LOS ANGELES: Lembaga Pengarah Warner Bros Discovery, mungkin mengumumkan keputusan seawal 17 Disember mengenai bidaan pengambilalihan Paramount Skydance bernilai AS$108.4 bilion ($139.7 bilion) dan menasihati pemegang saham agar menentang tawaran itu, menurut sumber yang arif tentang syarikat media dan hiburan berbilang negara itu.
Keputusan mengulangi komitmen kepada tawaran Netflix membuka peluang tawaran pengambilalihan baru dan akan menandakan perubahan terkini dalam perlumbaan untuk merebut aset yang merangkumi studio filem dan televisyen Warner Bros, pustaka filem dan televisyennya yang luas.
Portfolio syarikat ini merangkumi filem klasik dari Casablanca dan Citizen Kane hingga siri televisyen diminati ramai seperti Harry Potter and Friends, serta HBO dan khidmat penstriman HBO Max.
Seorang jurucakap Warner Bros Discovery, bagaimanapun, enggan mengulas mengenai perkara ini.
Sesiapa yang menang dalam bidaan ini akan mendapat kelebihan besar dalam perang penstriman di samping memperolehi hak pustaka kandungan program, filem dan siri televisyen yang telah lama menjadi sasaran pengambilalihan.
Pada awal Disember, Netflix muncul sebagai pemenang dengan bidaan tunai dan saham AS$27 untuk aset bukan kabel Warner Bros.
Ketua Eksekutif Paramount, Encik David Ellison, kemudian memaklumkan pemegang saham Warner Bros dengan tawaran tunai AS$30 bagi setiap saham untuk seluruh syarikat.
Dalam pemfailan kawal selia, Paramount menyatakan tawarannya lebih baik daripada Netflix.
Tawarannya dibiayai oleh ekuiti baru bernilai AS$41 bilion, yang disokong keluarga usahawan media, Ellison dan firma pelaburan swasta, RedBird Capital, dengan komitmen hutang bernilai AS$54 bilion daripada Bank of America, Citi dan Apollo.
Menurut agensi berita, Affinity Partners yang merupakan salah satu rakan kongsi pembiayaan Paramount, kini keluar dari persaingan tersebut.
Ketua Eksekutif International Art Machine, sebuah studio hiburan, Encik Roy Price, dalam rencana terbitan NYTimes, menyatakan selama seabad, orang ramai telah meramalkan Hollywood akan terkubur kerana kemunculan televisyen, video yang ditayangkan di rumah, Internet, penstriman dan kini kecerdasan buatan (AI).
Namun, ramalan itu agak pramatang sebab Hollywood sentiasa mencipta semula dirinya dan terus maju.
Tetapi jika Netflix memperolehi Warner Bros, kematian yang telah lama diramalkan ini, akhirnya mungkin menjadi kenyataan.
Bagaimanapun, ia bukan pemusnahan tetapi lebih kepada pemusatan.
Encik Price menambah Netflix ialah perkhidmatan penstriman premium ‘Nombor 1’.
Warner Bros pula ialah studio filem legasi yang paling berjaya, manakala HBO ialah jenama utama dalam televisyen berprestij.
Mereka bukanlah pemain pertengahan, bahkan merupakan tonggak utama industri hiburan moden. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg