Menteri Ehwal Luar, Dr. Vivian Balakrishnan, menyeru Korea Utara agar menyertai kancah serantau secara membina dan memastikan saluran dialog kekal terbuka, terutamanya melalui kehadiran di Forum Serantau Asean (ARF).

Beliau menekankan bahawa komunikasi sebegini amat kritikal dalam mendepani cabaran dan ketidaktentuan global yang berterusan.

Dr. Balakrishnan, yang berada di Pyongyang pada 26 dan 27 Mei atas undangan rakan sejawat, Cik Choe Son Hui, menamatkan lawatan meluas ke Asia Timur Laut yang turut merangkumi China dan Korea Selatan.

“Kami telah mengadakan pertukaran pandangan yang jujur dan menyeluruh mengenai keselamatan serantau dan perkembangan antarabangsa. 

“Saya menyatakan harapan saya agar negara kita terus memainkan peranan masing-masing dalam menyokong keamanan dan kestabilan di tengah-tengah keadaan yang mencabar di rantau ini,” kata Dr Balakrishnan dalam hantaran Facebook pada 27 Mei, merujuk kepada perbincangannya dengan Cik Choe.

Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) menyatakan dalam satu kenyataan bahawa beliau menjemput Cik Choe untuk menghadiri ARF, sebuah forum dialog diplomatik dan keselamatan. Korea Utara telah menjadi anggota forum itu sejak 2000.

“Hubungan kita adalah mesra, dibina atas rasa hormat bersama dan penglibatan yang berterusan selama beberapa dekad,” tulis Dr Balakrishnan di Facebook.

Kedua-dua menteri juga mengukuhkan semula “hubungan yang telah lama terjalin dan bersifat mesra” antara Singapura dan Korea Utara, kata MFA. Dr Balakrishnan turut dijamu dengan majlis sambutan oleh Cik Choe.

Lawatan itu berlaku sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Singapura dan Korea Utara pada 2025, ketika keadaan di Semenanjung Korea semakin menegang. 

Pyongyang mengumumkan kejayaan menguji sistem peluru berpandu baharu pada 27 Mei, sekali gus mencetuskan kebimbangan keselamatan serantau.

Ini adalah lawatan kedua Menteri itu, setelah lawatan sulungnya pada 2018 sebelum sidang kemuncak bersejarah antara Encik Donald Trump dan Encik Kim Jong Un di Singapura.

Menerusi hantaran Facebook, Dr. Balakrishnan melahirkan rasa gembira kembali ke Pyongyang dan menekankan pentingnya dialog.

Beliau secara peribadi menggalakkan rakan sejawatnya agar menghadiri Forum Serantau Asean (ARF) yang akan diadakan di Manila pada 23 Julai, menyifatkan Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) kekal sebagai anggota penting.

Penglibatan ini penting, terutamanya setelah ketidakhadiran DPRK pada ARF di Kuala Lumpur pada Julai 2025 disebabkan isu pemulihan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Di Pyongyang, Dr. Balakrishnan mengadakan pertemuan dengan Encik Jo Yong Won, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perhimpunan Rakyat Tertinggi, badan perundangan utama Korea Utara.

Dalam perbincangan, Encik Jo berkongsi perkembangan politik mutakhir negara itu, sambil kedua-duanya turut mengenang kembali sidang kemuncak bersejarah Encik Kim di Singapura

Sebelum ke Korea Utara, Dr. Balakrishnan singgah di Beijing pada 25 Mei dan menemui rakan sejawatannya dari China, Encik Wang Yi.

Susulan pertemuan itu, kedua-dua menteri menyeru gencatan senjata segera di Timur Tengah serta penamatan sekatan di Selat Hormuz. Seterusnya, Dr. Balakrishnan, ditemani pegawai MFA, berlepas ke Korea Selatan pada 27 Mei bagi peringkat penamat lawatan kerjanya.