Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel tekad hapuskan pemimpin baru Hamas

Aug 8, 2024 | 12:40 PM
Encik Yahya Sinwar, pemimpin Hamas di Gaza sejak 2017, tidak kelihatan sejak serangan terburuk dalam sejarah Israel pada 7 Oktober.
Encik Yahya Sinwar, pemimpin Hamas di Gaza sejak 2017, tidak kelihatan sejak serangan terburuk dalam sejarah Israel pada 7 Oktober. - Foto AFP

BAITULMAKDIS: Israel berikrar untuk menghapuskan ketua baru Hamas, Encik Yahya Sinwar, yang didakwa mendalangi serangan maut di Israel pada 7 Oktober, di tengah-tengah ketegangan serantau memuncak ketika perang Gaza memasuki bulan ke-11 pada 7 Ogos.

Pelantikan Encik Sinwar, 61 tahun, dibuat ketika Israel bersiap sedia menghadapi potensi tindakan balas Iran atas pembunuhan pemimpin Hamas terdahulu, Encik Ismail Haniyeh, di Teheran pada 30 Julai lalu.

Bercakap di satu pangkalan tentera pada 7 Ogos, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata Israel “bertekad” untuk mempertahankan diri.

“Kami bersedia dari segi pertahanan dan berdepan serangan,” katanya kepada rekrut baru.

Ketua tentera Israel, Leftenan-Jeneral Herzi Halevi, berikrar untuk “mencari Sinwar, menyerangnya” dan memaksa Hamas mencari pemimpin lain.

Encik Sinwar – pemimpin Hamas di Gaza sejak 2017 – tidak kelihatan sejak serangan 7 Oktober, yang paling maut dalam sejarah Israel.

Seorang pegawai kanan Hamas memberitahu AFP pemilihan Encik Sinwar menghantar mesej bahawa organisasi itu “meneruskan laluan penentangannya”.

Sekutu Hamas, Hezbollah di Lebanon, mengucapkan tahniah kepada Encik Sinwar dan berkata pelantikan itu mengesahkan “musuh telah gagal mencapai objektifnya” dengan membunuh pemimpin dan pegawai Hamas.

Penganalisis percaya Encik Sinwar lebih berpendirian untuk enggan bersetuju dengan gencatan senjata Gaza dan lebih dekat kepada Teheran berbanding Encik Haniyeh, yang bermastautin di Qatar.

“Sekiranya perjanjian gencatan senjata kelihatan tidak mungkin dicapai selepas kematian Encik Haniyeh, ia semakin lebih kecil kemungkinan berlaku di bawah Encik Sinwar,” kata Cik Rita Katz, pengarah eksekutif Kumpulan Perisikan SITE.

“Kumpulan itu hanya akan bersandar lebih jauh kepada strategi garis tegarnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” tambahnya.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken, memberitahu pemberita bahawa terpulang kepada Encik Sinwar untuk membantu mencapai gencatan senjata dan beliau kekal sebagai penentu utamanya.

Hezbollah yang disokong Iran juga telah berjanji untuk membalas dendam atas kematian Encik Haniyeh dan komander tenteranya sendiri Encik Fuad Shukr dalam serangan Israel di Beirut.

Dalam ucapan di televisyen, pemimpin Hezbollah, Encik Hassan Nasrallah, berkata pada 6 Ogos bahawa kumpulannya akan membalas “sendirian atau dalam konteks tindak balas bersatu” daripada semua paksi kumpulan yang disokong Iran di rantau itu.

Amerika yang telah menghantar kapal perang dan jet tambahan ke rantau itu, menggesa Iran dan Israel supaya mengelakkan peningkatan konflik. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg