Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Serangan Israel dekat hospital Beirut sebab puluhan maut, cedera

Oct 23, 2024 | 1:26 PM
Para penduduk mencari mereka yang terselamat di celah-celah puing-puing bangunan yang runtuh akibat pengeboman tentera Israel di kawasan dekat Hospital Universiti Rafik Hariri di Beirut pada 22 Oktober.
Para penduduk mencari mereka yang terselamat di celah-celah puing-puing bangunan yang runtuh akibat pengeboman tentera Israel di kawasan dekat Hospital Universiti Rafik Hariri di Beirut pada 22 Oktober. - Foto REUTERS

BEIRUT: Sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh, termasuk empat kanak-kanak, dan 60 cedera dalam serangan Israel berhampiran hospital utama pemerintah di Beirut pada 22 Oktober, kata kementerian kesihatan.

Tentera Israel berkata, serangan jet-jetnya menyasarkan kumpulan Hezbollah berhampiran Hospital Universiti Rafik Hariri di Beirut tetapi tidak menjejas kemudahan hospital tersebut.

Namun, pengarah Hospital Rafik Hariri, Dr Jihad Saadeh, berkata serangan Israel itu telah memecahkan beberapa tingkap kaca dan panel solar di hospital tersebut yang terus beroperasi walaupun mengalami kerosakan dan suasana panik.

Menurutnya, meskipun tiada kemalangan jiwa melibatkan kakitangan hospital, namun usaha menyelamatkan mangsa serangan sedang giat dijalankan di hadapan hospital.

Dr Saadeh berkata pihak hospital tidak menerima amaran tentang serangan yang akan berlaku.

Para penduduk di kawasan setinggan yang menempatkan beberapa bangunan yang sesak dihuni pekerja asing dan pekerja Lebanon juga tidak menerima sebarang amaran awal.

Sukar untuk peralatan menyelamat sampai ke kawasan penempatan berkelompok dan jalan sempit berdebu.

Salah seorang penyelamat, Encik Nizar, yang berada di lokasi serangan sejak malam sebelumnya, berkata kawasan yang penuh sesak itu kini diselaputi serpihan, perabot, logam berpintal serta batu bata yang pecah.

Menurutnya, para penduduk yang terselamat dalam letupan besar itu masih terkejut, ada yang masih berusaha mencari saudara mereka atau barang-barang keperluan harian dari runtuhan bangunan.

Seorang warga Sudan, Encik Mohammad Ibrahim, dilhat datang mencari abangnya.

“Telefon bimbitnya masih berbunyi. Saya cuba mencari dia. Saya tidak tahu sama ada dia sudah mati atau masih hidup,” ujarnya.

Pasukan Pertahanan Awam Lebanon berkata lima bangunan musnah dan 12 mengalami kerosakan teruk.

Antara 18 yang terbunuh termasuk seorang warga Sudan dan sekurang-kurangnya seorang warga Syria.

“Ini adalah kawasan yang sangat sesak. Bangunan sangat dekat. Justeru kemusnahan yang berlaku sangat teruk,” kata Encik Nizar sambil menjelaskan bahawa skala kerosakan menjadikan usaha menyelamat lebih sukar dijalankan.

Di seberang jalan, pihak hospital masih merawat beberapa orang yang cedera. Bilik mayat telah menerima 13 jenazah. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg