Topik diikuti
Pergi ke BHkuSeteru politik Netanyahu, Eisenkot mula rundingan bentuk pemerintah Israel
Seteru politik Netanyahu, Eisenkot mula rundingan bentuk pemerintah Israel
TEL AVIV: Rundingan antara Perdana Menteri sementara Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dengan seteru politiknya, Encik Gadi Eisenkot, bagi mencapai persetujuan membentuk pemerintah bermula pada 29 November di Tel Aviv.
Perbincangan yang berlangsung di Kementerian Pertahanan itu diadakan selepas Encik Netanyahu secara mengejut menawarkan pembentukan pemerintah gabungan dengan jawatan perdana menteri digilirkan, bermula dengan Encik Eisenkot sebagai ketua pemerintah.
Israel mengadakan pilihan raya pada akhir Oktober lalu, namun keputusan yang diperoleh gagal memberikan majoriti kepada mana-mana parti politik utama negara itu.
Namun, Presiden Israel, Encik Isaac Herzog, memberikan tanggungjawab kepada Encik Eisenkot untuk membentuk pemerintah baharu.
Sejak itu, Encik Eisenkot berusaha mendapatkan sokongan parti-parti politik bagi membentuk gabungan pemerintah untuk menyingkirkan Encik Netanyahu.
Namun, usaha itu berdepan kesukaran berikutan bantahan terhadap kerjasama dengan parti-parti Arab-Israel serta beberapa tuntutan yang perlu dipenuhi bagi mendapatkan sokongan parti Yahudi ultra-Ortodoks.
“Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu dan Pengerusi Parti Yashar, Encik Gadi Eisenkot, telah berbincang dan bersetuju untuk mengadakan pertemuan esok,” menurut kenyataan Parti Likud pimpinan Encik Netanyahu pada lewat 28 November.
Dalam satu hantaran di media sosial, Encik Netanyahu yang merupakan perdana menteri paling lama berkhidmat dalam sejarah Israel menawarkan pembentukan pemerintah gabungan dengan blok pimpinan Encik Eisenkot.
Beliau berkata: “Tanggungjawab saya sebagai seorang pemimpin menuntut saya mengetepikan segala perbezaan dan bersetuju supaya Encik Gadi Eisenkot menjadi perdana menteri terlebih dahulu, manakala saya akan berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri.”
Susulan tawaran itu, Encik Eisenkot turut mengemukakan cadangannya sendiri kepada Encik Netanyahu dan Parti Likud sayap kanan.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata: “Jika Likud benar-benar bersedia untuk membentuk pemerintah gabungan, saya bersedia melihat sejauh mana kesungguhan mereka dalam tempoh 24 jam akan datang.”
Sehari sebelum itu, Encik Eisenkot berjanji akan mengumumkan pembentukan pemerintah baharu sebelum akhir 6 Disember, tanpa menggunakan pilihan untuk mendapatkan lanjutan masa selama 14 hari.
Encik Eisenkot sebelum ini dijangka membentuk gabungan pemerintah bersama parti-parti yang menentang Encik Netanyahu. Namun, beliau telah mengarahkan Parti Yashar untuk mengadakan rundingan dengan Parti Likud.
Namun, pada 27 November, mantan ketua tentera itu menuduh Likud sengaja melengahkan rundingan pembentukan pemerintah bagi membuka jalan kepada pilihan raya baharu.
Pada 28 November pula, beliau berkata parti itu masih belum memberikan maklum balas terhadap “cadangan terperinci” yang dikemukakan sebelum ini. - Agensi berita.