberita.


Jurucakap pemerintah Israel, Encik Avi Hayman, berkata beliau tidak akan membuat spekulasi, apabila ditanya pada taklimat berita mengenai dakwaan Iran bahawa ia mengenai tapak Mossad.

“Apa yang saya akan katakan ialah Iran terus menggunakan proksinya untuk menyerang Israel dalam pelbagai bidang. Kami mengecam kegiatan Iran dan kami menyeru masyarakat antarabangsa untuk bangkit menentang Iran dan menyeru perdamaian di rantau ini,” katanya.


Mempertahankan serangan itu, jurucakap Kementerian Ehwal Luar Iran, Encik Nasser Kanaani, berkata Tehran menghormati kedaulatan dan integriti wilayah negara lain, tetapi ia adalah “hak sah Iran untuk menghalang ancaman keselamatan negara”.

Sebagai tambahan kepada serangan ke atas Erbil itu, IRGC berkata mereka menembak peluru berpandu balistik di Syria dan memusnahkan “pelaku operasi pengganas” di Iran, termasuk IS.


IS mengaku bertanggungjawab atas dua letupan di Iran bulan ini, yang mengorbankan hampir 100 orang dan mencederakan beberapa orang di tugu peringatan komander tertinggi, Encik Qassem Soleimani.


Perancis menuduh Iran melanggar kedaulatan Iraq dan Washington mengutuk serangan itu sebagai “melulu”.


Pegawai Amerika berkata tiada kemudahan Amerika yang terkena dan tiada warga Amerika terkorban.


Iran, yang menyokong kumpulan Hamas dalam peperangannya dengan Israel, menuduh Amerika menyokong apa yang dipanggil jenayah Israel di Gaza.


Amerika telah menyatakan ia menyokong Israel dalam kempennya, tetapi telah menyuarakan tentang kebimbangan mengenai jumlah orang awam Palestin yang terbunuh.


Pada masa lalu, Iran telah melakukan serangan di wilayah Kurdistan Iraq, mengatakan kawasan itu digunakan sebagai tempat pementasan kumpulan pemisah Iran, serta ejen musuh ketatnya, Israel.


Baghdad telah cuba menangani kebimbangan Iran mengenai kumpulan pemisah di rantau itu, bergerak untuk menempatkan semula beberapa ahli sebagai sebahagian daripada perjanjian keselamatan yang dicapai dengan Tehran pada 2023.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >