WASHINGTON: Sistem pengesahan berasaskan sumber awam yang digunakan oleh platform X milik Encik Elon Musk, gagal mengesan sebahagian besar dakwaan palsu berkaitan pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat, termasuk dakwaan yang disebarkan oleh jutawan itu sendiri.

Demikian menurut satu kajian pada 21 Oktober.

Community Notes, yang membolehkan pengguna menambah nota penjelasan atau pembetulan pada hantaran, diperkenalkan oleh X pada akhir 2022 dan model yang sama semakin kerap diguna pakai oleh platform teknologi lain.

Namun, para penyelidik berulang kali mempersoalkan keberkesanannya dalam membendung penyebaran maklumat palsu.

Sebuah badan pemantau Amerika yang menilai kebolehpercayaan laman web berita dan maklumat, NewsGuard, telah mengenal pasti puluhan hantaran di X yang menyebarkan dakwaan palsu berkaitan pilihan raya, termasuk tuduhan palsu mengenai penipuan pilihan raya.

Hanya 13 daripada hantaran tersebut ditandai dengan Community Notes.

“Program semakan fakta berasaskan sumber awam oleh X gagal mengesan 93.1 peratus dakwaan palsu berkaitan pilihan raya pertengahan penggal Amerika,” kata NewsGuard.

“Hantaran X yang tidak diperbetulkan itu telah meraih jutaan interaksi menjelang pilihan raya pertengahan penggal pada 3 November.”

Dakwaan palsu itu termasuk hantaran oleh seorang penganalisis konservatif yang mendakwa New York dan California telah melarang pengundi daripada menunjukkan kad pengenalan (ID) pengundi mereka, serta melarang pegawai daripada memintanya. 

Hakikatnya, tiada peraturan seumpama itu wujud di kedua-dua kubu kuat Parti Demokrat berkenaan.

Encik Musk kerap memuji Community Notes dengan menyifatkannya sebagai ‘hebat’ dan menegaskan bahawa semua pengguna, termasuk dirinya sendiri, tertakluk kepada pembetulan oleh model berasaskan sumber awam itu.

Namun, NewsGuard menyatakan bahawa Encik Musk, yang mempunyai 241.5 juta pengikut di X, telah menyebarkan sekurang-kurangnya empat dakwaan palsu berkaitan pilihan raya pertengahan penggal, dan tiada satu pun daripadanya diperbetulkan oleh Community Notes.

Kajian menunjukkan bahawa Community Notes mampu menyanggah sesetengah maklumat palsu – seperti maklumat palsu mengenai vaksin – namun para penyelidik sejak sekian lama memberi amaran ia hanya berkesan bagi topik yang mempunyai persetujuan umum.

Sebahagian penyelidik turut mengingatkan bahawa pengguna Community Notes mungkin didorong oleh sentimen berparti untuk menyasar pihak lawan politik mereka.

Platform teknologi kini semakin menganggap model berasaskan masyarakat ini sebagai alternatif kepada semakan fakta profesional.

Pada 2025, Meta menamatkan program semakan fakta pihak ketiganya di Amerika, dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Encik Mark Zuckerberg, menganggap program itu telah membawa kepada “terlalu banyak penapisan”. 

Dakwaan tersebut bagaimanapun ditolak keras oleh penyemak fakta profesional.

Pada September, Meta menyatakan ia telah mula menguji versi Community Notes tersendirinya di 16 negara berbahasa Sepanyol di Amerika Latin, sebagai langkah ke arah menggantikan program semakan fakta sedia ada.

Meta tidak memperincikan bila perubahan itu akan dikuatkuasakan secara rasmi.

Lembaga Pengawasan Meta, sebuah badan separa bebas yang dibiayai syarikat itu untuk meneliti keputusan kawalan kandungan, menegaskan bahawa Community Notes bukan satu pengganti yang memadai bagi semakan fakta.

Agensi berita, AFP, pada masa ini bekerjasama dalam 26 bahasa menerusi program semakan fakta sejagat Meta, termasuk di Amerika Latin. – AFP.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti