BAGHDAD: Gabungan yang diketuai oleh Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia Al-Sudani, muncul sebagai pemenang Pilihan Raya Parlimen negara itu selepas menerima 1.3 juta undi, sekali gus mendahului pesaing terdekatnya sebanyak kira-kira 370,000 undi.
Keputusan awal itu diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas Iraq pada 12 November, sehari selepas pengundian dijalankan.
Dalam ucapan sulungnya selepas kemenangan itu, Encik Al-Sudani menggambarkan keputusan tersebut sebagai “kejayaan besar rakyat Iraq”, sambil memuji kadar keluar mengundi sebanyak 56 peratus sebagai bukti bahawa rakyat kembali mempercayai sistem politik negara.
“Kadar keluar mengundi ini adalah bukti jelas bahawa rakyat mahu masa depan yang stabil dan makmur. Ia satu kejayaan baru bagi demokrasi Iraq,” katanya.
Kemenangan ini menandakan lonjakan politik bagi Encik Al-Sudani yang mula memegang jawatan pada tahun 2022.
Beliau sebelum ini berjanji untuk memulihkan kestabilan dan membangunkan semula negara selepas puluhan tahun konflik dan krisis ekonomi.
Namun, ramai pengundi masih skeptikal terhadap perubahan sebenar, menganggap pilihan raya itu hanya platform bagi parti sedia ada untuk membahagikan kekayaan minyak negara tanpa pembaharuan yang bermakna.
Walaupun kadar keluar mengundi keseluruhan tinggi, beberapa kawasan utama seperti Baghdad dan Najaf mencatatkan penurunan penyertaan susulan seruan boikot oleh pemimpin populis Syiah, Encik Muqtada Al-Sadr, yang menolak pilihan raya sebagai “rosak dan tidak adil”.
Tindakan penyokongnya yang ramai untuk memboikot pilihan raya telah menjejaskan jumlah undi dan mempengaruhi keputusan di beberapa wilayah utama.
Corak pengundian kali ini masih mengikuti garis sektarian.
Calon Syiah menguasai di wilayah majoriti Syiah, calon Sunni menang di wilayah Sunni, manakala calon Kurdi mengekalkan pengaruh di wilayah utara.
Namun terdapat kejutan di wilayah Nineveh, parti Parti Demokratik Kurdistan (KDP) memenangi kerusi terbanyak, sementara di wilayah Diyala, buat pertama kali sejak 2005, tiada calon Kurdi berjaya mendapat tempat.
Penganalisis politik tempatan, Encik Ali Hashem, berkata keputusan ini menunjukkan bahawa proses pembentukan pmerintah bakal mengambil masa panjang.
“Tiada satu pun parti atau gabungan yang mampu memperoleh majoriti penuh dalam 20 tahun terakhir. Ia akan memerlukan rundingan panjang dan tawar-menawar politik antara pelbagai kumpulan,” katanya kepada Al Jazeera dari Baghdad.
Dalam sistem politik Iraq yang berasaskan kuota etnik dan mazhab, jawatan perdana menteri biasanya diperuntukkan kepada komuniti Syiah, Speaker Parlimen kepada Sunni, dan presiden kepada etnik Kurdi.
Oleh itu, kemenangan Encik Al-Sudani hanya langkah awal dan beliau kini perlu membentuk gabungan baru dalam parlimen yang mempunyai 329 kerusi, satu proses yang lazimnya berlarutan berbulan-bulan.
Sumber politik Iraq memberitahu agensi berita AFP bahawa gabungan Encik Al-Sudani dijangka memperoleh sekitar 50 kerusi, menjadikannya blok terbesar tetapi masih memerlukan sokongan parti lain untuk menubuhkan pemerintah.
Sumber yang dekat dengan pejabat perdana menteri berkata, “Ini adalah kemenangan besar, tetapi cabaran sebenar bermula sekarang, membentuk pemerintah yang stabil dan inklusif.”
Namun, laluan itu tidak mudah.
Kumpulan Rang Kerja Penyelaras yang menyokong Encik Al-Sudani kini berpecah, dengan mantan perdana menteri Encik Nouri Al-Maliki dilaporkan menentang pencalonan semula beliau untuk penggal kedua.
Sebagai pemimpin yang perlu menyeimbangkan pengaruh dua kuasa besar– Iran dan Amerika Syarikat, Encik Al-Sudani kini berdepan ujian getir.
Iraq selama ini menjadi medan pengaruh antara kedua-dua negara, dengan Iran menyokong parti Syiah dan kumpulan bersenjata, manakala Washington menekan Baghdad untuk meneutralkan pengaruh Teheran dan melucutkan senjata kumpulan pro-Iran.
Keadaan semakin rumit susulan pergolakan di Asia Barat termasuk perang 12 hari antara Israel dan Iran pada Jun lalu yang turut memberi kesan kepada rantau itu.
“Perdana Menteri perlu mengekalkan keseimbangan yang sangat halus antara Teheran dan Washington, sesuatu yang amat sukar dilakukan dalam suasana geopolitik semasa,” kata seorang diplomat Arab yang berpangkalan di Baghdad.
Sementara itu, rakyat Iraq terus menuntut pembaharuan nyata.
Mereka mahukan pekerjaan, pendidikan dan sistem kesihatan yang lebih baik, selain usaha membasmi rasuah yang telah lama mencengkam pentadbiran negara.
Seorang pengundi muda di Basra, Encik Ahmed Karim, meluahkan rasa kecewa terhadap sistem yang tidak berubah.
“Kami pergi mengundi, tetapi tiada apa yang berubah. Parti lama tetap berkuasa dan rakyat terus menanggung kesusahan,” katanya.
Walaupun begitu, Encik Al-Sudani menegaskan komitmennya untuk meneruskan agenda “pembangunan dan pembinaan semula”.
Beliau menyoroti transformasi Baghdad dalam tempoh tiga tahun terakhir, dengan pembinaan jambatan dan terowong baharu sebagai simbol kemajuan.
“Kemenangan ini bukan sekadar milik parti, tetapi milik setiap rakyat Iraq yang mahu masa depan lebih baik,” katanya dalam ucapan di televisyen.
Para penyokongnya meraikan kemenangan itu di Dataran Tahrir, Baghdad, dengan bunga api dan nyanyian patriotik, menandakan permulaan penggal baru pemerintahan beliau.
Namun di sebalik sorakan itu, cabaran besar menanti bukan hanya membentuk pemerintah, tetapi membina semula kepercayaan rakyat terhadap demokrasi. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg