MANAMA: Sebuah kapal kontena yang melalui Selat Hormuz diserang pada 25 Jun dalam satu insiden yang didakwa dilakukan tentera Iran, sekali gus menjejaskan usaha memulihkan semula laluan perkapalan di antara laluan tenaga paling penting dunia itu.

Agensi maritim Britain, Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO), berkata kapal kargo berkenaan dilaporkan terkena peluru berhampiran Oman beberapa jam selepas Teheran memberi amaran bahawa kapal yang menggunakan laluan tidak diluluskan Iran tidak akan dijamin keselamatannya.

Dua pegawai Amerika Syarikat memberitahu Reuters bahawa Iran melepaskan tembakan ke arah kapal itu, manakala Penguasa Selat Teluk Parsi Iran berkata kapal yang tidak mematuhi laluan ditetapkan berdepan risiko keselamatan.

Empat sumber mengenal pasti kapal itu sebagai Ever Lovely yang berdaftar di Singapura.

Sumber keselamatan berkata kapal itu dipercayai diserang dron.

Insiden itu berlaku ketika Iran cuba menunjukkan pengaruhnya ke atas Selat Hormuz, selepas sebelum ini memberi amaran bahawa satu-satunya laluan selamat bagi kapal minyak dan gas asli ialah melalui perairannya.

Sejak beberapa bulan lalu, banyak kapal memilih laluan di sebelah selatan selat itu berhampiran pantai Oman bagi mengelak ketegangan keselamatan.

Serangan tersebut menyebabkan pergerakan kapal melalui selat itu kembali tergendala dan bercanggah dengan kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, bahawa Iran tidak menguasai laluan tersebut dan ia sudah dibuka semula sepenuhnya kepada perkapalan antarabangsa.

Harga minyak dunia turut melonjak selepas serangan itu.

Minyak mentah Brent meningkat lebih dua peratus kepada sekitar AS$75 (S$97) setong, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) naik lebih dua peratus kepada kira-kira AS$72 setong.

Seorang pegawai Amerika yang enggan dikenali berkata kapal itu terkena serangan dron.

Serangan itu mendorong Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggantung operasi mengiringi dan memindahkan pelaut daripada ratusan kapal yang terkandas di Teluk Parsi.

Pelan pemindahan lebih 11,000 pelaut yang terkandas di Selat Hormuz ditangguhkan oleh IMO selepas sebuah kapal kargo diserang ketika melalui laluan strategik itu.

Ketua IMO, Encik Arsenio Dominguez berkata, beberapa kapal sebelum ini sudah berjaya dipindahkan, namun operasi tersebut dihentikan sementara bagi memastikan “jaminan keselamatan yang diperlukan” dapat dipenuhi.

Perkembangan itu turut mencetuskan semula kebimbangan terhadap perjanjian awal menamatkan perang Iran yang diumumkan sebelum ini.

Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, pada 25 Jun mengadakan pertemuan dengan pemimpin negara Teluk di Bahrain bagi meredakan kebimbangan keselamatan mereka.

Terdahulu, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) memberi amaran bahawa semua kapal mesti berkoordinasi dengan tentera lautnya dan tidak menggunakan laluan alternatif yang dipercayai merujuk kepada perairan Oman.

“Laluan ini tidak boleh diterima dan amat berbahaya,” menurut kenyataan tentera laut IRGC yang disiarkan agensi berita Tasnim.

“Kami memberi amaran kepada semua kapal supaya tidak bergerak di luar laluan yang ditetapkan,” tambah kenyataan itu sambil memberi amaran tindakan akan diambil terhadap kapal yang ingkar.

UKMTO berkata kapal berkenaan terkena “peluru tidak dikenali” yang merosakkan bahagian anjung kapal.

Insiden itu berlaku kira-kira 7.5 batu nautika di tenggara Dahit, Oman.

Menurut pangkalan data kapal Equasis, Ever Lovely dimiliki syarikat perkapalan Taiwan, Evergreen Marine.

Setiausaha Agung IMO, Encik Arsenio Dominguez, bagaimanapun berkata kapal yang diserang itu bukan sebahagian daripada operasi pemindahan agensi tersebut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Keselamatan BIMCO, persatuan perkapalan terbesar dunia, Encik Jakob Larsen, berkata insiden itu menunjukkan perlunya persetujuan lebih jelas antara Washington dan Tehran mengenai operasi perkapalan di Selat Hormuz.

“Perjanjian semasa tidak cukup jelas,” katanya.

Seorang pegawai Iran pula berkata Oman telah membenarkan kapal menggunakan laluan alternatif tanpa persetujuan Iran, sekali gus menimbulkan kemarahan Teheran kerana ia dianggap mencabar kawalan Iran terhadap selat tersebut.

Katanya, Oman kini berada dalam kedudukan sukar kerana perlu bekerjasama dengan Iran bagi mengurus laluan itu, namun pada masa sama berdepan tekanan Amerika untuk memastikan laluan dibuka sepenuhnya.

Beliau menegaskan Iran tidak akan menerima campur tangan pihak kedua atau ketiga dalam pengurusan Selat Hormuz.

Penganalisis kanan Institut Washington bagi Dasar Timur Dekat, Cik Noam Raydan, berkata Iran mahu sistem pelayaran di selat itu dikawal mengikut syaratnya sendiri.

“Iran mahu aturan pelayaran ini berlaku mengikut kehendaknya,” katanya.

Data syarikat maritim Kpler menunjukkan sekitar 70 kapal melalui Selat Hormuz pada 24 Jun termasuk 29 kapal tangki minyak, menjadikannya hari paling sibuk sejak 1 Mac lalu.

Sebelum perang Iran tercetus, lebih 130 kapal melalui selat itu setiap hari.

Dalam pertemuannya dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di Manama, Encik Rubio menolak dakwaan Iran bahawa laluan tersebut berada di bawah kawalannya.

“Laluan perairan antarabangsa bukan milik mana-mana negara,” katanya.

“Ini prinsip asas dunia hari ini. Tanpanya, dunia akan berada dalam keadaan huru-hara.” - Agensi berita