Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura antara 143 negara undi sokong keanggotaan Palestin di PBB

May 11, 2024 | 11:03 AM
Singapura buat keputusan  menyokong penyertaan Palestin ke PBB selepas “pertimbangan yang serius dan teliti”.
Singapura buat keputusan menyokong penyertaan Palestin ke PBB selepas “pertimbangan yang serius dan teliti”. - Foto REUTERS

Singapura telah mengundi ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyokong penyertaan Palestin sebagai anggota badan dunia itu dan berkata keputusan itu dibuat selepas “pertimbangan yang serius dan teliti”.

Undian Perhimpunan Agung PBB pada 10 Mei itu disokong 143 ahli dan ditentang oleh sembilan – termasuk Amerika Syarikat dan Israel – manakala 25 ahli berkecuali.

Watch on YouTube

Ia berlaku tujuh bulan selepas serangan 7 Oktober oleh Hamas ke atas Israel, yang meragut jiwa sekitar 1,200 orang dan menyaksikan lebih 200 tebusan ditangkap.

Ketika tindak balas ketenteraan berterusan, lebih daripada 35,000 rakyat Palestin telah terkorban dan mengakibatkan bencana kemanusiaan yang berterusan di Gaza.

“Sebagai rakan Israel dan Palestin, kami di Singapura amat berduka dengan keadaan ini. Undi Singapura mencerminkan hasrat hati kami untuk melihat kedua-dua pihak menyambung semula rundingan bersemuka secara langsung dengan niat baik,” kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, sejurus selepas pengundian.

“Pada masa kegelapan ini, status quo tidak memadai dan kami memerlukan set semula, memulakan semula usaha diplomatik.

“Oleh itu, kami menyertai seluruh masyarakat antarabangsa dalam menyeru pemimpin kedua-dua pihak – tunjukkan kepimpinan, tunjukkan keberanian dan ambil langkah pertama yang amat sukar tetapi penting ke arah penyelesaian dua negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Undi untuk mengiktiraf Palestin bagi menyertai PBB, dibuat selepas Amerika veto tindakan sedemikian, dalam 15 anggota Majlis Keselamatan PBB pada April.

Palestin kini merupakan negara pemerhati, bukan ahli, suatu pengiktirafan kenegaraan yang diberikan oleh Perhimpunan Agung PBB pada 2012.

“Sebaik-baiknya, keanggotaan PBB Palestin sepatutnya dipertimbangkan apabila permusuhan dihentikan, apabila semua tebusan awam dibebaskan dan apabila rakyat Israel dan Palestin kembali ke meja rundingan,” kata Dr Balakrishnan.

“Tetapi, jelas sekarang ini kita jauh daripada keadaan itu, sehingga Singapura dan banyak negara lain perlu menimbangkan bagaimana undian kita hari ini akan membantu meletakkan asas bagi menamatkan permusuhan, yang diharapkan akan membawa kepada keamanan yang berkekalan.”

Beliau berkata walaupun sukar sekarang, di tengah-tengah kemarahan dan hilangnya kepercayaan di kedua-dua pihak, satu-satunya penyelesaian yang berdaya maju kepada konflik yang berlarutan antara Israel dengan Palestin, adalah untuk memulihkan usaha ke arah penyelesaian dua negara.

Dr Balakrishnan juga mengulangi bahawa keganasan tidak mempunyai tempat dalam mana-mana proses yang membawa kepada penyelesaian politik yang stabil dan aman.

Sementara itu, Singapura memberi tumpuan menyokong Penguasa Palestin (PA) dalam persediaannya membangun sebuah negara, dengan melatih lebih 700 pegawai Palestin, sejak 2013.

Ini termasuk memberi biasiswa yang dibiayai sepenuhnya untuk pengajian pascasiswazah, kata Dr Balakrishnan.

“Kami tetap komited untuk memberikan lebih banyak sokongan kepada PA, di bawah Perdana Menteri baru, Dr Mohammad Mustafa, yang saya temui dua bulan lalu,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg