Topik diikuti
Pergi ke BHkuSkydance bina empayar media baharu menerusi pengambilalihan Warner
Skydance bina empayar media baharu menerusi pengambilalihan Warner
LOS ANGELES: Syarikat media dan hiburan Paramount milik Skydance secara rasmi menyelesaikan pengambilalihan Warner Bros. Discovery bernilai AS$81 bilion ($104.4 bilion) pada 6 Oktober, mewujudkan sebuah gergasi baharu Hollywood.
Ia menghimpunkan antara studio filem, rangkaian televisyen dan khidmat penstriman terbesar Amerika Syarikat.
Penggabungan itu menyatukan dua studio filem tertua Amerika di bawah sebuah syarikat baharu yang menggunakan nama Skydance, sekali gus menandakan antara gabungan terbesar dalam sejarah industri media dan hiburan.
Saluran seperti HBO Max dan CNN kini di bawah satu bumbung bersama Paramount+ dan CBS.
Kumpulan media yang diperbesar itu diterajui jutawan, Encik David Ellison, bersama ketua pegawai eksekutif bersama yang baharu, Encik Ynon Kreiz.
“Hari ini adalah hari bersejarah, bukan sahaja untuk Skydance tetapi bagi seluruh industri kita,” kata Encik Ellison.
“Kami sangat teruja untuk memulakan tugas,” tambahnya.
Skydance membeli Paramount pada harga AS$8 bilion pada 2025 sebelum mengalihkan perhatiannya kepada Warner Bros. Discovery.
Dengan mengambil kira hutang Warner, nilai keseluruhan pengambilalihan terbaharu itu mencecah hampir AS$111 bilion.
Perjanjian tersebut mengukuhkan lagi kuasa beberapa syarikat besar yang menguasai industri media dan hiburan Amerika, tetapi proses pengambilalihan selama hampir setahun itu penuh dengan persaingan, tindakan undang-undang dan kontroversi politik.
Warner sebelum ini menimbulkan kemungkinan menjual semua atau sebahagian perniagaannya dan pada Disember mencapai perjanjian dengan Netflix membabitkan studio dan operasi penstrimannya.
Paramount bagaimanapun mendakwa pihak pengurusan Warner tidak memberikan pertimbangan sewajarnya terhadap tawaran yang dikemukakannya, sebelum melancarkan bidaan balas secara agresif.
Persaingan bagi mendapatkan Warner berlarutan sepanjang awal 2026, dengan kepimpinan syarikat itu berulang kali menyokong Netflix sebagai pembeli pilihan.
Netflix akhirnya menarik diri selepas Paramount meningkatkan tawarannya kepada AS$31 bagi setiap saham untuk membeli keseluruhan Warner.
Warner dan Paramount kemudian mencapai persetujuan penggabungan pada akhir Februari.
Namun, rancangan itu mendapat tentangan sebahagian tokoh Hollywood.
Pada April, ribuan pelakon, penulis, pengarah dan pekerja industri menandatangani surat terbuka menyatakan bantahan terhadap penggabungan Paramount-Warner.
Antara mereka ialah tokoh filem seperti Jane Fonda, Mark Ruffalo, Denis Villeneuve dan J.J. Abrams.
Mereka memberi amaran bahawa penggabungan itu boleh mengurangkan peluang pekerjaan dan pilihan kandungan bagi penonton.
Pelakon Sally Field pula menggunakan ucapan ketika menerima anugerah Emmy pada September, untuk menekankan kepentingan melindungi penceritaan yang unik daripada terjejas akibat penggabungan syarikat.
Namun, beberapa tokoh terkenal Hollywood turut menyokong kepimpinan Encik Ellison, termasuk pengarah, James Cameron.
Antara isu yang paling mendapat perhatian ialah masa depan CNN selepas rangkaian berita itu berpindah ke bawah penguasaan Skydance.
Presiden Amerika, Encik Donald Trump, berulang kali mengkritik CNN berhubung laporan yang dianggapnya tidak memihak kepadanya.
Ketika perebutan Warner berlangsung, Encik Trump pernah berkata CNN menyebarkan “racun dan pembohongan” serta menggesa rangkaian itu dijual.
Pada 6 Oktober, beliau menyifatkan Skydance sebagai syarikat yang akan menjadi “hebat”.
Encik Ellison bagaimanapun menegaskan kebebasan editorial CNN akan dikekalkan.
Beliau berkata Skydance tidak berbincang dengan mana-mana pemimpin politik mengenai kandungan berita, selain menegaskan bahawa syarikat itu mahu menjalankan perniagaan berasaskan “kebenaran” dan “kepercayaan”.
Skydance turut mengekalkan Encik Mark Thompson, sebagai Ketua Pengarang CNN.
Sebagai sebahagian penyelesaian undang-undang dengan beberapa negeri Amerika yang cuba menghalang pengambilalihan itu, Skydance juga bersetuju menubuhkan sebuah lembaga kebebasan editorial berita.
Pengambilalihan itu turut mendapat sokongan kewangan bernilai berbilion dolar daripada tiga negara Teluk – Arab Saudi, Qatar dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).
Paramount sebelum ini mendedahkan dana daripada negara berkenaan dijangka secara tidak langsung memiliki hampir 50 peratus kepentingan ekuiti dalam Skydance, tetapi tanpa hak mengundi.
Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan Amerika (FCC) turut meluluskan permohonan yang membolehkan pemilikan tidak langsung lebih besar oleh pelabur asing pada masa depan.
Bagaimanapun, keputusan itu dikritik Pesuruhjaya FCC daripada Parti Demokrat, Cik Anna Gomez, dan pihak lain yang bimbang mengenai kemungkinan pengaruh di sebalik tabir.
Penggabungan itu juga berdepan tindakan undang-undang.
Pada Julai, peguam negara dari 12 negeri yang dipimpin California cuba menghalang perjanjian tersebut atas alasan ia boleh mengurangkan persaingan dan pilihan pengguna.
Kumpulan Writers Guild of America turut mengambil tindakan undang-undang.
Penyelesaian dicapai pada September, termasuk komitmen Skydance meningkatkan pengeluaran filem di Amerika dalam tempoh lima tahun, menyediakan dana bagi membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan akibat penggabungan serta mewujudkan pemantauan editorial baharu terhadap CNN dan CBS.
Walaupun pengkritik menyifatkan langkah itu tidak mencukupi, penyelesaian tersebut akhirnya membuka jalan kepada pengambilalihan bersejarah itu diselesaikan pada 6 Oktober. – Agensi berita.