Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Tanda kian ketara Jokowi condong pilih Prabowo sebagai presiden Indon: Pengamat

Jun 26, 2023 | 06:06 PM



JAKARTA: Tanda-tanda semakin ketara yang membayangkan bahawa Presiden Joko Widodo condong ke arah Menteri Pertahanan, Encik Prabowo Subianto, sebagai presiden dalam pilihan raya 2024, berbanding calon partinya sendiri iaitu Encik Ganjar Pranowo.


Ini adalah kerana Encik Prabowo, 71 tahun, merupakan pengerusi Parti Gerindra yang berhaluan kanan, komited sepenuhnya menyokong kerjaya anggota keluarga Encik Widodo, menurut para penganalisis.

Encik Widodo, yang lebih akrab dengan panggilan Jokowi, mungkin tidak mendapat sokongan daripada partinya sendiri yang memerintah iaitu Parti Demokratik Indonesia-Perjuangan (PDI-P), kerana beliau disifatkan sebagai pegawai parti sahaja yang tidak pernah dijanjikan atau ditawarkan kedudukan tinggi dalam PDI-P.

Anak lelaki sulung Presiden Jokowi, Encik Gibran Rakabuming Raka, 35 tahun, adalah Wali Kota (Mayor) Solo – yang juga dikenali sebagai Surakarta – di Jawa Tengah. Beliau diwar-warkan untuk jawatan yang lebih tinggi dalam pentadbiran.

Adik kepada Encik Gibran, Encik Kaesang Pangarep, 28 tahun, sedang bersiap-siap untuk menyertai persaingan bagi jawatan wali kota bandar Depok, Jawa Barat, dan abang iparnya pula, Encik Bobby Nasution, 31 tahun, kini menjadi mayor Medan, Sumatera Utara.

Encik Widodo dan Encik Prabowo dilihat bersama-sama baru-baru ini menonton perlawanan bola sepak persahabatan antarabangsa antara Indonesia dan Argentina di Jakarta, dan ini telah menarik perhatian umum yang amat meluas.

Kedua-dua tokoh itu duduk bersebelahan, sementara di kanan Encik Probowo kelihatan pengerusi persatuan bola sepak kebangsaan Indonesia, Encik Erick Thohir.

Pada awal Jun, Encik Kaesang dilihat memakai kemeja-T memaparkan wajah Encik Prabowo semasa berkunjung ke festival budaya Indonesia di Ansan, Korea Selatan.

Ketika ditanya tentang pakaian itu di media sosial, beliau berkata: “Kaesang adalah peminat Pak Prabowo.” Ini adalah kali kedua Encik Kaesang menarik perhatian media kerana memakai kemeja-T seperti itu.

Satu tinjauan pada Mei oleh akhbar tertua Indonesia, Kompas, mendedahkan bahawa kecenderungan Encik Jokowi itu boleh mengalihkan pilihan pengundi, dengan 53 peratus responden mengatakan mereka akan menimbangkan pilihan itu, dan 16 peratus pula mengatakan mereka akan mengundi mengikut pilihan beliau.


Peramal politik berkata kerjaya anggota keluarga Encik Widodo akan lebih selamat jika beliau memihak kepada Encik Prabowo, berbanding Encik Ganjar, 54 tahun, seorang anggota PDI-P dan gabenor Jawa Tengah sekarang.

Encik Prabowo dan Encik Ganjar adalah dua calon yang paling popular untuk dipilih dalam pilihan raya presiden akan datang, menurut beberapa tinjauan pendapat.

Para pemerhati politik juga mendapati bahawa PDI-P adalah sebuah parti kendalian keluarga, bukan profesional, dengan Cik Megawati Soekarnoputri sebagai pengasasnya dan masih lagi memimpin, dan anak lelaki dan anak perempuannya serta anggota keluarga yang lain, mengisi jawatan-jawatan strategik.

Sementara itu, satu-satunya anak lelaki Encik Prabowo, seorang pereka fesyen terkenal yang lebih banyak menghabiskan masa di luar negara, tidak mempunyai cita-cita politik.

Penganalisis politik, Dr Djayadi Hanan, seorang zamil di Sekolah Kennedy Harvard, memberitahu akhbar The Straits Times (ST): “Prabowo bukan sahaja seorang calon (presiden), tetapi juga pengerusi sebuah parti.


“Wajarlah jika (Encik) Jokowi lebih selesa mendukung Encik Prabowo.

“(Encik) Ganjar hanya seorang pegawai parti. Jika anda inginkan komitmen – bagi membalas jasa anda – anda harus bercakap dengan (Cik) Megawati,” ujar Dr Djayadi, merujuk kepada pengerusi PDI-P.

Cik Megawati menyebut Encik Ganjar “hanya sebagai seorang pegawai parti”, ditugaskan menjalankan program dan ideologi parti, dan dinamakan sebagai seorang calon presiden.

 Begitulah juga yang telah dilakukan kepada Encik Jokowi.

Dalam satu acara menyambut ulang tahun ke-50 PDI-P pada Januari lalu, Cik Megawati berkata Encik Jokowi tidak akan menjadi tokoh seperti yang ada sekarang kalau tidak dapat dukungan PDI-P.

ST difahamkan bahawa Presiden Indonesia itu tidak senang dengan kenyataan seperti itu kepada umum.


Namun, seorang ahli politik kanan PDI-P, Encik Panda Nababan, memberitahu wartawan bahawa beliau yakin Encik Jokowi akan menyokong Encik Ganjar – pilihan Cik Megawati – menyifatkan keakraban dengan Encik Prabowo “hanya sekadar muhibah”.

Penganalisis politik, Encik Adi Prayitno, berhujah dalam podcast YouTube pada Jumaat: “Jokowi sedang berdansa dengan Prabowo. Beliau telah menunjukkan di beberapa kesempatan bahawa beliau selesa dengan Prabowo. Kita tidak boleh mengetepikan fakta ini.

“Jika Jokowi tidak dihormati, tidak dianggap penting oleh PDI-P berkaitan (keputusan sekitar) pilihan raya presiden 2024, dansa ini akan berterusan,” kata beliau, merujuk kepada dua tokoh yang dilihat bersama-sama menikmati penerimaan rakyat, sementara Encik Probowo mendapat manfaatnya.

Apabila tiba masanya kelak, kata Dr Djayadi, Encik Jokowi “mungkin tidak akan memberi isyarat secara terang-terangan,” tentang pilihannya terhadap Encik Probowo, tetapi masyarakat sudah mendapat isyaratnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >