Letusan gunung berapi Anak Krakatau di Indonesia telah menyebabkan lima lapangan terbang menggantung operasi penerbangan pada 6 September.

Ini sekali gus menjejas ratusan penerbangan di lapangan terbang utama Jakarta, selepas beberapa kegiatan sekolah dan penangkapan ikan dihentikan.

Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta melanjutkan penggantungan operasi penerbangan sehingga 5.30 petang waktu tempatan (6.30 petang waktu Singapura) disebabkan abu gunung berapi, menyebabkan ratusan penumpang terkandas.

Penggantungan itu menjejas 301 penerbangan, termasuk 58 penerbangan antarabangsa, kata pengendali lapangan terbang Angkasa Pura dalam satu kenyataan.

Anak Krakatau – terletak kira-kira di pertengahan antara Jawa dengan Sumatera – mula meletus sejak lewat 4 September, dengan abu gunung berapi dikesan di lapangan terbang itu pada awal 6 September, kata kementerian pengangkutan.

Dalam satu kenyataan pada malam 6 September, jurucakap Changi Airport Group (CAG) berkata kesemua 33 penerbangan yang dijadualkan pada hari itu dari Lapangan Terbang Changi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta dibatalkan disebabkan letusan gunung berapi itu.

Jurucakap itu berkata keadaan “kekal tidak menentu dan jadual penerbangan mungkin akan terus diselaraskan oleh syarikat penerbangan”.

“Pelancong dinasihatkan untuk menyemak status penerbangan terkini dengan syarikat penerbangan masing-masing sebelum menuju ke lapangan terbang. Mereka juga boleh merujuk laman web Lapangan Terbang Changi atau Changi App untuk maklumat terkini penerbangan,” kata jurucakap itu.

Syarikat penerbangan yang terjejas termasuk Singapore Airlines (SIA) yang 19 penerbangannya dibatalkan, menurut kemas kini pada 11.30 pagi, 6 September.Ini termasuk dua penerbangan yang sebelum ini dijadualkan semula.

Dua penerbangan pada 5 September, iaitu satu berlepas dari Singapura ke Jakarta dan satu lagi berlepas dari Jakarta ke Singapura, telah dibatalkan, kata syarikat penerbangan nasional Singapura itu dalam satu makluman pada hari berkenaan.

Disebabkan situasi yang masih tidak menentu, SIA berkata penerbangan lain antara Singapura dengan Indonesia mungkin terjejas.

Maklumat penerbangan terkini boleh didapati di halaman status penerbangannya, katanya.

Syarikat penerbangan tambang murah SIA, Scoot, pula membatalkan 12 penerbangan pada 6 September, menurut laman webnya pada tengah hari.

Syarikat penerbangan lain, seperti Batik Air, TransNusa, Citilink dan Garuda Indonesia, membatalkan beberapa penerbangan awal mereka, tetapi masih mempunyai penerbangan lewat yang dijadualkan pada hari berkenaan.

Antara rakyat Singapura yang penerbangannya terjejas ialah Cik Athirah Mohd. Guru prasekolah berusia 26 tahun itu dan rakannya bercuti di Indonesia dan sepatutnya berangkat pulang ke Singapura dari Jakarta pada 5 petang, 6 September menaiki pesawat SIA, SQ961.

Namun, pada sekitar tengah hari, beliau menerima makluman bahawa penerbangannya itu dibatalkan.

“Kami menerima mesej dan emel daripada ‘SQ Flight Info’ bahawa penerbangan dibatalkan, dan mereka akan memberi maklumat terkini tentang penerbangan yang dijadualkan semula. Setakat ini, tiada jadual semula yang dibuat,” kata beliau.

Bagi Cik Hazirah Abdul Rahman dan keluarganya pula, percutian ke Jakarta berubah menjadi perjalanan ke Johor Bahru pada saat-saat akhir selepas penerbangan Citilink mereka dibatalkan.

Mereka sepatutnya berlepas ke Jakarta menaiki pesawat QG523 pada 10.10 pagi bagi percutian empat hari.

“Kami sudah berada di Lapangan Terbang Changi... tengok papan maklumat penerbangan dan dapati penerbangan kami dibatalkan.

“Kami kemudian pergi ke kaunter ‘check-in’ bagasi untuk sahkan maklumat dan kakitangan mereka beritahu kami bahawa memang penerbangan kami dibatalkan.

“Kami agak terkejut dan kecewa, terutamanya kerana kami hanya dapat tahu selepas sampai di lapangan terbang. Kami tidak terima sebarang makluman e-mel tentang pembatalan terlebih dahulu,” kata guru sekolah rendah berusia 24 tahun itu.

Cik Hazirah menambah bahawa terdapat sebilangan penumpang lain yang turut berada di kaunter tersebut, dengan ada yang kelihatan bimbang, sementara yang lain membuat panggilan dan cuba mencari aturan perjalanan lain.

Beliau dan keluarganya memutuskan untuk tidak menempah penerbangan lain ke Jakarta, memandangkan terdapat risiko penerbangan alternatif juga boleh dibatalkan dan keadaan boleh menjadikan penerbangan ke Jakarta tidak selamat.

Sebaliknya, keluarganya pulang ke rumah dan memutuskan untuk ke Johor Bahru, sementara menangani hal-hal pentadbiran seperti mengemukakan permintaan bayaran balik dan menyemak perlindungan insurans perjalanan.

“Nasib baik kami mempunyai insurans perjalanan, jadi kami juga sedang meneliti apa yang boleh kami tuntut,” kata beliau.