Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sidang Puncak Asean ke-47 buka tirai

Oct 26, 2025 | 12:35 PM
Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong (dua dari kiri) bergandingan tangan bersama pemimpin-pemimpin negara Asean di Majlis Pembukaan Sidang Puncak Asean ke-47 pada 26 Oktober yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong (dua dari kiri) bergandingan tangan bersama pemimpin-pemimpin negara Asean di Majlis Pembukaan Sidang Puncak Asean ke-47 pada 26 Oktober yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). - Foto ST

Asean harus bersatu, menyesuaikan diri dan mempunyai tujuan bersama di tengah-tengah landskap global yang semakin tidak menentu, kata Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Pembukaan Sidang Puncak Asean ke-47 pada 26 Oktober.

Berucap di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Datuk Anwar berkata 2025 memberikan ujian baru kepada Asean memandangkan ketidakpastian global terus meningkat, dengan “aturan lama tidak lagi pasti, (dan) yang baru belum ditakrifkan”.

Beliau menekankan bagaimana persaingan dan ketidakpastian yang semakin meningkat merentasi rantau telah menguji bukan sahaja ekonomi Asean, tetapi juga keazaman kolektifnya untuk mengekalkan prinsip kerjasama, persefahaman dan dialog.

“Namun, di tengah-tengah dugaan ini, Asean bertahan. Kekuatan kita bukan terletak pada keseragaman, tetapi pada keyakinan bahawa rasa hormat dan hujah masih mengikat kita bersama,” kata Datuk Anwar.

Beliau menambah sebagai Pengerusi Asean, Malaysia memikul tanggungjawab yang besar, bukan sahaja untuk membimbing blok serantau, tetapi juga memperbaharui arah dan hala tujunya dalam dunia yang pantas berubah.

Datuk Anwar juga menekankan bagaimana Wawasan Komuniti Asean 2045, yang diterima pakai pada Mei, mewakili aspirasi blok tersebut untuk memperkukuh perpaduan dan sentraliti, mengejar pertumbuhan yang inklusif dan mampan, serta melindungi kebajikan generasi akan datang.

Beliau juga menyentuh tentang penubuhan Rangkaian Keselamatan AI Asean (AI SAFE), satu inisiatif yang bertujuan untuk menerapkan etika, keselamatan dan tadbir urus yang kukuh dalam penggunaan kecerdasan buatan di seluruh rantau.

“Teknologi mesti kekal sebagai hamba kita, bukan tuan kita,” katanya.

Datuk Anwar juga menekankan beberapa matlamat sidang puncak tersebut, termasuk menaik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan Asean, yang akan mewujudkan pasaran serantau yang lebih lancar.

Negara-negara anggota juga akan memajukan Grid Kuasa Asean dan memajukan Rangka Kerja Ekonomi Biru Asean, Ekosistem Kenderaan Elektrik Serantau, dan mempercepatkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital Asean menjelang 2026.

“Peningkatan perlindungan dan peralihan rantaian bekalan mengingatkan kita bahawa daya tahan bergantung pada kebolehsuaian. Asean tidak boleh berdiam diri.

“Kita mesti mempunyai keberanian untuk menjalin perkongsian baru dan pandangan jauh untuk memperdalam perkongsian sedia ada,” kata Datuk Anwar.

Semasa ucapannya, Datuk Anwar juga mengalu-alukan kemasukan bersejarah Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11 Asean.

Beliau menyifatkan keahliannya sebagai “melengkapkan keluarga Asean”, mengesahkan semula takdir bersama Asean dan rasa persaudaraan serantau yang mendalam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg