Topik diikuti
Pergi ke BHkuCalon Islam, Arab cipta sejarah dalam pilihan raya AS
Calon Islam, Arab cipta sejarah dalam pilihan raya AS
WASHINGTON: Calon berketurunan Arab dan beragama Islam mencatat kemenangan bersejarah dalam pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat pada 3 November, apabila ramai daripada mereka berjaya memenangi kerusi Kongres dan dewan perundangan negeri walaupun berdepan kempen politik yang dicemari sentimen anti-Islam.
Sekurang-kurangnya tujuh calon Islam dilaporkan berjaya dipilih menganggotai Kongres, terdiri daripada seorang senator dan enam anggota Dewan Perwakilan.
Keputusan tersebut menunjukkan peningkatan pengaruh politik masyarakat Islam dan Arab Amerika, terutama dalam kalangan generasi muda yang memperjuangkan isu kos sara hidup, penjagaan kesihatan, hak pendatang dan dasar luar Amerika terhadap Israel.
Kemenangan itu juga berlaku ketika Presiden Donald Trump dan sekutunya meningkatkan serangan terhadap calon Islam, termasuk mengaitkan mereka dengan kumpulan pelampau tanpa bukti kukuh.
Antara kemenangan paling penting dicatat Dr Abdul El-Sayed, 42 tahun, calon Demokrat berketurunan Mesir yang menewaskan calon Republikan, Encik Mike Rogers, di Michigan.
Kejayaan itu menjadikan beliau individu Islam pertama dipilih menganggotai Senat AS.
Sepanjang kempen, Dr El-Sayed menjadi sasaran serangan anti-Islam, termasuk tuduhan tidak berasas yang cuba mengaitkannya dengan kumpulan pelampau.
Bagaimanapun, beliau berjaya menarik sokongan pengundi melalui janji mengurangkan kos sara hidup, memperluas penjagaan kesihatan dan mengehadkan pengaruh syarikat besar dalam politik.
Di New Jersey, pakar bedah berketurunan Mesir, Dr Adam Hamawy, menewaskan calon Republikan, Encik Greg Mele, bagi kerusi Daerah Kongres ke-12.
Kemenangan itu menjadikan beliau wakil rakyat Islam pertama dari New Jersey di Kongres.
Dr Hamawy, bekas pakar bedah tentera Amerika, pernah membantu menyelamatkan nyawa Senator Tammy Duckworth selepas helikopter yang dinaikinya ditembak jatuh di Iraq pada 2004.
Beliau kemudian menjadi sukarelawan perubatan di Gaza, merawat rakyat Palestin yang cedera akibat serangan Israel, termasuk kanak-kanak yang mengalami kecederaan parah.
Dua anggota Kongres wanita Islam yang terkenal, Cik Rashida Tlaib dan Cik Ilhan Omar, turut berjaya mempertahankan kerusi masing-masing untuk penggal kelima.
Cik Tlaib, berketurunan Palestin, mengekalkan kerusi Daerah Kongres ke-12 Michigan, manakala Cik Omar, kelahiran Somalia, menang di Daerah Kongres kelima Minnesota.
Kedua-duanya merupakan antara wanita Islam pertama dipilih ke Kongres pada 2018 dan terkenal sebagai pengkritik lantang operasi ketenteraan Israel di Gaza.
Di New York, Cik Darializa Avila Chevalier, 33 tahun, yang berketurunan Republik Dominican, turut mencatat sejarah sebagai wanita Islam berketurunan Amerika Latin pertama dipilih ke Kongres.
Dua lagi calon Demokrat beragama Islam, Encik Andre Carson dari Indiana dan Cik Lateefah Simon dari California, berjaya mengekalkan kerusi masing-masing.
Pilihan raya kali ini turut menyaksikan kejayaan beberapa wanita Islam yang memakai tudung dalam pertandingan peringkat negeri.
Di Georgia, Cik Ruwa Romman, ahli politik Demokrat berketurunan Palestin, memenangi kerusi Senat negeri selepas sebelum ini menjadi wanita Islam pertama bertudung yang berkhidmat dalam dewan perundangan Georgia.
Cik Romman mendapat perhatian nasional pada 2024 apabila penyokong Palestin mendesak Parti Demokrat membenarkan seorang wakil Palestin berucap dalam konvensyen parti itu.
Beliau merupakan individu yang dicadangkan untuk menyampaikan ucapan tersebut, namun permintaan berkenaan ditolak.
Di New York, aktivis Palestin Amerika, Cik Aber Kawas, turut dilaporkan memenangi kerusi Senat negeri.
Keluarganya mempunyai sejarah perpindahan dari Palestin pada 1948, manakala bapanya pernah ditahan pihak imigresen AS selama hampir tiga tahun sebelum dihantar pulang ke Jordan.
Pengalaman keluarganya itu membentuk perjuangan politik beliau yang memberikan tumpuan kepada hak pendatang, perumahan mampu milik, penjagaan kesihatan dan bantahan terhadap bantuan ketenteraan Amerika kepada Israel.
Di Illinois, Cik Nabeela Syed, 27 tahun, calon Demokrat berketurunan India, menewaskan calon Republikan, Cik Darby Hills, dengan memperoleh 57 peratus undi.
Kemenangannya di Daerah Senat negeri ke-26 membolehkan Demokrat merampas kerusi yang sebelum ini dikuasai Republikan.
Cik Nabeela menjadikan kos sara hidup dan akses penjagaan kesihatan sebagai antara keutamaan kempen beliau.
Sementara itu, di Connecticut, Cik Maryam Khan, ahli politik kelahiran Pakistan, berjaya memenangi kerusi Senat negeri selepas berkhidmat dalam Dewan Perwakilan negeri sejak 2022.
Beliau pernah menjadi guru pendidikan khas dan memperjuangkan kepentingan kanak-kanak serta pendidikan.
Beberapa lagi calon Islam dan Arab Amerika turut mencatat kemenangan, termasuk Encik Abbas Alawieh, aktivis berketurunan Lebanon yang dipilih ke Senat negeri Michigan.
Beliau membantu menubuhkan gerakan Uncommitted yang membantah sokongan pentadbiran bekas Presiden Joe Biden terhadap Israel ketika pilihan raya presiden 2024.
Calon Palestin Amerika, Cik Iman Jodeh di Colorado dan Encik Abdelnasser Rashid di Illinois, turut dilaporkan berjaya dalam pertandingan masing-masing.
Calon Islam lain yang mencatat kemenangan termasuk Cik Zaynab Mohamed di Minnesota, Cik Munira Abdullahi di Ohio, Cik Madinah Wilson-Anton di Delaware serta Encik Salman Bhojani dan Encik Suleman Lalani di Texas.
Kejayaan mereka menunjukkan calon Islam semakin mendapat tempat dalam politik Amerika, bukan sahaja di kawasan yang mempunyai ramai penduduk Islam, malah di negeri yang mempunyai latar belakang politik berbeza.
Namun, perkembangan tersebut berlaku ketika sentimen anti-Islam semakin ketara dalam perdebatan politik negara itu. – Agensi berita