Setiausaha Agung, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik António Guterres, pada 19 Oktober memberi penghormatan kepada pasukan pengaman Indonesia yang terkorban semasa bertugas sejak Indonesia mula menyumbang tentera kepada pasukan Topi Biru (Blue Helmet) PBB pada 1957.

Encik Guterres tiba di Jakarta pada 17 Oktober untuk lawatan dua hari bagi mengadakan perbincangan dengan Presiden Prabowo Subianto dan menyampaikan ucapan tentang multilateralisme. 

Beliau melawat Tentera Nasional Indonesia (TNI) Pusat Misi Pemeliharaan Perdamaian (PMPP) di Sentul, pinggir Jakarta, dan meletakkan kalungan bunga di tugu yang tertera nama pasukan pengaman Indonesia yang gugur.

“Di PMPP, Setiausaha Agung PBB menyampaikan ucapan semangat kepada 180 anggota TNI yang bersiap untuk ditempatkan ke Misi Penstabilan Bersepadu Pelbagai Dimensi PBB di Republik Afrika Tengah,” kata jurucakap Kementerian Luar, Encik Vahd Nabyl Mulachela, pada 19 Oktober.

Bagi penduduk di rantau paling tidak stabil di dunia, pasukan pengaman PBB menjadi sumber harapan. 

Mereka memainkan peranan penting dalam mengurangkan ketegangan antara pihak yang bertelagah, memastikan bantuan kemanusiaan disampaikan, melindungi orang awam, dan mewujudkan ruang untuk penyelesaian politik demi keamanan yang kekal, kata Encik Guterres, dalam ucapannya kepada pasukan pengaman Indonesia.

“Indonesia, sebagai penyumbang kakitangan keenam terbesar kepada misi pengaman PBB, memainkan peranan penting dalam hal ini,” katanya, seperti dipetik agensi berita Indonesia, Antara.

Beliau turut mengecam serangan terhadap pasukan pengaman sebagai pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Mereka yang bertanggungjawab atas pelanggaran sedemikian mesti dipertanggungjawabkan. Saya akan terus menggesa negara anggota memenuhi kewajipan mereka untuk sentiasa memastikan keselamatan kakitangan PBB,” katanya.

Encik Vahd Nabyl berkata lawatan Setiausaha Agung PBB ke PMPP merupakan pengiktirafan terhadap komitmen dan sumbangan Indonesia yang sudah lama kepada misi pengaman PBB.

Pada 18 Oktober, Encik Guterres bertemu Presiden Prabowo di salah sebuah kediaman peribadinya di kawasan tanah tinggi Hambalang, Bogor, Jawa Barat, di pinggir Jakarta. 

Mereka mengadakan perbincangan tentang pengukuhan kerjasama dalam sistem multilateral, dan ketua PBB itu turut memuji sumbangan berterusan Indonesia kepada pasukan pengaman PBB.

Encik Guterres disambut Presiden Prabowo di pintu, dan kedua-dua pemimpin menuju ke ruang tetamu diiringi bunyi gamelan.

Di situ, mereka meneruskan agenda dengan mesyuarat dua hala yang dihadiri delegasi masing-masing. 

“Setiausaha Agung dan Presiden membincangkan isu sejagat dan serantau, termasuk keadaan di wilayah Palestin yang diduduki,” kata PBB dalam satu kenyataan pada 18 Oktober.

Menurut biro akhbar istana presiden, mesyuarat itu membincangkan beberapa isu strategik dan usaha mengukuhkan komunikasi serta kerjasama multilateral dalam menangani pelbagai cabaran global. 

Ia sebahagian daripada usaha mengukuhkan dialog dan perkongsian antara Indonesia dengan PBB, di samping menegaskan semula kepentingan kerjasama antarabangsa dalam memupuk keamanan, kestabilan dan penyelesaian kepada cabaran sejagat melalui pendekatan multilateral.