Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Skandal rasuah Filipina kian menular, projek jalan raya dan bangunan didakwa terlibat

Sep 23, 2025 | 5:20 PM
Kumpulan belia mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Manila bagi menuntut pembebasan individu yang ditahan sehari selepas demonstrasi antirasuah di Manila pada 22 September 2025. Polis di ibu negara Filipina menahan lebih 200 orang selepas pertembungan dengan penunjuk perasaan bertopeng tercetus pada hari demonstrasi antirasuah yang sebahagian besarnya berlangsung secara aman, menurut jurucakap polis pada 22 September.
Kumpulan belia mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Manila bagi menuntut pembebasan individu yang ditahan sehari selepas demonstrasi antirasuah di Manila pada 22 September 2025. Polis di ibu negara Filipina menahan lebih 200 orang selepas pertembungan dengan penunjuk perasaan bertopeng tercetus pada hari demonstrasi antirasuah yang sebahagian besarnya berlangsung secara aman, menurut jurucakap polis pada 22 September. - Foto AFP

MANILA: Siasatan rasuah di Filipina semakin meluas apabila bekas pegawai kanan Jabatan Kerja Raya mendakwa lebih banyak projek infrastruktur, termasuk lampu jalan, jalan raya dan bangunan, turut terbabit dengan penyelewengan.

Encik Brice Hernandez, bekas penolong jurutera daerah, memberitahu siasatan Senat pada 23 September bahawa projek-projek di wilayah Bulacan, utara Manila, menggunakan bahan lebih murah dan bermutu rendah. Menurutnya, sebahagian besar bajet telah disalurkan ke dalam poket ahli politik.

“Semua projek tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan dalam pelan,” katanya, menegaskan bahawa penyelewengan berlaku secara sistematik dan berulang.

Encik Hernandez memberi keterangan dalam siasatan berhubung projek mitigasi banjir yang sebelum ini didakwa terlebih bajet dan bermutu rendah. Pendedahannya mencerminkan sejauh mana rasuah menular dalam pembangunan awam, dengan nilai kerugian yang berpotensi mencecah trilion peso hanya untuk projek kawalan banjir.

Skandal ini mencetuskan kemarahan orang ramai, apabila ribuan rakyat Filipina turun ke jalan raya pada 21 September bagi menyuarakan kemarahan terhadap skandal projek kawalan banjir yang didakwa menelan berbilion dolar dana awam.

Protes besar-besaran itu tercetus selepas Presiden Ferdinand Marcos Jr. menekankan isu berkenaan dalam ucapan tahunan Julai lalu, susulan beberapa minggu bencana banjir yang melanda negara itu.

Seorang penunjuk perasaan di Manila berkata, “Kami sudah muak dengan projek yang dibina sekadar untuk menguntungkan segelintir pihak. Duit rakyat sepatutnya digunakan untuk melindungi rakyat daripada banjir, bukan diputar belit.”

Skandal projek kawalan banjir ini sudah membawa kepada perubahan kepimpinan di kedua-dua dewan Kongres, termasuk peletakan jawatan Speaker Dewan Perwakilan Encik Martin Romualdez, sepupu Encik Marcos.

Awal bulan September ini, sebuah firma pembinaan mendakwa hampir 30 ahli Kongres serta pegawai Jabatan Kerja Raya dan Lebuhraya (DPWH) menerima bayaran tunai.

Kementerian Kewangan Filipina menganggarkan ekonomi negara rugi sehingga 118.5 bilion Peso (S$2.65 bilion) dari 2023 hingga 2025 akibat rasuah projek banjir. Namun Greenpeace percaya angka sebenar lebih tinggi, sekitar AS$18 bilion.

Siasatan Senat kini dijangka memperluaskan skopnya untuk meneliti kontrak-kontrak infrastruktur lain, di tengah tekanan awam yang semakin memuncak.

Penganalisis politik memberi amaran bahawa skandal ini boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap pemerintah. “Jika tidak ditangani dengan tegas, kes ini akan menjejaskan keyakinan pelabur dan menambah ketidakstabilan politik,” kata seorang penganalisis tempatan. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg