Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, akan menghadiri Sidang Puncak Asean ke-47 dan Sidang Berkaitan yang berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia, dari 26 hingga 28 Oktober.
Ini merupakan sidang puncak kedua yang dianjurkan Malaysia pada 2025, di samping sidang dan mesyuarat-mesyuarat lain, selaku Pengerusi Asean 2025.
Sidang Puncak Asean ke-46 telah berlangsung pada Mei di Kuala Lumpur, yang turut dihadiri Encik Wong sejurus selepas Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, sidang puncak tersebut merangkum usaha Asean untuk membina sebuah rantau yang berpandangan jauh, padu dan berdaya tahan di tengah-tengah cabaran geopolitik dan ekonomi, menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 25 Oktober.
Semasa lawatannya nanti, Encik Wong bersama pemimpin Asean yang lain akan mengesahkan semula komitmen terhadap usaha pembinaan komuniti Asean dan membincang cara untuk menggalakkan rangka kerjasama serantau yang terbuka, inklusif dan stabil.
“Mereka juga akan membincang tentang pengukuhan integrasi ekonomi Asean dengan meningkatkan perdagangan intra-Asean dan memanfaatkan bidang baru muncul dalam ekonomi digital dan hijau,” kata PMO.
Di samping itu, Encik Wong akan bertemu dengan pemimpin daripada rakan kongsi utama termasuk Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat.
Beliau juga akan menghadiri Sidang Puncak Perkongsian Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP) ke-5 yang bertujuan untuk menegaskan semula peranan RCEP dalam memperkukuh perdagangan serantau dan integrasi ekonomi di tengah-tengah cabaran global.
Encik Wong akan diiringi isterinya, Cik Loo Tze Lui dan juga Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, dalam lawatannya ke Kuala Lumpur.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, akan menjalankan peranan sebagai Pemangku Perdana Menteri semasa ketiadaan Encik Wong.
Majlis Pembukaan Sidang Puncak Asean ke-47 dan Sidang Berkaitan dijadualkan berlangsung pada 26 Oktober dan akan dihadiri semua pemimpin Asean termasuk Presiden dan Perdana Menteri Timor-Leste serta tetamu jemputan lain.
Semasa majlis tersebut, majlis Menandatangani Deklarasi Penyertaan Timor-Leste ke Asean juga akan diadakan bagi menandakan penerimaan rasmi negara tersebut sebagai Negara Anggota Asean ke-11.
Antara pemimpin negara yang bakal hadir di sidang puncak tersebut termasuk Presiden Amerika Donald Trump, yang akan bertemu Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menghadiri majlis makan malam bersama pemimpin Asean.
Pemimpin Asean lain yang dijangka hadir termasuk Presiden Indonesia Prabowo Subianto, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr, dan Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg