Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Walau Gaza masih dikepung, usaha bina semula sudah mula dirancang

Agensi antarabangsa temu peniaga Timur Tengah dan perancang bandar untuk atur pelan masa depan ekonomi wilayah itu
May 13, 2024 | 5:30 AM
Kawasan perumahan dan jalan raya yang musnah dibom tentera Israel di Gaza pada 3 Mei.
Kawasan perumahan dan jalan raya yang musnah dibom tentera Israel di Gaza pada 3 Mei. - Foto AFP

LONDON: Pada pagi Disember di tengah London, lebih 20 orang dari institusi berpengaruh di seluruh Timur Tengah, Eropah dan Amerika Syarikat berkumpul di sebuah bilik persidangan, untuk mengejar aspirasi yang, pada masa itu, hampir tidak masuk akal.

Mereka berada di sana untuk merancang pembinaan semula dan pembangunan ekonomi jangka panjang Gaza.

Gaza berada di bawah pengeboman tanpa henti oleh tentera Israel, sebagai tindak balas terhadap serangan yang dilancarkan oleh kumpulan Hamas pada Oktober.

Seluruh wilayah musnah dan berpuluh ribu orang terbunuh. Keluarga mengalami kebuluran, berada dalam ketakutan dan dirundung kesedihan.

Namun pada pertemuan di London, ahli pertubuhan antarabangsa membincangkan bagaimana akhirnya mengubah Gaza daripada tempat yang ditakrifkan wilayah pengasingan dan kemiskinan, menjadi hab komersial Mediterranean yang berpusat pada perdagangan, pelancongan dan inovasi, menghasilkan kelas pertengahan, lapor The New York Times.

Kumpulan itu termasuk pegawai kanan dari agensi pembangunan ekonomi Amerika dan Eropah, eksekutif daripada syarikat kewangan dan pembinaan Timur Tengah, dan dua rakan kongsi daripada firma perunding antarabangsa, McKinsey & Company.

Secara rasmi, mereka menghadiri hanya sebagai individu, bukan sebagai wakil institusi mereka. Pelan yang mereka hasilkan adalah jauh daripada realiti mengerikan yang dihadapi Gaza hari ini. Mengubahnya menjadi realiti memerlukan usaha menamatkan perang yang telah menyebabkan wilayah itu musnah, apatah lagi pelaburan berpuluh bilion dolar.

Ia juga akan menuntut penyelesaian kepada persoalan politik yang monumental dan tidak pasti mengenai siapa yang akhirnya menguasai Gaza, dan kemudian kerjasama pihak berkuasa itu. Semua itu menjadikan rancangan itu sekadar berbentuk rangka tindakan.

Namun para peserta berpendapat bahawa tindakan merancang masa depan yang lebih makmur, mempunyai nilai kerana ia boleh menyediakan jalan untuk projek apabila keadaan sesuai – tanggapan yang telah mendorong perancangan sedemikian di zon konflik seperti Kuwait, selepas ia diceroboh oleh Iraq.

“Kami bercadang untuk menghubungkan Gaza ke dunia, dalam jangka masa panjang,” kata Encik Chris Choa, pengasas dan pengarah Outcomist, sebuah firma London yang mereka bentuk projek pembangunan bandar berskala besar, dan salah seorang pengasas kumpulan itu, yang dikenali sebagai ‘Kemunculan Palestin’.

Antara yang turut terlibat ialah Encik Hashim Shawa, pengerusi Bank Palestine, sebuah bank perdagangan; Encik Samer Khoury, ketua eksekutif Consolidated Contractors International, sebuah syarikat pembinaan yang terlibat dalam projek utama di seluruh Timur Tengah; dan Encik Mohammed Abukhaizaran, ahli lembaga Kumpulan Hospital Arab, penyedia perubatan di Tebing Barat.

Mereka berkemungkinan mempunyai kepentingan dalam kerja akhirnya iaitu membina semula wilayah tersebut.

“Sebaik sahaja perang bermula, saya dan pasukan saya mula membangunkan rancangan untuk membina kemudahan di Gaza, apabila perang itu berakhir nanti,” kata Encik Abukhaizaran dalam satu temu bual.

Kumpulan itu jelas bahawa kerja yang paling mendesak ialah penghantaran makanan, air, penjagaan kesihatan dan tempat perlindungan kecemasan kepada penduduk Gaza.

Mereka kini berdepan dengan malapetaka. Tetapi tumpuan utama rancangannya adalah pada pembinaan semula yang akan berlangsung dalam dekad akan datang.

“Perang Gaza perlu ditamatkan dengan segera, dan akan ada usaha kemanusiaan yang luar biasa dan segera,” ujar Encik Abukhaizaran.

“Tetapi kita juga perlu berfikir jangka panjang tentang membina masa depan yang lebih baik untuk rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat.”

Daya usaha itu, adalah di antara beberapa perkara yang sedang dibincangkan, telah mendapat minat dan pandangan organisasi pembiayaan antarabangsa utama, termasuk Bank Dunia, kata seorang pegawai kanan agensi yang bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan kerana tidak diberi kuasa untuk bercakap secara terbuka.

Bank itu melihat rancangan itu sebagai sumbangan berguna ke arah strategi yang boleh menjana pekerjaan di Gaza, dengan menyepadukan wilayah itu ke dalam ekonomi sejagat.

Wakil agensi pemerintah Amerika Syarikat telah menghadiri bengkel, ‘Palestine Emerging’ dan menawarkan peguam mengenai butiran rancangan itu, kata seorang pegawai kanan Amerika, yang juga tidak mahu dinamakan.

Penglibatan Amerika dengan inisiatif itu telah didorong oleh andaian bahawa peluang ekonomi yang lebih besar di Gaza diperlukan, untuk mengurangkan sokongan rakyat terhadap Hamas, tambah pegawai itu.

Pelan itu berpusat pada beberapa siri projek utama, termasuk pelabuhan laut dalam, loji penyahgaraman untuk menyediakan air minuman, perkhidmatan penjagaan kesihatan dalam talian dan koridor pengangkutan yang menghubungkan Gaza dengan Tebing Barat.

Jumlah kerosakan prasaran penting di Gaza telah mencecah AS$18.5 bilion ($25.1 bilion), menurut anggaran terkini oleh Bank Dunia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Walaupun projek terbesar memerlukan kejelasan mengenai pentadbiran politik Gaza pada masa hadapan, inisiatif lain, seperti yang bertujuan untuk menggalakkan perniagaan kecil, boleh dimulakan sebaik sahaja kegiatan ketenteraan dihentikan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg