KHARTOUM (Sudan): Sekurang-kurangnya 40 orang awam terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam serangan udara oleh tentera di sebuah pasar di selatan Khartoum, kata kumpulan sukarelawan tempatan, menandakan jumlah kematian tunggal terbesar sejak perang di Sudan bermula pada April.
Serangan udara dan artileri di kawasan kediaman semakin rancak apabila perang antara tentera Sudan dengan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera hampir memasuki lima bulan, tanpa kedua-dua pihak mengisytiharkan kemenangan atau menunjukkan sebarang tanda konkrit untuk mencari huraian.
Dron digunakan dalam beberapa siri serangan udara pada pagi Ahad di selatan Khartoum, sebuah daerah besar di bandar yang diduduki terutamanya oleh RSF, menurut seorang saksi yang melihat serangan itu memberitahu agensi berita Reuters, meminta untuk tidak dikenali atas sebab keselamatan.
Imej yang dikongsi oleh badan sukarelawan tempatan yang dipanggil Bilik Kecemasan Khartoum Selatan (SKER) menunjukkan ramai wanita dan lelaki cedera dan kelihatan seperti mayat yang ditutupi kain.
Penduduk di kawasan itu cenderung melakukan kerja harian kerana sudah hilang pekerjaan dan terlalu miskin untuk menanggung kos melarikan diri dari ibu kota.
Encik Mohamed Abdallah, jurucakap SKER, yang cuba menyediakan perkhidmatan perubatan dan lain-lain, berkata mangsa yang cedera terpaksa diangkut dengan beca dan kereta keldai.
Dalam satu kenyataan, RSF menuduh tentera Sudan melakukan serangan. Tentera Sudan menafikan bertanggungjawab dan menyalahkan pihak RSF.
“Kami hanya menyasarkan serangan kami kepada kumpulan dan stesen musuh di kawasan yang berbeza,” kata Brigadier Jeneral Nabil Abdallah kepada Reuters.
RSF telah bergerak ke seluruh kawasan perumahan di merata Khartoum dan jiran Bahri dan Omdurman, tetapi tentera telah menggunakan artileri berat dan serangan udara untuk cuba menolaknya, mengakibatkan ratusan orang awam terkorban.
Serangan di barat Omdurman minggu lalu membunuh sekurang-kurangnya 51 orang dalam tempoh dua hari. Dengan kebanyakan hospital ditutup dan tiada penguasa tempatan yang berfungsi, sukarelawan berjuang untuk mendokumenkan jumlah sebenar mereka yang terbunuh.
Médecins Sans Frontières (MSF) atau dikenali sebagai Doktor Tanpa Sempadan yang mengendalikan hospital Bashair di selatan Khartoum, pada laman media sosial, X, berkata bahawa pasar Gorro yang sesak itu, telah diserang pada 7 pagi, dan sekurang-kurangnya 60 orang cedera.
Doktor telah berhenti mencuba mengira mangsa semasa mereka beroperasi.
“Khartoum telah berperang selama hampir enam bulan. Namun, para sukarelawan … terkejut dan terharu dengan skala ngeri yang melanda bandar hari ini,” kata penyelaras kecemasan MSF, Cik Marie Burton.
SKER berkata dalam satu kenyataan pada Jumaat bahawa hospital itu, satu daripada segelintir yang masih beroperasi, diancam akan ditutup kerana bekalan kehabisan dan kakitangan menghadapi pelbagai masalah menguruskannya.
Konflik antara tentera dengan RSF tercetus pada 15 April, selepas ketegangan timbul berhubung penyepaduan tentera mereka dalam peralihan baharu kepada demokrasi.
Beberapa negara telah melancarkan usaha pengantaraan, tetapi tidak ada yang berjaya menghentikan pertempuran.
Data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan bahawa kira-kira 2.8 juta orang meninggalkan ibu kota Sudan, daripada kira-kira lima juta penduduk direkodkan sebelum perang.
Mereka yang masih berada di Khartoum, terperangkap oleh serangan udara, tembakan artileri dan pertempuran di jalanan selain terpaksa mencatu air serta elektrik. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg