WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, meraikan majlis berbuka puasa (Iftar) tahunan di Rumah Putih pada malam 27 Mac, dengan menzahirkan penghargaan kepada ratusan ribu pengundi Muslim-Amerika yang telah menyokong beliau dalam Pilihan Raya Presiden 2024.
Dalam ucapan ringkas sebelum berbuka puasa bersama tetamu, Encik Trump berkata:
“Komuniti Muslim bersama kami pada bulan November lalu — dan selagi saya menjadi presiden, saya akan bersama anda. Saya fikir anda semua tahu itu,” katanya disambut tepukan daripada hadirin.
Encik Trump mengakui bahawa sokongan padu daripada masyarakat Islam memberi impak besar dalam kemenangannya tahun 2024 lalu.
“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang amat istimewa kepada ratusan ribu Muslim-Amerika yang memberikan sokongan luar biasa kepada kami dalam Pilihan Raya Presiden 2024 — jumlah yang tidak pernah dicapai sebelum ini. Ia benar-benar menakjubkan,” katanya lagi.
Beliau turut mengakui permulaan hubungan antara pentadbirannya dan masyarakat Muslim agak perlahan. “Kita bermula dengan sedikit perlahan bersama anda, tetapi kita semakin memahami dan saling menghormati,” katanya.
Majlis ini diadakan ketika krisis di Timur Tengah antara Israel dan Hamas masih berlarutan. Dalam ucapannya, Encik Trump menekankan komitmen pentadbirannya untuk menamatkan keganasan dan membawa keamanan ke rantau tersebut.
“Setiap hari, kami menunaikan janji kami kepada komuniti Muslim. Pentadbiran saya kini giat menjalankan usaha diplomatik untuk mewujudkan perdamaian kekal di Timur Tengah,” ujarnya. Beliau turut menyebut inisiatif Perjanjian Abraham yang dimeterai semasa penggal pertama beliau sebagai asas kepada rundingan damai baru.
“Kami akan terus mengisi perjanjian bersejarah itu dengan tindakan dan harapan baru,” tambahnya.
Encik Trump dalam ucapannya turut menyentuh mengenai keistimewaan Ramadan dan pengorbanan umat Islam yang berpuasa dari subuh hingga senja.
“Setiap hari dalam bulan suci ini, umat Islam menahan lapar dan dahaga, memperkukuh doa dan mendekatkan diri kepada Tuhan. Mereka kemudian berkumpul bersama keluarga dan sahabat untuk berbuka puasa, itu adalah momen penuh syukur,” katanya.
Beliau turut menyampaikan mesej peribadi kepada para hadirin: “Di Rumah Putih ini, anda mempunyai seseorang yang benar-benar menyayangi dan menghargai anda.”
Awal bulan Mac ini, Encik Trump turut mengeluarkan kenyataan rasmi sempena Ramadan, menyatakan bahawa ia adalah waktu untuk mencari keberanian, harapan dan kesucian diri.
“Kami di pentadbiran ini tetap komited terhadap kebebasan beragama, satu prinsip teras cara hidup Amerika. Dan kami akan terus memperjuangkan masa depan yang aman untuk semua,” katanya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg