Topik diikuti
Pergi ke BHkuSkandal sembang lucah dedah gangguan seksual di kampus Indonesia
Skandal sembang lucah dedah gangguan seksual di kampus Indonesia
Skandal sembang lucah dedah gangguan seksual di kampus Indonesia
JAKARTA: Perbualan berunsur lucah melibatkan 16 pelajar Fakulti Undang-Undang Universiti Indonesia (UI) yang tersebar tular di media sosial mencetuskan kecaman meluas, sekali gus membangkitkan semula kebimbangan terhadap budaya gangguan seksual di kampus.
Tangkap layar perbualan dalam kumpulan sembang pelajar yang tersebar di media sosial pada 12 April menunjukkan penggunaan bahasa kesat, jenaka seksual melampau serta penghinaan terhadap pelajar dan pensyarah wanita.
IInsiden itu mencetuskan reaksi pantas dalam kalangan mahasiswa apabila mereka menganjurkan forum pelajar di kampus UI di Depok pada keesokan harinya.
Rakaman di media sosial memperlihatkan pelajar yang marah menuntut permohonan maaf daripada 16 individu terbabit, termasuk beberapa pemimpin organisasi pelajar.
Badan Eksekutif Mahasiswa UI (BEM UI) turut mendesak tindakan tegas. “Kami menuntut agar pelajar terlibat dibawa ke sidang etika dan dikenakan tindakan sehingga dibuang universiti,” menurut kenyataan BEM UI pada 14 April.
Pihak universiti memaklumkan bahawa siasatan telah dimulakan dengan melibatkan pasukan khas anti-keganasan seksual (Satgas PPKS), selain menarik balik keahlian organisasi beberapa pelajar.
“Sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran, universiti akan mengenakan tindakan termasuk hukuman akademik sehingga penyingkiran,” menurut kenyataan UI.
UI juga tidak menolak kemungkinan membawa kes ini kepada pihak berkuasa jika terdapat unsur jenayah.
Kes ini turut mencetuskan pendedahan kes serupa di universiti lain. Antaranya, video lama pelajar Institut Teknologi Bandung (ITB) yang menyanyikan lagu berunsur seksis kembali tular, memaksa persatuan pelajar mengeluarkan permohonan maaf.
“Kami tidak menyokong sebarang tindakan yang merendahkan maruah individu atau kumpulan,” menurut kenyataan persatuan itu.
Di Jakarta, pelajar Universiti Budi Luhur pula memfailkan petisyen menuntut siasatan terhadap dakwaan gangguan seksual oleh seorang pensyarah, manakala di Universiti Sultan Ageng Tirtayasa, seorang pelajar telah dibuang kerana merakam pensyarah wanita dalam tandas kampus, dengan kes tersebut kini disiasat polis.
Badan pemantau pendidikan,Rangkaian Pemantau Pendidikan Indonesia merekodkan 233 kes keganasan dalam sektor pendidikan pada 2026, hampir separuh daripadanya melibatkan keganasan seksual.
Menurut penyelarasnya, Encik Ubaid Matraji, situasi ini mencerminkan kegagalan sistemik institusi pendidikan. “Kampus masih belum menjadi ruang selamat. Peraturan mungkin kelihatan baik di atas kertas, tetapi pelaksanaannya lemah,” katanya.
Beliau turut menegaskan keperluan pendidikan jantina dan seksual diwajibkan, selain memperkukuh peranan pasukan khas kampus yang dilihat sering mengutamakan reputasi institusi berbanding keselamatan mangsa.
Menteri Pemerkasaan Wanita dan Perlindungan Anak, Cik Arifatul Choiri Fauzi, mengecam insiden di UI dan berjanji memastikan kes itu ditangani secara telus.
Sementara itu, Suruhanjaya Nasional Anti Keganasan Terhadap Wanita memberi amaran bahawa siasatan dalaman tidak mencukupi.
“Proses etika dalaman tidak boleh menggantikan tindakan undang-undang kerana ia berisiko mengekalkan budaya impuniti,” menurut kenyataan suruhanjaya itu. - Agensi berita
