Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura, AS luas kerjasama ke bidang baru

Jun 17, 2023 | 11:36 AM
PERTEMUAN: Dr Vivian Balakrishnan (kiri) dan Encik Antony Blinken mengadakan sidang media bersama di Jabatan Negara Amerika Syarikat.
PERTEMUAN: Dr Vivian Balakrishnan (kiri) dan Encik Antony Blinken mengadakan sidang media bersama di Jabatan Negara Amerika Syarikat. - Foto AFP

WASHINGTON: Singapura dan Amerika Syarikat sedang mengembangkan hubungan mereka ke sempadan kerjasama dua hala baru dalam keselamatan siber, perubahan iklim dan ruang angkasa, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan pada Jumaat, selepas mesyuarat dua hala bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken.

Dr Balakrishnan berkata Perkongsian Iklim Amerika Syarikat-Singapura yang ditandatangani pada 2021 akan menyaksikan usaha yang dipergiat dalam peralihan tenaga serantau, teknologi dan huraian pelepasan rendah dan sifar, huraian berasaskan alam semula jadi dan pasaran karbon, serta penyahkarbonan dan daya tahan bandar.

Bercakap bersama Dr Balakrishnan di sidang akhbar bersama di Jabatan Negara, Encik Blinken berkata kerjasama itu berakar dalam salah satu hubungan dua hala Amerika yang paling kukuh di Indo-Pasifik.

“Amerika Syarikat… adalah sumber terbesar pelaburan langsung asing di Singapura. Kami sedang berusaha mengembangkan ekonomi kami dengan lebih pantas dan lebih adil melalui Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik, yang mana Singapura merupakan penyokong awal dan bersemangat,” katanya.

Beliau menyatakan bahawa Singapura juga merupakan rakan kongsi keselamatan yang kritikal, “memberi tempat bagi kapal dan pesawat Amerika, menghantar juruterbang untuk berlatih di angkasa Arizona dan Idaho”.

Encik Blinken berkata: “Selama enam dekad perkongsian strategik antara Amerika denga Singapura, berakar umbi dalam menghormati aturan antarabangsa berasaskan peraturan, telah membantu mengukuhkan keamanan dan kestabilan di rantau ini dan di seluruh dunia.”

Dr Balakrishnan pula berkata hubungan ekonomi yang mendalam menjangkau lebih daripada perdagangan.

“Pelaburan Singapura ke Amerika Syarikat dan eksport Amerika ke Singapura sebenarnya menyokong lebih daripada… 250,000 pekerjaan di Amerika,” katanya.

“Jadi… ia bukan hanya tentang perdagangan demi kepentingannya sendiri bahkan dari segi pekerjaan dan peluang untuk warga di kedua-dua pihak.”

Beliau berkata: “Dari segi dua hala, semua orang tahu bahawa kita mempunyai hubungan ekonomi yang sangat teguh.

“Tetapi kami tidak berdiam diri. Kami juga berkembang ke sempadan baru.”

Selain itu, kehadiran dan sumbangan strategik Amerika telah memberikan kestabilan dan peluang di rantau ini, dan “membantu menjamin keamanan yang tidak boleh kita ambil mudah,” kata Dr Balakrishnan.

“Hakikat bahawa Presiden (Joe) Biden menghadiri sidang puncak Asean di Phnom Penh tahun lalu, dan Presiden juga menjadi tuan rumah Sidang Puncak Khas Asean-AS di Washington pada Mei tahun lalu… menghantar isyarat penglibatan yang sangat kuat,” katanya.

Peningkatan hubungan Asean-Amerika kepada perkongsian strategik yang menyeluruh tahun lalu, “bukan sekadar percakapan, tetapi inti pati sebenar, perjanjian sebenar,” tambahnya.

Dr Balakrishnan berkata penglibatan strategik Ameika di Tenggara adalah sangat penting bagi rantau itu.

“Dan… sebenarnya terdapat semangat muhibah dan kepercayaan yang mendalam, dan anda mempunyai ramai rakan kongsi di Asia-Pasifik,” katanya.

Asean berada di tengah-tengah Strategi Indo-Pasifik Amerika, tekan Encik Blinken.

“Amerika Syarikat menyokong pemusatan Asean, dan kami melihat penumpuan yang besar antara Strategi Indo-Pasifik kami sendiri dan Pengamatan Asean mengenai Indo-Pasifik, yang dilambangkan oleh kepercayaan bersama dalam pertumbuhan ekonomi inklusif, ketelusan dan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Dr Balakrishnan juga menekankan kepentingan lawatan Encik Blinken hujung minggu ini ke Beijing, di mana beliau akan bertemu dengan Menteri Luar China, Encik Qin Gang dan pegawai lain.

“Terdapat banyak isu sejagat, planet – iklim, wabak, malah keselamatan siber – yang memerlukan Amerika dan China supaya bekerja di luar halaman yang sama dan menjadi tunggak utama bagi sistem sejagat yang akan membantu meningkatkan daya tahan terhadap ancaman terhadap kebajikan, kesihatan, dan kemakmuran bagi rakyat dunia,” kata Dr Balakrishnan.

“Ini adalah saat yang sangat penting dan kritikal, bukan hanya untuk Amerika Syarikat dan China bahkan, sememangnya, seluruh dunia akan menyaksikannya,” katanya.

“Kami berharap dan percaya bahawa anda akan dapat mengangani perbezaan, tetapi yang lebih penting, mewujudkan saluran komunikasi terbuka, membina kepercayaan dan persefahaman bersama.”

Dr Balakrishnan sedang dalam lawatan kerja ke Amerika sehingga Selasa.

Beliau telah bertemu dengan pegawai kanan iklim dalam pentadbiran Encik Biden, serta penggubal undang-undang Demokrat dan Republikan yang memberi tumpuan kepada perundangan Asia dan China.

Pada Khamis, beliau bertemu dengan diplomat kedua tertinggi Amerika, Timbalan Setiausaha Negara, Cik Wendy Sherman, dan menghadiri dialog yang dihoskan oleh badan pemikir Majlis Perhubungan Luar.

Dr Balakrishnan juga akan pergi ke New York, di mana beliau akan menyampaikan kenyataan kebangsaan Singapura mengenai biodiversiti marin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Isnin.

Semasa di New York beliau juga akan menemui Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres dan presiden Perhimpunan Agung PBB Encik Csaba Korosi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg