Topik diikuti
Pergi ke BHkuRekod 19 wakil rakyat Arab angkat sumpah di Parlimen Israel
Sokongan wakil rakyat Arab jadi penentu pemerintah baharu ketika Netanyahu berdepan ancaman kehilangan kuasa
Rekod 19 wakil rakyat Arab angkat sumpah di Parlimen Israel
BAITULMAKDIS: Seramai 19 ahli politik Arab, jumlah tertinggi dalam sejarah Israel, mengangkat sumpah sebagai anggota Parlimen baharu negara itu pada 10 November, meskipun berdepan bantahan keras golongan pelampau kanan yang cuba menghalang majlis tersebut.
Majlis pembukaan Parlimen Israel, atau Knesset, berlangsung dalam suasana tegang apabila penyokong Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, berhimpun di luar bangunan Parlimen, manakala pertengkaran tercetus antara ahli politik Arab dengan wakil parti berhaluan kanan di dalam dewan.
Ketegangan itu mencerminkan perpecahan politik Israel selepas pilihan raya umum 27 Oktober lalu gagal memberikan majoriti kepada mana-mana gabungan, sekali gus membuka kemungkinan pemerintahan Encik Netanyahu berakhir.
Dua parti yang mewakili masyarakat Arab Israel, Joint List dan Ra’am, memenangi 19 daripada 120 kerusi Parlimen, menjadikan sokongan mereka penting dalam menentukan siapa yang bakal membentuk pemerintah baharu.
Bagaimanapun, kemungkinan pemerintah Israel bergantung kepada sokongan parti Arab mencetuskan bantahan bukan sahaja dalam kalangan penyokong Encik Netanyahu, malah sebahagian ahli politik berhaluan kanan yang menyokong pembangkang.
Di luar Knesset, penyokong parti Likud pimpinan Encik Netanyahu dan kumpulan nasionalis melampau mengadakan tunjuk perasaan selepas beberapa pemimpin mereka sebelum ini mengancam untuk menyerbu bangunan Parlimen.
Ancaman itu dibandingkan dengan serangan penyokong Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, terhadap bangunan Capitol di Washington pada Januari 2021.
Di dalam dewan, Menteri Keselamatan Negara Israel, Encik Itamar Ben-Gvir, mencetuskan kekecohan apabila menuduh pemimpin Joint List, Encik Yousef Jabareen, menyokong Hamas.
“Kepada siapa beliau berikrar taat setia, Hamas?” jerit Encik Ben-Gvir ketika Encik Jabareen mengangkat sumpah.
Tidak lama kemudian, beliau menulis di platform X: “Sesiapa yang tidak setia tidak sepatutnya berada dalam Knesset Israel!”
Ketegangan meningkat apabila beberapa anggota Joint List dan Ra’am dilihat meninggalkan tempat duduk ketika lagu kebangsaan Israel dimainkan.
Tindakan itu mencetuskan kecaman ahli politik berhaluan kanan yang menganggapnya sebagai tanda tidak menghormati negara.
Encik Netanyahu turut mengkritik dua parti Arab utama itu dengan mendakwa mereka enggan mengiktiraf Israel sebagai negara Yahudi.
Beliau menuduh parti tersebut mahu menubuhkan sebuah negara Islam atau negara Palestin di atas keruntuhan Israel.
Bagaimanapun, dakwaan itu bercanggah dengan pendirian pemimpin Ra’am, Encik Mansour Abbas, yang sebelum ini pernah mengiktiraf Israel sebagai negara Yahudi.
Sementara itu, pemimpin pembangkang, Encik Gadi Eisenkot, yang diberikan mandat pertama untuk membentuk pemerintah berikrar menubuhkan sebuah pemerintah darurat nasional secepat mungkin.
Bekas panglima tentera berusia 66 tahun itu menerima mandat daripada Presiden Isaac Herzog pada 8 November selepas mendapat sokongan majoriti pemimpin parti dalam rundingan selepas pilihan raya.
“Saya komited dalam keadaan yang rumit ini untuk membentuk kerajaan darurat nasional secepat mungkin,” katanya sebelum mengangkat sumpah.
Bagaimanapun, usaha Encik Eisenkot berdepan cabaran besar kerana beliau perlu mendapatkan sokongan sekurang-kurangnya 61 anggota Parlimen bagi membentuk pemerintah.
Beliau juga mungkin terpaksa memungkiri janji pilihan raya untuk tidak membentuk pemerintah dengan sokongan parti Arab atau memberikan pengecualian khidmat tentera kepada lelaki Yahudi ultra-Ortodoks.
Kedua-dua isu itu amat sensitif dan boleh menyebabkan perpecahan dalam gabungan parti yang menyokongnya.
Walaupun belum memperoleh majoriti, parti Yashar pimpinan Encik Eisenkot sudah mengemukakan beberapa cadangan undang-undang bagi mengubah dasar pemerintahan Netanyahu.
Antaranya termasuk menubuhkan suruhanjaya siasatan bebas bagi menyiasat kegagalan keselamatan yang membolehkan Hamas melancarkan serangan terhadap Israel pada 7 Oktober 2023.
Encik Netanyahu sebelum ini menolak penubuhan suruhanjaya bebas itu dan sebaliknya mencadangkan siasatan oleh sebuah badan yang dilantik melalui proses politik.
Parti Yashar turut mencadangkan pembatalan menyeluruh perubahan terhadap sistem kehakiman yang diperkenalkan pemerintah Netanyahu.
Perubahan tersebut sebelum ini mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran di Israel kerana dianggap boleh melemahkan kebebasan badan kehakiman.
Gabungan Encik Eisenkot juga mendakwa sudah memperoleh sokongan mencukupi untuk melantik bekas pegawai kanan tentera, Matan Kahana, sebagai Speaker Parlimen baharu.
Langkah itu dilihat sebagai usaha awal untuk menguasai perjalanan Parlimen walaupun pembentukan pemerintah masih belum diputuskan.
Sementara itu, Encik Netanyahu yang masih mengetuai pemerintah sementara terus menyeru pembentukan pemerintah perpaduan nasional.
Beliau berkata Israel memerlukan kepimpinan yang bersatu bagi menghadapi ancaman Iran dan tekanan antarabangsa untuk menerima perjanjian damai yang menurutnya gagal menangani ancaman nuklear Teheran.
Namun, dengan kedua-dua kem politik masih kekurangan majoriti, masa depan kepimpinan Israel kini semakin bergantung kepada keputusan parti kecil, khususnya 19 wakil rakyat Arab yang sebelum ini sering diketepikan daripada percaturan kuasa.
Kedudukan itu meletakkan masyarakat Arab Israel dalam peranan penting yang belum pernah dicapai sebelum ini, tetapi pada masa sama menjadikan mereka sasaran bantahan golongan nasionalis melampau.
Di tengah-tengah ketidaktentuan itu, Encik Eisenkot menegaskan bahawa Israel sedang menghadapi antara tempoh paling mencabar sejak penubuhan negara tersebut.
“Saya komited dalam keadaan yang rumit ini untuk membentuk kerajaan darurat nasional secepat mungkin,” katanya. – Agensi berita