Topik diikuti
Pergi ke BHkuSerbuan antirasuah Iraq bongkar simpanan wang, emas dalam bekas plastik; rampasan berbilion dinar
Serbuan antirasuah Iraq bongkar simpanan wang, emas dalam bekas plastik; rampasan berbilion dinar
Serbuan antirasuah Iraq bongkar simpanan wang, emas dalam bekas plastik; rampasan berbilion dinar
BAGHDAD: Pihak berkuasa Iraq dilaporkan menemui berbilion dinar Iraq dalam bentuk wang tunai dan sejumlah besar emas yang disembunyikan dalam bekas plastik di sebuah rumah di Tikrit, ketika pemerintah memperhebat operasi antirasuah terbesar negara itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut laporan media tempatan, pasukan keselamatan menemui sembilan tong air plastik berisi wang tunai, dengan setiap satu mengandungi kira-kira satu bilion dinar Iraq (S$ $990,000), selain lima bekas plastik besar dipenuhi emas ketika serbuan dilakukan di sebuah rumah di Daerah Kehakiman Tikrit.
Rampasan itu berlaku hanya beberapa hari selepas Iraq melancarkan operasi besar-besaran menyasarkan ahli parlimen, pegawai kanan pemerintah dan individu berpengaruh yang disyaki terbabit dalam rasuah serta pengubahan wang haram.
Pihak berkuasa Iraq berkata, seramai 47 suspek termasuk anggota parlimen dan pegawai kanan pemerintah sudah ditahan setakat ini bagi membantu siasatan.
Sehari sebelum itu, pihak berkuasa turut merampas sejumlah besar wang tunai, emas dan barangan berharga lain dalam beberapa serbuan membabitkan tokoh politik kanan.
Menurut laporan tempatan, penyiasat menemui lebih 20 bilion dinar Iraq di kediaman ahli parlimen, Encik Alia Nassif, selain aset berharga lain.
Pihak berkuasa berkata, Encik Nassif dan anak lelakinya ditahan atas dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram sebagai sebahagian daripada operasi antirasuah di seluruh negara.
Pegawai Iraq menegaskan kempen itu mencerminkan pendekatan “tiada kompromi” terhadap rasuah, walaupun semua dakwaan dan rampasan masih tertakluk kepada proses mahkamah dan pengesahan rasmi.
Badan kehakiman Iraq berkata, siasatan yang bermula sejak penghujung 2025 berjaya membongkar rangkaian melibatkan ahli parlimen dan pegawai pemerintah yang didakwa menyalahgunakan dana awam, mengeksploitasi kontrak pemerintah serta menerima komisen haram.
“Penyiasatan masih diteruskan dan pasukan keselamatan sedang memburu beberapa lagi suspek yang dipercayai melarikan diri,” menurut kenyataan badan kehakiman itu.
Pihak berkuasa menyifatkan siasatan berkenaan sebagai antara operasi antirasuah paling besar dan sensitif pernah dijalankan di Iraq sejak beberapa tahun lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Kehakiman Tertinggi Iraq mengumumkan penyiasat turut merampas AS$11 juta (S$14.2 juta) dan empat bilion dinar Iraq dalam bentuk wang tunai dari rumah Timbalan Menteri Minyak bagi Hal Ehwal Pengedaran, Ali Maarij Al Bahadly.
Dalam kenyataan lewat 29 Jun, hakim Mahkamah Jenayah Pusat Antirasuah berkata wang itu ditemui ketika “siasatan awal” terhadap menteri yang ditahan itu.
“Siasatan masih berjalan,” katanya tanpa mendedahkan butiran lanjut mengenai barang rampasan atau kemungkinan penahanan individu lain yang berkaitan.
Gambar yang dikeluarkan Majlis Kehakiman menunjukkan penyiasat menggunakan tukul gerudi untuk memecahkan dinding sebuah bangunan kolam renang.
Lubang berbentuk segi empat jelas kelihatan pada dinding itu manakala serpihan konkrit bertaburan berhampiran kolam kosong berjubin biru.
Beberapa bagasi terbuka pula dipenuhi ikatan wang dolar Amerika Syarikat dan dinar Iraq, selain kotak barangan mewah termasuk jam tangan Rolex berwarna emas.
Rampasan itu dianggap antara sitaan wang tunai terbesar yang pernah didedahkan dalam kempen antirasuah Iraq.
Perdana Menteri Iraq, Ali Al Zaidi, berkata operasi berkenaan “baru memasuki fasa pertama” selepas beberapa siri penahanan berprofil tinggi melibatkan kementerian dan organisasi milik negara.
Sebagai Timbalan Menteri Minyak bagi Hal Ehwal Pengedaran, Encik Al Bahadly bertanggungjawab mengawasi pengagihan dan penjualan produk bahan api bertapis di Iraq.
Jawatan itu dianggap sangat sensitif kerana melibatkan urusan langsung dengan pedagang bahan api swasta, syarikat pengedaran dan kuota wilayah.
Menurut Majlis Kehakiman Iraq, beliau kini ditahan dan berdepan prosiding di Mahkamah Jenayah Antirasuah Pusat di Baghdad.
Mahkamah itu mengendalikan kes jenayah kewangan membabitkan pegawai kanan dan menjadi tunjang utama usaha pemerintah untuk membuktikan bahawa “tiada sesiapa kebal daripada tindakan undang-undang”.
Pihak berkuasa berkata, rampasan wang tunai dan pelbagai hartanah menunjukkan kemungkinan wujud pengumpulan kekayaan secara haram dalam skala besar.
Penahanan Encik Al Bahadly adalah yang terbaharu dalam siri tangkapan dan rampasan aset sejak Encik Ali Al Zaidi mengambil alih pentadbiran pada Mei lalu.
Setakat ini, pemerintah Iraq melaporkan berjaya mendapatkan semula berbilion dinar, merampas hartanah di Baghdad dan luar negara serta menjatuhkan hukuman penjara bertahun-tahun terhadap beberapa pegawai.
Penganalisis berkata, kempen itu bertujuan meredakan kemarahan rakyat terhadap rasuah kronik yang sekian lama membelenggu Iraq.
Kumpulan pemantau antarabangsa, Transparency International, sebelum ini menyenaraikan rasuah sebagai antara masalah paling serius dalam pentadbiran Iraq.
Pada masa sama, Iraq turut berdepan tekanan daripada rakan antarabangsa termasuk Amerika Syarikat untuk menunjukkan kemajuan nyata dalam usaha membanteras rasuah.
Namun, beberapa pemerhati memberi amaran bahawa kempen sebelum ini sering kehilangan momentum apabila siasatan mula melibatkan jaringan politik yang berpengaruh.
Penyelidik di Pusat Arab bagi Kajian dan Polisi, Harith Hasan, berkata penguatkuasaan sering dilihat tidak konsisten dan cenderung bersifat terpilih.
“Saya menjangkakan kempen ini mungkin terhenti apabila kos politik, keselamatan atau sistemik menjadi terlalu tinggi. Tetapi buat masa ini, ada petunjuk bahawa lebih banyak tangkapan mungkin akan dilakukan,” katanya kepada The National.
Encik Al Bahadly sebelum ini turut dikenakan sekatan oleh Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat atas dakwaan berkaitan rasuah.
Washington menuduh beliau menggunakan kedudukannya untuk mengalihkan minyak Iraq dan mencampurkannya dengan minyak Iran bagi membantu Teheran mengelak sekatan Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, pegawai Iraq belum mengesahkan sama ada wang tunai yang dirampas itu mempunyai kaitan dengan dakwaan rasuah dan pengelakan sekatan yang sebelum ini dibangkitkan oleh Amerika Syarikat, atau sama ada terdapat kerjasama siasatan antara Baghdad dan Washington dalam kes berkenaan. - Agensi berita
