Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Sidang puncak Trump-Kim kedua di Vietnam pada 27 & 28 Februari

Feb 06, 2019 | 02:44 PM





WASHINGTON: Sidang nuklear kedua antara Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Encik Kim Jong Un, akan diadakan di Vietnam akhir bulan ini.



Mengumumkan demikian dalam ucapan dasar tahunannya hari ini, Encik Trump berkata sidang tersebut diharap dapat meneruskan usaha diplomatik kededua negara yang dirintis menyusuli pertemuan pertama di Singapura Jun tahun lalu.



Sejak pertemuan bersejarah itu, meskipun Korea Utara telah menghentikan tindakan provokatif seperti ujian peluru berpandu nuklear, namun Encik Kim belum memberi persetujuan untuk menyerahkan senjata nuklearnya.



“Banyak perkara yang belum selesai dilaksanakan, tapi hubungan saya dengan Kim Jong Un adalah baik,” kata Encik Trump sambil menambah pertemuan dengan Encik Kim di Vietnam itu dirancang pada 27 dan 28 Februari.



Sementara itu, Encik Trump, turut menggariskan visi optimisnya bagi membentuk Amerika yang lebih bersatu padu dan makmur sambil menggesa kerjasama bipartisan (antara dua parti politik) dalam bidang undang-undang utama dan pembaharuan bagi mewujudkan matlamat itu.



“Agenda yang saya bentangkan bukanlah agenda Republikan mahupun Demokrat. Ia merupakan agenda rakyat Amerika,” katanya ketika memulakan ucapannya.



“Dengan kerjasama ini. kita mampu meleraikan kebuntuan politik yang berlarutan selama sedekad...menyambung persaudaraan lama, menyembuhkan luka lama, membina gabungan baru, menjalin penyelesaian baru, dan membuka peluang terhadap masa depan Amerika yang luar biasa. Keputusan itu kini di tangan kita.”



Encik Trump menekankan pencapaian “bersejarah” pemerintahannya - termasuk revolusi tenaga yang menjadikan Amerika sebagai pengeluar minyak dan gas asli terbesar di dunia serta pencapaian mereka memperkukuhkan ekonomi.



Beliau sempat menyelitkan pandangan bahawa mereka “mempunyai kewajipan moral dalam mewujudkan sistem imigresen yang melindungi kehidupan dan pekerjaan rakyat”.



Oleh itu, beliau tetap berpendirian bahawa pembinaan tembok sempadan Amerika-Mexico adalah bagi membendung aliran kemasukan haram, yang digambarkannya sebagai satu krisis kebangsaan yang perlu ditangani segera.



Sebelum ini, Presiden parti Republikan itu menuntut pembiayaan AS$5.7 bilion ($7.7 bilion) bagi membina tembok tersebut, yang kemudian mencetuskan penutupan separuh pemerintah selama 35 hari.



Encik Trump menggesa kededua pembangkang Demokratik dan parti Republik agar mencapai kompromi sehingga tarikh akhir pada 15 Februari ini.



Dalam ucapannya mengenai isu perdagangan, beliau berkata keutamaan bagi Amerika adalah untuk “merubah dasar perdagangan buruk mereka selama beberapa dekad”.



Beliau berkata: “Kami kini mahu menjadikannya jelas kepada China bahawa selepas bertahun-tahun mereka menyasarkan industri kita, dan mencuri harta intelektual kita, pencurian terhadap pekerjaan dan keuntungan Amerika telahpun berakhir.



“Oleh itu, baru-baru ini kami mengenakan tarif ke atas barangan China bernilai AS$250 bilion - dan sekarang Jabatan Perbendaharaan kami menerima bayaran berbilion dolar.



“Tetapi saya tidak menyalahkan China kerana mengambil kesempatan terhadap kami - Saya menyalahkan pemimpin dan wakil kami kerana membenarkan kekejaman ini berlaku.”



Encik Trump juga menggesa Kongres meluluskan draf rang undang-undang perdagangan yang akan memberi lebih banyak kuasa kepadanya untuk menaikkan tarif.



Selain itu, beliau juga bercakap tentang “usaha bersejarah bagi mencapai perdamaian di Semenanjung Korea” dan berkata beliau akan bertemu dengan Kim untuk kali kedua bulan depan, selepas mereka mengadakan sidang kemuncak pertama mereka di Singapura pada Jun tahun lalu.



“Sekiranya saya tidak dilantik sebagai Presiden Amerika Syarikat, kita sekarang akan menjadi musuh besar Korea Utara dengan kemungkinan berjuta-juta orang kehilangan nyawa. Banyak kerja yang perlu dilakukan, tetapi hubungan saya dengan Kim Jong Un adalah baik,” kata Encik Trump.



Menyentuh mengenai perjuangan menentang kumpulan pengganas IS, beliau berkata Amerika telah berjaya membantu menghancurkan kumpulan itu: 

Dalam hal yang lebih ketara, Encik Trump menggesa Kongres supaya bekerjasama dalam membina masa depan yang lebih cerah.



“Inilah masanya untuk menghidupkan semula imaginasi Amerika...Inilah masanya menghidupkan kembali ikatan cinta dan kesetiaan dan ingatan yang menghubungkan kita bersama sebagai warga negara, sebagai negara tetangga, sebagai patriot.



“Ini adalah masa depan kita - nasib kita - dan pilihan kita untuk dibuat. Saya meminta anda untuk memilih keunggulan. Tidak kira apa yang kita hadapi, tidak kira cabaran yang akan datang, kita perlu maju bersama.” – Agensi berita.





 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >