Skandal Epstein kembali goncang Eropah, libatkan politik Britain dan Diraja Norway

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Skandal Epstein kembali goncang Eropah, libatkan politik Britain dan Diraja Norway

Feb 2, 2026 | 12:02 PM

Skandal Epstein kembali goncang Eropah, libatkan politik Britain dan Diraja Norway

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Bekas menteri kanan kerajaan Britain, Lord Peter Mandelson, mengumumkan beliau telah melepaskan keahliannya daripada Parti Buruh selepas pendedahan baru mengenai hubungan beliau dengan ahli perniagaan dan pembiaya seksual yang disabitkan, Jeffrey Epstein, lapor Reuters pada 1 Februari.
Bekas menteri kanan kerajaan Britain, Lord Peter Mandelson, mengumumkan beliau telah melepaskan keahliannya daripada Parti Buruh selepas pendedahan baru mengenai hubungan beliau dengan ahli perniagaan dan pembiaya seksual yang disabitkan, Jeffrey Epstein, lapor Reuters pada 1 Februari. - Foto Fail The Business Times

LONDON/COPENHAGEN: Nama Lord Mandelson di Britain dan Puteri Mahkota Norway Mette-Marit muncul sebagai antara dua tokoh berprofil tinggi yang kembali dikaitkan dalam perkembangan terbaharu kes mendiang pesalah seks Amerika Syarikat, Jeffrey Epstein, susulan pendedahan berjuta-juta dokumen baharu oleh pihak berkuasa Amerika.

Di London, Lord Mandelson, bekas menteri kabinet dan tokoh kanan Parti Buruh, mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ahli Parti Buruh selepas hubungan lamanya dengan Epstein sekali lagi menjadi perhatian umum. Lord Mandelson berkata keputusan itu dibuat bagi mengelakkan “rasa malu berterusan” terhadap parti tersebut.

“Saya sekali lagi dikaitkan dengan kekecohan yang dapat difahami berkaitan Jeffrey Epstein, dan saya berasa amat kesal serta dukacita,” katanya dalam sepucuk surat kepada setiausaha agung Parti Buruh. “Dalam keadaan ini, saya tidak mahu terus menyebabkan rasa malu kepada parti.”

Peletakan jawatan itu dibuat selepas nama Lord Mandelson muncul dalam kumpulan fail terbaru yang didedahkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat pada 30 Januari lalu. Dokumen tersebut menunjukkan Epstein telah membuat bayaran berjumlah AS$75,000 (S$95,360) kepada Lord Mandelson melalui tiga transaksi berasingan antara 2003 dan 2004.”

Walaupun Lord Mandelson menegaskan beliau tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah, hubungan tersebut telah lama menghantui kerjaya politiknya. Pada 2025 beliau disingkirkan daripada jawatan sebagai duta Britain ke Amerika Syarikat, juga susulan tekanan politik berkaitan kaitannya dengan Epstein.

Pada masa sama di Norway, perhatian awam tertumpu kepada Puteri Mahkota Mette-Marit selepas dokumen yang sama mendedahkan hubungan peribadinya yang tidak dijangka dengan Epstein. Pendedahan itu mencetuskan kontroversi besar, muncul hanya beberapa hari sebelum anak lelakinya dijadualkan dibicarakan atas pertuduhan rogol pada 3 Februari.

Akhbar Norway, Verdens Gang (VG) melaporkan nama Puteri Mahkota Mette-Marit disebut lebih 1,000 kali dalam jutaan dokumen baru tersebut. Walaupun tiada dakwaan jenayah dikenakan terhadap beliau, pendedahan itu telah mencetuskan perdebatan awam mengenai masa depan institusi diraja Norway dan persoalan sama ada beliau masih boleh menjadi permaisuri pada suatu hari nanti.

Gabungan dua perkembangan ini di Britain dan Norway menonjolkan bagaimana kes Epstein, walaupun pelakunya telah meninggal dunia sejak 2019, terus memberi kesan politik dan institusi yang mendalam di Eropah.

Menurut Jabatan Kehakiman Amerika, lebih 3 juta halaman dokumen, bersama lebih 2,000 video dan 180,000 imej, telah dilepaskan dalam pusingan terbaru pendedahan. Timbalan Peguam Negara Amerika, Encik Todd Blanche, berkata pelepasan ini merupakan sebahagian daripada usaha pemerintah untuk memenuhi tuntutan undang-undang ketelusan yang diluluskan selepas tekanan awam dan politik yang berpanjangan.

Namun, Encik Blanche mengakui sebahagian fail masih ditapis atau ditahan atas alasan perlindungan undang-undang, termasuk kerahsiaan guaman dan privasi mangsa. “Kami kekal komited untuk melindungi mangsa sambil memastikan akauntabiliti,” katanya.

Rekod yang didedahkan menunjukkan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) telah mula menyiasat Epstein sejak 2006 selepas beberapa gadis bawah umur mendakwa mereka dibayar untuk melakukan urutan berunsur seksual. Pendakwa persekutuan hampir mendakwanya pada 2007, malah satu draf pertuduhan persekutuan turut disediakan, melibatkan Epstein dan tiga pembantu peribadinya.

Namun, usaha itu terbantut selepas Peguam Negara Amerika di Miami ketika itu, Encik Alexander Acosta, meluluskan perjanjian yang membolehkan Epstein mengelak pendakwaan persekutuan. Epstein hanya mengaku bersalah atas pertuduhan negeri dan dijatuhi hukuman penjara 18 bulan, satu keputusan yang kini dianggap sebagai kegagalan besar sistem keadilan.

Fail terbaru turut memperincikan suasana operasi di kediaman Epstein di Florida, termasuk manual kakitangan yang mengarahkan pekerja supaya “melihat, mendengar dan berkata tiada apa-apa”. Keterangan bekas kakitangan kepada FBI menggambarkan situasi yang membimbangkan, termasuk kehadiran gadis-gadis yang kelihatan sangat muda dan tugas membersihkan bilik urutan selepas sesi bersama Epstein.

Epstein ditemui mati di sel penjara New York pada Ogos 2019, sebulan selepas didakwa atas kesalahan pemerdagangan seks persekutuan. Kematian itu mencetuskan kemarahan awam dan teori konspirasi, serta persoalan besar tentang kegagalan pihak berkuasa untuk melindungi mangsa dan mendakwa rangkaian individu berkuasa di sekelilingnya.

Rakaman video temu bual yang baru didedahkan menunjukkan mendiang pesalah seksual, Epstein, memberi jawapan ringkas apabila ditanya sama ada beliau menganggap dirinya “syaitan itu sendiri”, dengan berkata: *“Saya ada cermin yang baik.”

Rakaman penuh berdurasi hampir dua jam itu memperlihatkan Epstein berdepan pelbagai soalan daripada seorang penemubual yang identitinya masih belum disahkan. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg