Topik diikuti
Pergi ke BHkuWashington, Teheran terus berselisih isu nuklear dan aset Iran
Washington, Teheran terus berselisih isu nuklear dan aset Iran
Washington, Teheran terus berselisih isu nuklear dan aset Iran
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mendakwa Iran bersetuju membenarkan pemeriksaan nuklear “selama-lamanya”, namun Teheran segera menafikan dakwaan itu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai ketahanan perjanjian damai rapuh antara kededua negara.
Kenyataan bercanggah itu muncul selepas rundingan pusingan pertama antara Washington dengan Teheran di Switzerland berakhir pada 22 Jun lalu, hanya beberapa hari selepas kededua pihak menandatangani rangka kerja damai bagi menamatkan perang Asia Barat.
Selain isu pemeriksaan nuklear, kededua pihak turut bercanggah pandangan mengenai aset Iran yang dibekukan, kawalan di Selat Hormuz serta perang selari Israel di Lebanon.
Walaupun begitu, Encik Trump memberi gambaran rundingan berjalan lancar.
“Kami semakin serasi antara satu sama lain,” katanya semasa berucap di satu perhimpunan di Pennsylvania pada 23 Jun.
Sebagai tanda ketegangan semakin reda, Amerika turut melonggarkan sekatan perjalanan terhadap pasukan bola sepak Iran yang menyertai Piala Dunia.
Skuad Iran kini dibenarkan terbang dari Tijuana, Mexico, ke Seattle dua hari sebelum perlawanan seterusnya, berbanding hanya sehari sebelum ini.
Namun di sebalik kenyataan optimistik Encik Trump, tinjauan Reuters/Ipsos mendapati 35 peratus rakyat Amerika percaya kedudukan Amerika terhadap Iran kini lebih lemah berbanding sebelum perang tercetus pada 28 Februari lalu.
Hanya 23 peratus berpendapat kedudukan Washington kini lebih kukuh.
Di Washington pula, Senat yang dikuasai Parti Republikan turut meluluskan usul simbolik untuk menghentikan perang, sekali gus menunjukkan wujud perpecahan dalam parti Encik Trump sendiri.
Dalam perkembangan lain, perjanjian awal damai itu membolehkan semula pergerakan kapal di Selat Hormuz yang sebelum ini ditutup Iran ketika perang memuncak.
Laluan strategik itu mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan tenaga dunia.
Harga minyak pada 23 Jun pula jatuh ke paras paling rendah sejak sebelum perang bermula.
Pertubuhan Maritim Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata pihaknya sedang berusaha memindahkan 11,000 pelaut yang terkandas selepas Iran menutup selat berkenaan sebelum ini.
Perjanjian damai itu menetapkan Iran perlu membenarkan kebebasan pelayaran selama 60 hari, namun Teheran memberi bayangan mungkin mengenakan bayaran tol atau caj lain selepas tempoh tersebut.
Iran dan Oman yang mengawal bahagian bertentangan Selat Hormuz mengeluarkan kenyataan bersama menegaskan “hak kedaulatan” mereka di laluan perairan itu.
Kedua-dua negara turut menyatakan komitmen untuk bekerjasama mengurus trafik kapal dan kos berkaitan.
Bagaimanapun, Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, berkata Iran tidak akan dibenarkan mengenakan tol di Selat Hormuz dalam mana-mana perjanjian akhir.
Encik Rubio membuat kenyataan itu ketika melawat beberapa negara Teluk yang dilaporkan kurang senang dengan perjanjian damai tersebut.
Rangka kerja damai itu turut menetapkan penamatan segera perang termasuk di Lebanon, penggantungan sekatan Amerika terhadap Iran serta pembebasan aset Tehran yang dibekukan di luar negara.
Ia juga merangkumi dana pelaburan bernilai AS$300 bilion ($389 bilion) bagi membantu pembinaan semula Iran.
Namun, isu program nuklear Iran terus menjadi titik pertikaian utama.
Encik Trump mendakwa Iran sudah bersetuju membenarkan pemeriksa antarabangsa memasuki tapak nuklear negara itu tanpa had masa.
“Iran sudah bersetuju sepenuhnya untuk pemeriksaan nuklear tahap tertinggi bagi tempoh sangat panjang, malah selama-lamanya,” katanya menerusi media sosial.
Tetapi Iran segera menafikan perkara itu.
Duta Iran ke PBB di Geneva, Encik Ali Bahreini, berkata program nuklear langsung tidak dibincangkan dalam rundingan terbaru.
Beliau turut menafikan Tehran bersetuju membenarkan semula pemeriksa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) memasuki Iran.
Kedua-dua pihak juga bercanggah mengenai penggunaan aset Iran yang dibekukan.
Encik Trump berkata dana yang dibebaskan itu akan digunakan untuk membeli makanan dan bekalan perubatan dari Amerika.
Namun Encik Bahreini menegaskan Iran sendiri akan menentukan cara menggunakan wang tersebut.
Washington sebelum ini sudah bersetuju menggantung sekatan terhadap Iran selama 60 hari, membolehkan Teheran menjual minyak dan menerima bayaran secara sah.
Dalam pada itu, perang selari Israel terhadap Hezbollah di Lebanon turut menjadi isu sensitif dalam rundingan damai tersebut.
Encik Bahreini berkata perjanjian itu mewajibkan Israel mengundurkan tenteranya dari Lebanon.
Bagaimanapun, Israel menegaskan ia akan terus mengekalkan zon keselamatan di selatan Lebanon serta mengambil tindakan untuk menghapuskan ancaman terhadap rakyat dan tenteranya.
Media pemerintah Lebanon melaporkan dua penduduk terbunuh akibat tembakan Israel pada 23 Jun, manakala Hezbollah mendakwa insiden itu melanggar syarat gencatan senjata.
Israel dan Lebanon turut memulakan rundingan baharu di Washington pada hari sama bagi membincangkan situasi keselamatan di sempadan kedua-dua negara.
Walaupun perang besar Asia Barat kini dilihat semakin reda, kenyataan bercanggah antara Washington dan Tehran menunjukkan masih banyak isu utama belum dipersetujui sepenuhnya.
Keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada perjanjian damai yang dicapai benar-benar mampu bertahan dalam jangka panjang. –Agensi berita.
