BEIRUT: Beratus-ratus penduduk Beirut melarikan diri dari rumah mereka pada lewat 20 Oktober selepas Israel berkata ia sedang bersiap untuk melancarkan serangan ke atas markas yang dikaitkan dengan operasi kewangan kumpulan Hezbollah.
Tidak lama selepas amaran Israel itu, beberapa letupan kedengaran dan kebakaran besar kelihatan di pinggir selatan Beirut. Tiada maklumat segera mengenai punca letupan atau butiran mengenai mangsa.
Orang ramai yang panik memenuhi jalan raya hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di beberapa bahagian di Beirut apabila mereka cuba mencari perlindungan ke kawasan kejiranan yang dianggap lebih selamat, kata saksi.
“Penduduk Lebanon, Pasukan Tentera Israel akan mula menyerang prasarana milik Persatuan Hezbollah Al-Qard Al-Hassan – segera pergi dari sini,” kata jurucakap tentera Israel dalam satu kenyataan menerusi platform X.
Al-Qard al-Hassan – yang dikatakan Amerika Syarikat digunakan oleh Hezbollah untuk menguruskan kewangannya – mempunyai lebih 30 cawangan di seluruh Lebanon, termasuk 15 di bahagian padat penduduk di tengah Beirut dan pinggir bandarnya.
Tiada kenyataan segera daripada pertubuhan itu, Hezbollah atau pemerintah Lebanon.
Ketika ditanya oleh wartawan sama ada cawangan tersebut boleh dianggap sebagai sasaran ketenteraan, seorang pegawai kanan perisikan Israel berkata:
“Tujuan serangan ini adalah untuk melemahkan keupayaan ekonomi Hezbollah, bukan sahaja semasa perang, bahkan juga selepasnya, bagi menghalang usaha mereka untuk membina semula dan memperkukuhkan semula kekuatan... pada hari-hari yang menyusul.”
Pertempuran berlaku di dua bahagian ketika Israel menyasarkan apa yang disifatkan sebagai “pusat komando” Hezbollah di ibu negara Lebanon.
Sementara itu di Gaza, penyelamat melaporkan 73 orang terbunuh dalam satu serangan udara.
Serangan ke atas kubu kuat Hezbollah di selatan Beirut berlaku selepas Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menuduh kumpulan yang disokong Iran itu cuba membunuhnya dengan menyasarkan kediamannya.
Ia juga berlaku ketika orang Israel meraikan percutian Yahudi selama seminggu di Sukkot.
Agensi Berita Kebangsaan (NNA) rasmi Lebanon berkata serangan Israel ke atas ibu negara itu melanda sebuah bangunan kediaman di kawasan Haret Hreik, Beirut Selatan, berhampiran sebuah masjid dan hospital.
Tentera Israel berkata ia menyerang “pusat komando ibu pejabat perisikan Hezbollah” dan kemudahan senjata bawah tanah di Beirut dan ia membunuh tiga anggota Hezbollah dalam serangan lain.
Dalam pada itu, sekitar 70 peluru diluncurkan dari Lebanon pada 20 Oktober dan melintasi Israel dalam beberapa minit, kata tentera, sambil menambah ia memintas sebahagian daripada mereka.
Menggambarkan intensiti pertempuran, NNA kemudian melaporkan 14 serangan Israel dalam masa 15 minit ke atas sebuah perkampungan sempadan, Khiam.
Di Gaza, agensi pertahanan awam berkata serangan udara Israel ke atas kawasan perumahan mengorbankan sekurang-kurangnya 73 rakyat Palestin di Beit Lahia di utara wilayah itu. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg