Topik diikuti
Pergi ke BHkuSindiran senator Islam pertama AS cetus kegembiraan masyarakat Arab
Naib Presiden AS disindir dengan ungkapan Arab ‘JD habibi’
Sindiran senator Islam pertama AS cetus kegembiraan masyarakat Arab
WASHINGTON: Kemenangan Encik Abdul El-Sayed sebagai senator Islam pertama Amerika Syarikat mencetuskan kegembiraan dalam kalangan masyarakat Arab, dari Michigan hingga ke Timur Tengah, terutama selepas beliau menggunakan ungkapan Arab dalam ucapan kemenangannya.
Ahli politik Demokrat berketurunan Mesir itu menarik perhatian apabila menyindir Naib Presiden Amerika, Encik JD Vance, yang sebelum ini memberi amaran bahawa kemenangan beliau boleh menyebabkan rusuhan dan keganasan di Detroit.
“JD, habibi,” kata Encik El-Sayed dalam ucapan kemenangannya, menggunakan perkataan Arab yang bermaksud “sayang” atau panggilan mesra kepada seseorang.
“Betapa ironinya apabila anda diwajibkan oleh Perlembagaan untuk mengangkat sumpah saya sebagai senator pada Januari nanti,” katanya.
Sindiran itu disambut dengan kegembiraan masyarakat Arab, yang melihat kemenangan beliau sebagai pencapaian bersejarah bagi masyarakat Islam di Amerika.
Perkataan ‘habibi’ sering digunakan dalam perbualan harian masyarakat Arab sebagai panggilan mesra kepada rakan atau orang tersayang.
Sepanjang kempen pilihan raya, penyokong Encik El-Sayed turut memakai baju-T dengan tulisan ‘Habibi for Abdul’ sebagai tanda sokongan.
Encik El-Sayed, anak kepada pendatang Mesir, turut menggunakan ungkapan insya-Allah, yang bermaksud “jika diizinkan Allah”, dan alhamdulillah, yang membawa maksud “segala puji bagi Allah”.
Beliau berkata kempen pilihan rayanya berjaya mengubah harapan yang dilambangkan ungkapan insya-Allah kepada kesyukuran melalui ungkapan alhamdulillah selepas memenangi pilihan raya.
Kemenangan itu dianggap lebih bermakna kerana beliau sebelum ini menjadi sasaran kenyataan anti-Islam sepanjang kempen pilihan raya.
Namun, daripada menjauhkan diri daripada identiti agamanya, Encik El-Sayed terus menonjolkan kepercayaan Islam dan warisan Mesirnya, selain lantang memperjuangkan hak rakyat Palestin.
Di media sosial, masyarakat Arab meraikan kemenangan beliau dengan berkongsi lagu dan video yang menggunakan perkataan habibi.
Seorang pengguna platform X turut memuat naik video penyanyi terkenal Mesir, Sherine Abdel Wahab, menari sambil berseloroh bahawa Encik El-Sayed mungkin menjadikan lagu penyanyi itu sebagai lagu kebangsaan baharu Amerika.
Reaksi tersebut mencerminkan rasa bangga masyarakat Arab terhadap kejayaan seorang ahli politik Islam di negara yang menyaksikan sentimen anti-Islam menjadi sebahagian daripada perdebatan politik.
Bagi masyarakat Timur Tengah yang terus berdepan kesan peperangan dan konflik, kemenangan Encik El-Sayed turut membawa kegembiraan yang jarang dirasakan sejak kebelakangan ini.
Masyarakat Mesir khususnya terkenal dengan budaya humor dan kecenderungan menggunakan jenaka untuk menghadapi kesukaran hidup, sesuatu yang turut terserlah dalam sambutan terhadap kemenangan beliau. – Agensi berita.