Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Setiausaha Agung PBB, Presiden Marcos Jr. seru solidariti dan keinsafan sempena Aidiladha

Jun 6, 2025 | 2:54 PM
Umat Islam Filipina bersiap sedia untuk menunaikan solat sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di Masjid Biru, Taguig, Metro Manila pada 6 Jun 2025.
Umat Islam Filipina bersiap sedia untuk menunaikan solat sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di Masjid Biru, Taguig, Metro Manila pada 6 Jun 2025. - Foto AFP

HAMILTON, Canada: Sempena sambutan Aidiladha tahun 2025 ini, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, menyampaikan ucapan penuh harapan kepada umat Islam di seluruh dunia dan menyeru agar nilai solidariti, belas kasihan, dan perpaduan terus diamalkan di saat dunia bergelut dengan konflik serta perpecahan.

“Salam sejahtera kepada semua yang menyambut Aidiladha. Pada waktu dunia dilanda konflik, perpecahan dan keganasan, marilah kita mengambil inspirasi daripada nilai-nilai perpaduan dan kasih sayang yang menjadi inti perayaan ini,” tulis Encik Guterres dalam kenyataannya di platform media sosial X pada 5 Jun.

Tambah beliau, nilai-nilai murni yang dizahirkan melalui Aidiladha mampu menjadi penyuluh kepada masyarakat dunia yang kian terpecah akibat peperangan dan ketidakstabilan politik.

“Salam Aidiladha buat semua yang meraikannya. Eid Mubarak!,” ujar Encik Guterres.

Perayaan Aidiladha yang disambut umat Islam turut menandakan berakhirnya ibadah haji, rukun Islam kelima yang diwajibkan kepada umat Islam yang berkemampuan. Umat Islam di Arab Saudi, Qatar, Kuwait, Indonesia dan beberapa negara lain menyambut Aidiladha pada 6 Jun. Sambutan Aidiladha berbeza mengikut negara disebabkan oleh perbezaan berdasarkan rukyah (pemerhatian anak bulan) dan hisab (pengiraan astronomi).

Sementara itu, Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr. turut merakamkan ucapan sempena perayaan tersebut dan mengajak rakyatnya, khususnya masyarakat Islam, untuk mengambil pengajaran yang lebih mendalam daripada makna Aidiladha.

“Aidiladha mengajak kita untuk melakukan perjalanan yang sukar bukan ke satu tempat, tetapi ke dalam diri. Saat kita melepaskan keangkuhan dan kebimbangan duniawi, barulah kita memberi ruang kepada Ilahi untuk bertapak di hati kita dan membentuk kebaikan umum,” katanya.

Presiden Marcos menekankan bahawa Aidiladha bukan hanya tentang penyembelihan haiwan, tetapi satu pengorbanan batiniah yang mencerminkan kesediaan untuk melepaskan ego, memberi ruang kepada kebenaran, dan memperkuat semangat kebangsaan.

“Perayaan ini bersatu dengan semangat Haji, satu perjalanan pembaharuan diri. Ia mengajak kita merenung: apakah pengorbanan yang benar-benar mampu memperkukuh negara?” tambah beliau dalam ucapannya. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg