Adalah penting bagi Singapura mempelbagaikan hubungan keselamatan dengan negara berbeza, di tengah-tengah ancaman dan cabaran masa kini yang menjangkau perbatasan geografi, kata Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing
Malah, beberapa negara Eropah serta Korea Selatan dan Jepun juga telah melahirkan minat untuk bekerjasama dengan Singapura dalam aspek pertahanan.
Ini termasuk mempertingkat daya tahan rantaian bekalan, keupayaan teknologi dan keselamatan siber, kata Encik Chan, yang menambah bahawa landskap peluang kerjasama kini telah berubah.
“Apabila menyentuh tentang hubungan dua hala sebelum ini, kecenderungannya lebih dari sudut sempadan geografi – kerjasama ini adalah antara negara dalam dan sekitar sesebuah rantau.
“Namun hari ini, kami lihat banyak cabaran yang menjangkau perbatasan geografi yang semakin sempit,” ujar Encik Chan.
Ini, kata beliau, satu cabaran tersendiri. Namun, ia turut menyajikan peluang bagi Singapura “memperluaskan rangkaian hubungan”.
Sebagai contoh, Singapura dan Perancis memperluaskan hubungan keselamatan setelah memeterai Perisytiharan Hasrat Kerjasama Pertahanan yang Dipertingkatkan dan Pindaan Susunan Pentadbiran Kerjasama Teknologi Pertahanan antara kededua negara sempena Dialog Shangri-La pada Mei.
Perluasan rangkaian hubungan antara pelbagai negara penting sedang ketidaktentuan keselamatan sejagat berhubung kait dengan ketidaktentuan ekonomi, tambah Encik Chan.
Secara tidak langsung, ia mempunyai implikasi jelas terhadap peluang pekerjaan dan harga barangan, antara lain, bagi Singapura, katanya.
“Apa yang berlaku pada aspek keselamatan berkait rapat dengan apa yang berlaku pada ekonomi.
“Jika anda lihat konflik di Iran, turun naik harga minyak memberi kesan terhadap sistem ekonomi. Ini menyebabkan pelbagai unsur ketidaktentuan dan gangguan,” ujarnya.
Encik Chan berkata demikian dalam wawancara pertama beliau sebagai Menteri Pertahanan baru-baru ini, sempena Hari Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang jatuh pada 1 Julai.
Selain mengenai kerjasama ketenteraan dengan negara-negara lain, Encik Chan menyentuh mengenai pelbagai topik, seperti tokenism – tanda lambang, Perkhidmatan Negara (NS) dan keupayaan ketenteraan negara yang sedang diperkukuh untuk menghadapi cabaran baru dalam keadaan geopolitik dunia yang berubah-ubah.
Menyentuh mengenai konflik bersenjata sejagat seperti antara Iran dengan Israel, Encik Chan berkata Singapura harus berwaspada kerana konflik sedemikian sungguhpun berlaku di luar rantau Asia berpotensi “mencetuskan emosi di rantau ini”.
Konflik Israel-Iran yang tercetus sejak 13 Jun apabila Israel menyerang Iran telah meragut nyawa di kededua negara dan menjejas pengangkutan udara di Teluk Parsi.
Encik Chan berkata: “Kita harus mengambil pendekatan berjaga-jaga agar ia tidak terjerumus ke arah pengganasan atau apa yang dipanggil kegiatan oleh pihak proksi – bertujuan memenuhi matlamat dalang di sebalik sesebuah pihak (yang menimbulkan provokasi).”
Sementara itu, Encik Chan menekankan peri penting Singapura tidak boleh mengambil pendekatan sambil lewa dan mengambil kedudukan berteraskan prinsip bagi menyokong kedaulatan Singapura.
Dalam pada itu, Encik Chan berkata SAF beroperasi dalam iklim keselamatan yang beliau sifatkan sebagai keadaan terhimpit apabila keamanan terganggu walaupun peperangan belum tercetus.
Beliau berkata merentasi Tentera Darat Singapura, Angkatan Laut Republik Singapura (RSN), Perkhidmatan Digital dan Perisikan (DIS) dan Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF), masing-masing mencatat ancaman tinggi yang harus ditangani secara harian.
Bagi RSN misalnya, beliau berkata ribuan operasi dikendalikan secara purata setiap tahun bagi memastikan kapal dan bot yang melalui perairan Singapura bebas daripada penyeludup atau penceroboh.
Begitu juga bagi RSAF, yang setiap tahun perlu mengaktifkan aset pertahanan udara secara berkala untuk membuat pengesahan tiada ancaman apabila pesawat yang tidak dijadual memasuki ruang udara Singapura, tambah beliau.
“Inilah perkara yang orang awam mungkin kadangkala ketahui atau dapat lihat, tetapi di balik tabir, terdapat banyak kegiatan harian yang SAF lakukan dan bersiap siaga bagi memastikan Singapura kekal selamat.
“Ia juga memastikan cara kehidupan kita tidak terganggu,” ujar Encik Chan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg