Singapura telah meningkatkan langkah keselamatannya di tengah-tengah peningkatan ketegangan akibat konflik Iran-Israel, kata Menteri Penyelaras Keselamatan Negara, K. Shanmugam, lapor The Straits Times.
Bercakap kepada media di luar acara kemasyarakatan di Nee Soon pada 28 Jun, beliau berkata: “Terdapat gencatan senjata, tetapi kami tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini.”
Orang di rantau ini, wilayah lain, atau kumpulan ekstrimis mungkin mahu bertindak terhadap aset Israel, Amerika atau Barat yang lain, kata beliau sambil menambah bahawa mungkin juga terdapat serangan dari kumpulan pelampau kanan ke atas aset Muslim.
Sekiranya Singapura diserang, ia akan menjadi tajuk utama antarabangsa, tambah Encik Shanmugam.
Terdapat kemungkinan serangan terhadap kedua-dua pihak, katanya, sama ada oleh sayap kanan menyerang orang Islam, atau wakil negara Islam termasuk Iran, menyerang aset Barat - Amerika, Eropah atau Israel.
“Jadi kami telah meningkatkan langkah keselamatan kami, bekerja berdasarkan senario yang berbeza, tetapi anda tahu, anda tidak boleh pasti sepenuhnya,” ujarnya.
Ketika ditanya media sama ada terdapat lebih banyak aktiviti mencurigakan atau aktiviti melampau sejak serangan udara Amerika ke atas kemudahan nuklear Iran, Encik Shanmugam, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata pihak berkuasa masih belum mengesan apa-apa di sini.
“Tetapi mereka perlu melakukannya sekali sahaja,” katanya, sambil menambah bahawa keselamatan adalah tanggungjawab bersama dan rakyat Singapura perlu lebih sedar tentang potensi ancaman keselamatan.
Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing juga memberitahu media pada 25 Jun bahawa tindakan balas daripada Iran mungkin tidak terhad kepada sasaran di Amerika atau Israel.
Menurutnya, tindakan balas itu boleh berlaku di tempat lain, dan boleh mencetuskan emosi di rantau ini. Konflik ini telah mengakibatkan kebimbangan keselamatan lebih besar.
Encik Shanmugam juga berkata bahawa pemerintah juga sedang melihat kemungkinan “aliran keluar” ke Singapura, sebagai tindak balas kepada langkah Thailand menjadikan penjualan ganja sebagai satu kesalahan jenayah.
“Kaitan antara dadah dan jenayah, dan keganasan, juga perlu dilihat.
“Kami cuba mengekalkan keterbukaan dan ketersambungan kami, dan sekitaran mesra perniagaan kami.
“Agak awal untuk menyatakan apa yang akan berlaku, tetapi kami perlu lebih berhati-hati,” ujarnya lagi.
Kementerian Kesihatan Thailand pada 24 Jun mengeluarkan perintah melarang penjualan ganja untuk kegunaan rekreasi dan memerlukan preskripsi doktor untuk sebarang pembelian runcit.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg