Menteri Pertahanan, Encik Ng Eng Hen, dan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Encik Lloyd Austin, pada 16 Julai mengesahkan hubungan pertahanan yang sangat baik dan perkongsian saling menguntungkan kedua-dua negara, semasa mesyuarat di Pentagon.
Ketua-ketua pertahanan itu juga membincangkan kerjasama dua hala dalam bidang teknologi baru seperti kecerdasan buatan (AI), dan mengalu-alukan pemeteraian penyataan hasrat mengenai data, analitik dan kerjasama AI, kata Mindef pada hari yang sama.
Kedua-dua negara telah mengenal pasti beberapa bidang utama untuk kerjasama, termasuk pengurusan bakat, yang akan membolehkan institusi pertahanan kedua-dua negara membincangkan pendekatan dan bertukar-tukar amalan terbaik, untuk menggunakan data, analitik dan AI pada kelajuan dan skala.
Dr Ng berkata: “Kecerdasan buatan menjadi semakin penting dalam membantu tentera memperoleh kelebihan daya saing dalam medan perang digital hari ini.
“Saya gembira kedua-dua Singapura dan Amerika Syarikat bekerjasama rapat untuk mempercepat dan meningkatkan penggunaan AI dalam aplikasi ketenteraan.”
Dr Radha Iyengar Plumb, ketua pegawai digital dan kecerdasan buatan jabatan pertahanan Amerika, berkata:
“Singapura, pembawa pembaharuan teknologi utama di rantau Asia-Pasifik, kekal sebagai salah satu rakan pertahanan kami yang paling dihargai, dan kami berharap untuk memperdalam hubungan kritikal ini.”
Kenyataan hasrat itu juga membina kerjasama yang telah lama terjalin antara Mindef dengan Jabatan Pertahanan Amerika, mengenai teknologi pertahanan, kata Mindef, dan ia sejajar dengan perjanjian terdahulu.
Khususnya, kedua-dua negara menandatangani perjanjian 2015 untuk bekerjasama dalam bidang baru, maju dan khusus, dan kerjasama lanjut dalam bidang ketenteraan, dasar, strategik, teknologi dan bukan konvensional yang sedia ada.
Singapura dan Amerika menandatangani perjanjian lain – pada Dialog Shangri-La 2024 di Singapura – untuk memperdalam kerjasama dalam inovasi pertahanan dengan menggunakan AI dan sistem autonomi, untuk menyelesaikan antara lain, cabaran operasi ketenteraan.
Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) telah menyepadukan AI dan analisis data ke dalam beberapa sistemnya selama ini.
Pertama, sistem maklumat arahan dan kawalannya telah dinaik taraf pada 2021, untuk menggunakan AI dan analitik data bagi mengesyorkan penyelesaian kepada perubahan senario medan perang, dengan algoritma yang mencadangkan padanan senjata terbaik kepada sasaran.
Pada 26 dan 27 Februari 2024, Singapura turut menjadi tuan rumah bagi Perundingan Serantau mengenai Tanggungjawab Kecerdasan Buatan dalam Domain Ketenteraan (Reaim), yang julung kali diadakan, dihadiri oleh pegawai pertahanan dan ehwal luar dari 14 negara Asia.
Pada mesyuarat 16 Julai itu, Dr Ng dan Encik Austin turut membincangkan mengenai kehadiran Amerika dan penglibatannya dengan Asia-Pasifik, ujar Mindef.
Dr Ng menyatakan penghargaan atas sokongan berterusan bagi latihan SAF di Amerika, dan pemerolehan dan operasi pesawat F-35.
Dr Ng tiba di Amerika pada 15 Julai dan akan menyampaikan ucapan pada malam pembukaan Forum Keselamatan Aspen di Colorado, pada 17 Julai.
Beliau akan kembali ke Singapura pada 18 Julai.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg