CALIFORNIA: Ejen persekutuan di seluruh California pada 19 Oktober menahan 11 warga warga asing yang berdepan tuduhan jenayah, termasuk mendaftar secara tipu untuk mengundi dalam pilihan raya Amerika Syarikat. 

Penahanan itu adalah sebahagian daripada operasi besar-besaran yang menurut pihak pemerintah dapat mengukuhkan tuntutan mahkamah terhadap negeri paling padat penduduk itu menjelang pilihan raya pertengahan penggal pada 3 November.

Mereka adalah antara 28 pemegang kad hijau atau Penduduk Tetap Amerika, yang berada di negara itu secara sah tetapi didakwa atas pelbagai kesalahan berkaitan pengundian. 

Langkah berkenaan adalah sebahagian daripada usaha terselaras pihak pemerintah persekutuan di California bagi “membendung dan membanteras penipuan dalam pilihan raya Amerika”, kata pejabat Penolong Pertama Pendakwa Raya Amerika, Encik Bilal Essayli, di Los Angeles dalam satu kenyataan.

Individu berkenaan berasal dari pelbagai negara termasuk Mexico, Belize, India, Georgia, Tonga dan Filipina.

Sebahagian besar daripada mereka didapati mengundi secara haram dalam beberapa pilihan raya, kata pihak berkuasa Amerika. 

Penahanan itu merupakan sebahagian daripada ketegangan berterusan lebih luas antara pentadbiran Presiden Amerika, Encik Donald Trump, dengan pegawai tertinggi yang dipilih di California berhubung ketepatan daftar pengundi negeri berkenaan.

Jabatan Keadilan Amerika (DOJ) telah menyaman California pada minggu lalu kerana didakwa gagal menyertai usaha mengeluarkan 20,000 individu disyaki warga asing daripada daftar pengundi negeri itu, yang dikenal pasti oleh pemerintah persekutuan.

“California enggan menyemak senarai berkenaan,” kata Pemangku Timbalan Peguam Negara, Encik Trent McCotter, dalam kenyataan itu.

“Pertuduhan hari ini menunjukkan dengan jelas risiko akibat keengganan tersebut. California harus mengesahkan status kerakyatan lebih 20,000 pendaftar berkenaan sebelum kertas undi melalui pos dikira,” tambah beliau.

Peguam Negara California, Encik Rob Bonta, yang mewakili Parti Demokrat bagi mempertahankan negeri itu di mahkamah, berkata sebarang dakwaan berhubung penipuan pengundi “perlu dipandang serius dan disiasat”, menurut jurucakapnya, Encik Walter Garcia.

“Seramai 28 individu yang didakwa pagi ini hanya mewakili sebahagian kecil – kira-kira 0.0001 peratus – daripada lebih 23 juta pengundi berdaftar di California,” kata Encik Garcia.

“Perkara itu tidak membuktikan berlaku penipuan pengundi secara meluas, sekalipun jika dakwaan tersebut benar,” jelasnya.

Pada 19 Oktober, DOJ memohon perintah sementara daripada mahkamah yang mengendalikan tuntutan terhadap California, bagi mengarahkan negeri itu mengasingkan kertas undi melalui pos daripada 20,000 individu dalam senarai berkenaan serta mengambil langkah mengesahkan status kerakyatan mereka sebelum undi dikira.

Tarikh perbicaraan bagi permohonan itu bagaimanapun belum ditetapkan.

Rekod mahkamah menunjukkan DOJ telah meningkatkan penahanan berhubung dakwaan warga asing mengundi atau mendaftar sebagai pengundi dalam tempoh beberapa minggu menjelang pilihan raya pertengahan penggal, dengan memfailkan lebih 100 kes jenayah baharu sejak awal September.

Pegawai California termasuk Encik Bonta mengecam usaha pentadbiran presiden Amerika itu sebagai percubaan tanpa asas untuk campur tangan dalam pilihan raya serta menimbulkan keraguan terhadap keputusan pilihan raya akan datang itu.

Senarai individu disyaki warga asing berkenaan juga berkemungkinan tidak tepat dan melanggar peraturan kerahsiaan, kata para pegawai berkenaan. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti