BAITULMAKDIS: Agensi pertahanan awam Gaza pada 10 Ogos berkata lebih 90 orang terbunuh dalam serangan terkini Israel ke atas sebuah sekolah yang menempatkan mereka yang kehilangan tempat tinggal di wilayah Palestin yang terkepung.
Ini sedang Israel berkata ia membedil sebuah pusat kerahan militan.
Agensi berita AFP tidak dapat mengesahkan angka sebenar mereka yang terkorban, dan jika benar, ia seolah-olah jumlah kematian yang paling ramai dalam satu serangan sepanjang 10 bulan peperangan di Gaza, antara Israel dengan Hamas.
“Sejauh ini lebih 93 orang terkorban, termasuk 11 kanak-kanak dan enam wanita.
“Ada juga mangsa yang tidak dapat dikenal pasti,” kata jurucakap bagi Pertahanan Awam Palestin, Encik Mahmud Bassal dalam satu sidang berita yang disiarkan.
Serangan itu tambahnya, terkena tingkat atas dan bawah sekolah itu.
“Di tingkat atas, terdapat wanita dan kanak-kanak sementara di tingkat bawah terdapat mereka yang sedang bersolat. Mereka dibedil secara langsung.
“Tubuh mereka hancur. Ia mengingatkan kita semasa hari-hari pertama perang di Jaluran Gaza,” jelas Encik Bassal.
Sekitar 6,000 orang telah berlindung di kawasan itu, kata Encik Basal seperti yang dilapor The Straits Times, menukil AFP.
Kumpulan yang berperang di samping Hamas, Islamic Jihad, berkata serangan berlaku semasa waktu subuh.
Pengarah agung pejabat media pemerintah Gaza, Encik Ismail-Thawabta memberitahu AFP, bahawa serangan itu menyebabkan “lebih 100 orang terkorban dan ramai yang lain cedera, kebanyakan mereka cedera teruk dan dalam keadaan kritikal”.
Seorang wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai situasi hak di wilayah Palestin, Cik Francesca Albanese berkata dalam platform ‘X’:
“Israel sedang melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas satu kejiranan di Palestin pada masa ini, satu hospital pada masa ini, satu sekolah pada masa ini, satu kem pelarian pada masa ini dan satu zon selamat pada masa ini.”
Dengan kebanyakan daripada 2.4 juta penduduk Gaza dipindahkan semasa perang bermula susulan serangan Hamas pada 7 Oktober ke atas selatan Israel, ramai yang telah berlindung dalam bangunan sekolah.
Insiden pada 10 Ogos itu bermakna sekurang-kurangnya 14 sekolah telah dibedil di Gaza sejak 6 Julai, membunuh lebih 280 mangsa menurut angka AFP, seperti yang diberi para pegawai wilayah sebelum ini.
Imej-imej AFPTV menunjukkan sebuah kompleks besar dengan ruang terbuka di mana serpihan berselerak di merata tempat.
Sebahagian struktur kelihatan seperti sebuah masjid, dengan tingkat atasnya separuh musnah dan hangus.
Pihak tentera Israel berkata ia membedil sebuah pusat kerahan dan kawalan Hamas, yang ditempatkan di sekolah Al-Tabieen dalam kejiranan Daraj.
“Banyak langkah diambil untuk mengurangkan risiko membahayakan orang awam, termasuk menggunakan senjata terperinci, pemantauan udara, dan maklumat risikan,” kata kenyataan itu. – AFP, Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg